Penyakit pneumokokus (pneumococcal) ialah penyakit yang disebabkan oleh bakteria yang dipanggil Streptococcus pneumoniae atau turut dikenali dengan panggilan pneumokokus. Bakteria pneumokokus ini boleh menyebabkan jangkitan di banyak bahagian badan seperti:
- Paru-paru (pneumonia)
- Sinus (sinusitis)
- Telinga (otitis)
- Darah
- Otak dan tisu saraf tunjang
Bakteria ini juga adalah punca utama radang paru-paru yang teruk dalam kalangan kanak-kanak berumur bawah 5 tahun. Ia menyebabkan lebih satu juta kematian setiap tahun terutamanya di negara membangun.
Penghidap penyakit pneumokokus boleh menjangkiti orang lain apabila mereka batuk atau bersin.
Cara Jangkitan Penyakit Pneumokokus
Penyakit pneumokokus boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu pneumokokus invasif dan pneumokokus tidak invasif.
Jangkitan pneumokokus invasif adalah jangkitan yang serius yang berlaku di dalam organ-organ utama dan darah. Manakala jangkitan pneumokokus tidak invasif pula adalah bentuk jangkitan yang kurang serius yang berlaku diluar organ-organ utama.
Jangkitan pneumokokus invasif melibatkan radang-radang paru-paru (pneumonia), radang pada selaput otak (meningitis) dan demam disebabkan oleh bakteremia (bakteria dalam darah). Jangkitan jenis tidak invasif melibatkan otitis media (jangkitan telinga tengah), resdung dan bronkitis.
Cara jangkitan penyakit ini adalah melalui hubungan langsung antara satu individu dengan individu yang lain seperti:
- Batuk
- Bersin
- Bercakap
- Bercium mulut ke mulut
atau secara tidak langsung seperti melalui:
- Objek seperti tisu atau tuala yang tercemar dengan rembesan mulut dan hidung.
Tanda-tanda dan Gejala
Tanda-tanda atau gejala jangkitan pneumokokus bergantung kepada bahagian badan yang dijangkiti.
Antara tanda-tanda atau gejala yang biasanya berlaku adalah:
- Demam
- Seram sejuk atau mengigil
- Batuk berkahak berterusan
- Sukar bernafas
- Sakit dada
- Sakit kepala
- Sakit sendi
- Sakit pada otot
- Sensitif kepada cahaya
- Pernafasan yang cepat dan pendek
- Sakit di telinga
- Tidak dapat tidur
Rawatan
Jangkitan yang ringan biasanya sembuh tanpa rawatan. Bagi sesetengah kes, doktor mungkin akan mempreskripsi ubat antibiotik bagi mencegah daripada berlakunya komplikasi.
Bagi pneumonia yang teruk, ia boleh dirawta dengan ubat antibiotik jenis Penisilin G atau Erythromycin.
Manakala pneumonia yang kurang teruk pula, ia boleh dirawat menggunakan antibiotik jenis Ampicillin, Amoxicillin atau Ciprofloxacin.
Langkah-langkah Pencegahan
Salah satu cara yang berkesan untuk mencegah penyakit pneumokokus ini.
Terdapat dua jenis vaksin untuk mencegah penyakit ini iaitu:
- Pneumococcal polysaccharide vaccine (PPV)
- Pneumococcal conjugate vaccine (PCV)
Sebanyak satu dos vaksin ini diberikan secara suntikan ke dalam otot atau di bawah kulit. Vaksin ini boleh melindungi bagi kebanyakan jenis bakteria pneumokokus tetapi kesemuanya. Walaupun perlindungan daripada vaksin ini adalah baik tetapi ia tidak sempurna.
Vaksin ini adalah disarankan untuk kanak-kanak yang mengalami daya tahan badan yang lemah termasuklah mereka yang telah menjalani pembedahan pembuangan limpa atas sebab-sebab tertentu. Contohnya seperti pesakit Talasemia (penyakit darah yang kronik).
Rujukan
- Centers for Disease Control and Prevention. Pneumococcal Disease.
- Brazier, Y. (2018). What is pneumococcal disease? MedicalNewsToday