Adakah terdapat perbezaan antara ubat inovator dan ubat generik? Apakah ubat inovator? Apakah ubat generik?
Umumnya, masyarakat mungkin tidak mengetahui secara meluas mengenai ubat inovator atau ubat generik ini. Tetapi, polemik-polemik yang wujud pada masa kini mungkin menggesa orang awam untuk lebih mengetahui mengenai ubat inovator dan ubat generik.
Apa itu Ubat Inovator?
Ubat inovator atau turut juga dikenali sebab ubat berjenama adalah ubat baru yang mula diperkenalkan dalam pasaran oleh syarikat yang menaja atau menemui ubat tersebut setelah menjalani kajian klinikal dan penyelidikan.
Ubat inovator biasanya adalah produk yang telah mapan dari segi kualiti, keselamatan dan kemujarabannya.
Ubat baru ini biasanya akan dipatenkan oleh syarikat penaja atau syarikat yang menemui ubat tersebut dan dilindungi sehingga 20 tahun.
Semasa tempoh paten ini, syarikat-syarikat lain tidak boleh menjual atau menghasilkan ubat yang sama sehinggalah paten tersebut tamat tempoh.
Apa itu Ubat Generik?
Ubat generik pula adalah ubat yang mengandungi bahan aktif yang sama dengan ubat inovator.
Bahan aktif adalah bahan kimia yang terkandung di dalam ubat tersebut yang menjadikan ubat tersebut berkesan atau mujarab.
Dengan kata lain, kemujaraban atau keberkesanan ubat generik adalah sama dengan ubat inovator.
Ubat generik ini dihasilkan oleh syarikat-syarikat lain setelah paten yang melindungi ubat tersebut telah tamat tempoh.
Adakah Ubat Generik Sama dengan Ubat Inovator?
Ya, ubat generik adalah sama dengan ubat inovator kerana ia menggunakan bahan aktif yang sama dan bertindak dengan cara yang sama.
Ini juga bermakna, ubat generik mempunyai kebaikan dan risiko (kesan sampingan) yang sama dengan ubat inovator.
Pengguna mungkin mendapati ubat generik kelihatan berbeza dengan ubat inovator. Hal ini mungkin disebabkan oleh bahan tidak aktif yang digunakan seperti pewarna atau perisa.
Walau bagaimanapun, bahan-bahan tidak aktif ini tidak menjejaskan keberkesanan, keselamatan atau kemujaraban ubat generik.
Perbezaan ketara antara dua jenis ubat ini adalah harga. Ubat inovator adalah lebih mahal kerana syarikat yang mengilangkan ubat ini telah membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk kajian klinikal, pemasaran dan promosi.
Manakala, ubat generik pula lebih murah kerana pengilangnya tidak perlu menunjukkan keberkesanan dan keselamatannya melalui ujian klinikal kerana ia telah dijalankan.
Contoh Ubat Inovator Vs. Ubat Generik
Bahan Aktif | Ubat Inovator | Ubat Generik |
---|---|---|
Paracetamol | Panadol | Uphamol, Paracap |
Mefenamic acid | Ponstan | Mefetab, Pontalon, Namic |
Piroxicam | Feldene | Apo-Piroxicam |
Ranitidine HCL | Zantac | X’tac |
Adakah Ubat Generik Selamat?
Ubat generik adalah selamat untuk dimakan atau digunakan.
Di Malaysia, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah mengenakan penilaian yang ketat untuk semua produk termasuk ubat generik untuk disenaraikan di Malaysia bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan.
Ubat generik dikehendaki menjalani kajian biokesetaraan (BE) untuk memastikan kesan terapeutik ubat generik adalah setara (boleh ditukar ganti ) dengan ubat inovator sebelum ubat berkenaan dibenarkan dipasarkan di Malaysia.
Rujukan
- Mohd. Noor, N. (2014). Generic vs. Innovator Drugs. MyHealth KKM.