Istilah “endemik”, “epidemik” dan “pandemik” mungkin asing bagi kebanyakan orang. Tetapi, pandemik COVID-19 pada dua tahun lepas menjadikan ramai daripada peka terhadap istilah-istilah tersebut.
Oleh itu, untuk memahami istilah-istilah tersebut, artikel ini menyenaraikan perbezaan bagi endemik, epidemik dan pandemik.
Endemik merujuk kepada kejadian penyakit atau agen pembawa penyakit yang sentiasa wujud di sesuatu tempat.
Epidemik pula merujuk kepada kejadian penyakit dengan bilangan kes di sesuatu tempat atau lokasi melebihi bilangan kes pada waktu biasa atau melebihi kadar biasa.
Pandemik pula merujuk kepada kejadian penyakit dengan bilangan kes melebihi kadar biasa yang berlaku di banyak negara dan wilayah di seluruh dunia dan melibatkan populasi besar.
Artikel ini akan menjelaskan kepada anda perbezaan antara endemik, epidemik dan pandemik berserta contoh-contoh penyakit yang telah berlaku.
Apakah Maksud “Endemik” ?
Endemik merujuk kepada kejadian penyakit atau agen pembawa penyakit yang sentiasa wujud di sesuatu tempat atau populasi.
Penyakit ini dijangka sentiasa ada pada kadar yang agak stabil dan boleh diramalkan dari semasa ke semasa.
Contohnya:
- Demam denggi: Demam denggi adalah endemik bagi Malaysia dan negara-negara tropika dan subtropika yang lain.
- Malaria: Penyakit bawaan nyamuk ini turut endemik di beberapa tempat di Afrika.
- Hepatitis B: Hepatitis B adalah endemik di seluruh dunia walaupun keendemikannya lebih tinggi di negara-negara Afrika dan Asia.
Apakah Maksud “Epidemik”?
Epidemik merujuk kepada kejadian penyakit dengan bilangan kes di sesuatu tempat atau lokasi melebihi bilangan kes pada waktu biasa atau melebihi kadar biasa.
Epidemik berlaku apabila penyakit merebak secara tidak dijangka atau cepat merentasi kawasan geografi atau populasi. Ia boleh berlaku jika penyakit endemik tiba-tiba menjadi lebih berleluasa, atau jika penyakit baru mula menjejaskan sesuatu kawasan atau kumpulan.
Contohnya:
- Wabak demam kepialu: Demam kepialu yang disebabkan oleh bakteria Salmonella typhi ini pernah menjadi epidemik di Malaysia.
- Wabak virus Nipah: Virus Nipah pernah menjadi epidemik di Malaysia pada tahun 1998-1999 yang mengakibatkan 105 kematian yang melibatkan negeri Perak, Negeri Sembilan dan Selangor.
- Wabak Polio: Polio pernah menjadi epidemik di Sabah pada tahun 2019 selepas 3 kes disahkan berlaku di negeri tersebut.
Apakah Maksud “Pendemik”?
Pandemik pula merujuk kepada kejadian penyakit dengan bilangan kes melebihi kadar biasa yang berlaku di banyak negara dan wilayah di seluruh dunia dan melibatkan populasi besar.
Para saintis mungkin menentukan bahawa penyakit telah menjadi pandemik jika ia merebak pada kadar yang sangat cepat, dengan kes baharu muncul setiap hari.
Pandemik berkemungkinan disebabkan oleh perjalanan antarabangsa. Orang ramai mengembara ke negara dan benua yang berbeza lebih kerap berbanding sebelum ini. Keadaan ini membolehkan jangkitan yang pantas daripada satu individu kepada individu yang lain.
Biasanya, pandemik melibatkan jangkitan penyakit baru (Novel).
Contohnya:
- Wabak Bubonic: Wabak ini turut dikenali sebagai “Black Death” yang merebak melalui gigitan pinjal (kutu). Wabak ini menjadi pandemik pada kurun ke-14.
- Influenza Spanish Flu: Influenza ini disebabkan oleh virus H1N1 yang berasal dari burung. Spanish flu ini menjadi pandemik pada tahun 1918-1919 yang menjangkiti kira-kira 500 juta orang di seluruh dunia.
- SARS: Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) adalah disebabkan oleh virus SARS-CoV-1 yang pertama kalinya dikesan di Asia pada tahun 2003. SARS telah merebak ke 24 buah negara.
- Selesema babi: Selesema babi juga turut disebabkan oleh virus H1N1. Kes pertama yang dikenal pasti adalah di Amerika Syarikat pada tahun 2009. Penyakit ini telah merebak ke seluruh dunia dan mengakibatkan kira-kira 151,700 – 575,400 kematian.
- COVID-19: COVID-19 disebabkan oleh virus SARS-CoV-2 adalah pandemik yang mula-mula dikenal pasti pada akhir tahun 2019.
Keadaan Manakah yang Lebih Teruk?
Istilah “endemik,” “epidemik” dan “pandemik” tidak menggambarkan keterukan penyakit. Sebaliknya, mereka menerangkan kelazimannya. Ini bermakna bahawa satu tidak semestinya lebih teruk daripada yang lain.
Sebagai contoh, penyakit endemik boleh menjejaskan masyarakat dan ekonomi. Istilah endemik tersebut hanya menggambarkan penyakit tersebut kekal berada pada tahap yang stabil.
Walaupun pandemik dilihat sebagai penyakit yang lebih teruk, namun tidak mustahil juga terdapat penyakit pendemik ringan yang menyebabkan jangkitan yang pantas tetapi tidak menyebabkan kematian atau penyakit yang serius.
Justeru itu, apa yang seseorang anggap sebagai yang paling teruk bergantung pada apa yang mereka ukur. Dari segi skala, pandemik adalah yang terbesar dan mempunyai potensi terbesar untuk menyebabkan gangguan di seluruh dunia.
Sama ada mereka memenuhi potensi ini bergantung kepada penyakit dan cara manusia bertindak balas terhadapnya.
Rujukan
- Madhav N, Oppenheim B, Gallivan M, et al. Pandemics: Risks, Impacts, and Mitigation. In: Jamison DT, Gelband H, Horton S, et al., editors. Disease Control Priorities: Improving Health and Reducing Poverty. 3rd edition. Washington (DC): The International Bank for Reconstruction and Development / The World Bank; 2017 Nov 27. Chapter 17. Available from: NCBI
- Geng,C. (2022). What is the difference between pandemic, endemic, and epidemic? MedicalNewsToday
- Centers for Diseases Control and Prevention. Pandemic Influenza