Penyakit Alzheimer adalah sejenis demensia yang paling lazim berlaku kepada golongan tua yang berusia lebih daripada 65 tahun. Penyakit Alzheimer terbentuk dalam satu tempoh yang agak lama dan secara berperingkat-peringkat.
Penyakit Alzheimer adalah penyakit yang progresif yang menjejaskan keupayaan kognitif dan mengganggu keupayaan anda untuk berfungsi.
Simptom-simptom biasa yang boleh diperhatikan bagi penghidap Alzheimer adalah:
- Kehilangan memori (hilang ingatan)
- Kurang pertimbangan
- Ketidakupayaan untuk menyelesaikan masalah
Kemaraan penyakit Alzheimer secara umumnya boleh dibahagikan kepada 3 peringkat berdasarkan kepada tanda-tanda dan gejala penyakit ini.
Peringkat Alzheimer melibatkan aktiviti kehidupan seharian dan berapa banyak penyakit tersebut menjejaskan aktiviti-aktiviti tersebut.
Aktiviti harian adalah rutin yang anda lakukan setiap hari seperti mandi, makan, memakai baju atau memberus gigi atau menyikat rambut.
Apabila penyakit Alzheimer semakin teruk, melakukan rutin harian akan menjadi bertambah sukar.
Peringkat 1: Praklinikal
Pada peringkat 1 iaitu praklinikal, otak anda mungkin telah mula berubah.
Pada peringkat ini, berlaku perubahan dalam sel-sel saraf dan berlaku pembentukan beta-amiloid iaitu protein yang membantu jisim di dalam otak. Beta-amiloid ini turut dipanggil plak.
Anda mungkin tidak mempunyai sebarang simptom atau simptom-simptom yang berlaku terlalu ringan sehingga anda tidak menyedarinya.
Pada peringkat ini juga, aktiviti harian anda tidak terganggu. Peringkat 1 ini boleh berkekalan sehingga bertahun-tahun lamanya.
Peringkat 2: Gangguan Kognitif Ringan
Peringkat 2 dikenali sebagai gangguan kognitif ringan. Gangguan kognitif ringan bermaksud anda mempunyai lebih banyak masalah ingatan berbanding yang normal bagi usia anda.
Selain itu, ia juga bermakna simptom-simptom masih tidak memberikan impak yang ketara terhadap aktiviti harian.
Simptom-simptom Alzheimer berbeza-beza bagi setiap orang. Antaranya adalah:
- Hilang ingatan
- Sukar untuk mengingati perkataan yang diketahui
- Masalah penglihatan
- Penaakulan atau penghakiman terjejas
Akibatnya, anda mungkin mengalami masalah yang melibatkan kelakuan seperti:
- Lupa untuk membayar bil
- Terlepas janji temu
- Kehilangan barang
- Merayau dan tersesat
- Bertanya soalan secara berulang-ulang
Kebanyakan orang didiagnosa dengan penyakit Alzheimer pada peringkat ini.
Peringkat 3: Demensia Alzheimer
Tidak semua yang mengalami kemerosotan kognitif ringan akan mara ke peringkat ke-3 atau peringkat paling teruk iaitu Demensia Alzheimer.
Peringkat ini melibatkan masalah yang berkaitan dengan otak seperti kehilangan sambungan neuron normal (sel-sel otak) dan kematian sel-sel saraf akibat daripada plak amiloid dan faktor-faktor lain.
Demensia Alzheimer dikelaskan mengikut keterukannya.
Demensia Ringan
Bagi demensia Alzheimer ringan, simptom-simptom adalah teruk sehingga boleh menjejaskan aktiviti harian. Antaranya adalah:
- Hilang ingatan yang semakin teruk
- Penaakulan semakin teruk
- Membuat keputusan salah
- Kemerosotan dalam motivasi dan spontan
- Mengambil masa lebih lama daripada biasa untuk melaksanakan tugas harian
Ini membawa kepada masalah dan tingkah laku seperti:
- Mengulang soalan atau cerita yang sama berulang kali
- Mengalami kesukaran untuk menguruskan kewangan atau membayar bil
- Sesat ditempat yang biasa dikunjungi
- Merayau jauh dari rumah
- Kehilangan barang dan mencarinya di tempat yang sangat ganjil
Demensia Sederhana
Bagi demensia Alzheimer sederhana, penyeliaan semakin diperlukan. Simptom-simptomnya lebih menjejaskan aktiviti harian. Contohnya seperti:
- Kehilangan ingatan dan kekeliruan yang semakin teruk
- Tidak berupaya untuk belajar perkara baru
- Masalah bahasa yang semakin teruk
- Mempunyai kesukaran mengira nombor
- Mempunyai masalah berfikir secara logik
- Bermasalah untuk fokus
- Masalah mengatur pemikiran
- Ketidakupayaan untuk menghadapi tekanan atau situasi baru
Tambahan daripada itu juga, penghidap demensia Alzheimer sederhana mungkin turut mengalami simptom-simptom seperti:
- Mengalami masalah mengenal orang termasuk ahli keluarga atau rakan rapat
- Mengalami paranoia, delusi atau halusinasi
- Sukar menjalankan tugasan yang mempunyai banyak langkah
- Kelakuan impulsif
- Menggunakan bahasa kasar atau tidak elok
- Keresahan dan kegelisahan
- Sesat ditempat yang biasa dikunjungi
- Panas baran
- Pergerakan berulang-ulang atau sentakan otot
Demensia Teruk
Penghidap demensia Alzheimer teruk bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk penjagaan dan memerlukan pengawasan 24/7. Simptom-simptom dari peringkat sederhana akan bertambah teruk.
Tambahan daripada itu, golongan ini mungkin turut mengalami simptom-simptom tambahan seperti:
- Kehilangan berat badan
- Sukar untuk makan atau menelan
- Jangkitan kulit
- Tidak berupaya untuk berkomunikasi
- Tidak berupaya untuk berjalan
- Hilang kawalan pundi kencing atau usus
- Sawan
- Sentiasa tidur atau terlantar
Rumusan
Penyakit Alzheimer melibatkan tiga peringkat iaitu praklinikal, gangguan kognitif ringan, dan demensia. Peringkat demensia pula dibahagikan kepada kategori ringan, sederhana dan teruk.
Apabila penyakit tersebut berkembang, simptom-simptom kehilangan ingatan dan kemerosotan kognitif lain menjadi lebih jelas dan lebih berkemungkinan menjejaskan aktiviti kehidupan seharian.
Rujukan
- National Institute on Aging. Alzheimer’s Disease Diagnostic Guidelines.