Penyakit kayap atau nama perubatannya, Herpes Zoster adalah sejenis penyakit kulit dan saraf yang disebabkan oleh jangkitan Virus Varicella Zoster (VZV).
Virus Varicella Zoster ini adalah virus yang sama yang menyebabkan penyakit cacar air (chickenpox).
Seperti kurap dan kudis buta, kayap juga boleh berjangkit terutamanya kepada mereka yang tidak pernah terkena penyakit ini atau tidak pernah menerima vaksin varicella.
Virus Varicella Zoster ini boleh berjangkit sekiranya seseorang itu menyentuh cecair daripada ruam lepuh mereka yang menghidap kayap. Individu yang dijangkiti pada awalnya akan membentuk cacar air. Kemudian, mereka boleh dijangkiti penyakit kayap ini dikemudian hari.
Virus ini tidak akan berjangkit selagi penghidap kayap ini tidak membentuk lepuh yang berair atau ruam menjadi berkeruping.
Malah, cacar air lebih mudah berjangkit dan menyebarkan virus Varicella Zoster ini berbanding kayap.
Punca Penyakit Kayap
Virus Varicella Zoster (VZ) adalah punca utama bagi penyakit ini. Golongan yang pernah terkena penyakit cacar air adalah golongan berisiko tinggi untuk terkena penyakit kayap ini.
Ini kerana bagi mereka yang telah sembuh daripada cacar air ini, virus VZ ini akan memasuki sistem saraf badan dan kekal tidak aktif selama bertahun-tahun.
Virus ini kemudiannya boleh kembali aktif dan melalui saraf anda ke bahagian kulit menghasilkan kayap. Walau bagaimanapun, tidak semua yang pernah menghidap cacar air akan dijangkiti kayap.
Terdapat juga beberapa faktor risiko lain yang mendedahkan seseorang itu kepada penyakit kulit ini. Antaranya:
- Sistem imun yang lemah
- Peningkatan usia (berusia 50 tahun ke atas)
- Tekanan emosi
- Tengah menerima rawatan kanser
- Penghidap kanser leukemia dan limfoma
- Penghidap HIV
Simptom atau Gejala Penyakit Kayap
Penyakit kayap lazimnya akan mengalami beberapa peringkat perkembangan dalam masa 3 hingga 5 minggu. Dalam masa ini, pesakit akan mengalami beberapa simptom atau tanda yang berbeza-beza.
Peringkat Awal
Pada peringkat awal selepas virus Varicella Zoster ini kembali aktif, pesakit akan berasa sakit, kebas, panas dan gatal-gatal dibawah kulit terutamanya di bahagian urat saraf yang terlibat.
Biasanya, ia melibatkan sebelah anggota badan seperti di bahagian pinggang, belakang atau dada.
Peringkat Perkembangan
Selepas kira-kira 5 hari, tompok-tompok merah ruam akan terbentuk di kawasan sakit tersebut.
Selepas 1-2 hari, akan timbul gelembung-gelembung cecair yang kecil di bahagian itu. Cecair dalam gelembung ini berwarna jernih atau kekuningan.
Pada masa ini, pesakit akan turut mengalami simptom-simptom seperti demam, sakit kepala dan keletihan.
Peringkat Akhir
Dalam masa 10 hari berikutnya, cecair dalam gelembung-gelembung kecil ini akan menjadi semakin keruh dan akhirnya akan kering.
Gelembung-gelembung yang kering ini akan membentuk keruping dan luruh dengan sendirinya dalam jangka masa 1 -2 minggu.
Setelah keruping ini hilang, sesetengah pesakit mungkin masih mengalami kesakitan. Ia disebabkan oleh bisa di urat saraf akibat serangan virus ini.
Komplikasi
Mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah berisiko untuk mengalami komplikasi akibat daripada penyakit ini.
Antara komplikasi yang boleh berlaku adalah:
- Jangkitan kuman.
- Buta atau hilang penglihatan.
- Komplikasi organ dalaman.
- Masalah saraf.
- Neuralgia lepas herpes (postherpetic neuralgia) – kesakitan di bahagian urat saraf.
Rawatan Penyakit Kayap
Rawatan kayap boleh membantu melegakan simptom-simptom, memendekkan tempoh jangkitan dan mencegah daripada berlakunya komplikasi.
1. Ubat Antivirus
Ubat antivirus (ubat preskripsi) boleh membantu mempercepatkan penyembuhan dan menggelakkan daripada berlakunya komplikasi.
Antara ubat antivirus yang digunakan adalah:
- Acyclovir
- Valacyclovir
- Famciclovir
2. Ubat Tahan Sakit
Kayap boleh menyebabkan keradangan dan kesakitan. Ubat tahan sakit belian kaunter yang boleh dibeli di farmasi boleh membantu melegakan ketidakselesaan yang berlaku.
Antaranya:
- Paracetamol
- Ibuprofen
- Naproxen
3. Ubat sapu
Ubat sapu seperti potassium permanganate juga boleh digunakan untuk mengeringkan gelembung-gelembung.
4. Ubat Neuroaktif
Ubat neuroaktif seperti amitriptyline atau desipramine boleh membantu melegakan kesakitan yang berpanjangan walaupun kulit pesakit telah sembuh.
Pantang Larang Kayap
Penjagaan makanan boleh sedikit sebanyak membantu mengurangkan keradangan yang berlaku. Makanan juga boleh memberi kesan terhadap sistem imun badan.
Oleh itu, sekiranya anda atau orang yang terdekat dengan anda diserang penyakit kulit ini, cuba hindari atau hadkan makanan berikut:
1. Gula atau makanan manis
Gula atau makanan manis boleh melemahkan sistem imun badan yang melawan jangkitan dan meningkatkan keradangan. [1, 2]
2. Makanan segera
Makanan segera juga mempunyai banyak karbohidrat bertapis, makanan yang diproses dan bahan aditif. Bahan-bahan ini boleh melemahkan sistem imun badan dan meningkatkan keradangan. [3]
3. Karbohidrat bertapis
Karbohidrat bertapis ialah karbohidrat yang diproses. Karbohidrat bertapis juga boleh meningkatkan penghasilan radikal bebas yang boleh meningkatkan keradangan. [4]
Contoh karbohidrat bertapis ialah roti putih, pasta, pastri dan tepung putih.
4. Kurangkan makanan mengandungi asid amino arginina
Arginina ialah asid amino yang didapati dalam kekacang, telur, ayam dan tepung gandum.
Arginina ini dikaitkan dengan replikasi dan kemudaratan pelbagai virus dalam kajian di makmal termasuklah virus Varicella Zoster. [5]
Oleh itu, pengurangan pengambilan makanan seperti telur, ayam, kekacang dan tepung gandum boleh membantu mengurangkan tahap keterukan jangkitan yang berlaku.
Selain penjagaan makanan, stres atau tekanan juga boleh melemahkan sistem imun badan seterusnya mendedahkan badan kepada jangkitan.
Kayap Semasa Mengandung
Kayap semasa mengandung jarang-jarang berlaku dan tidak mustahil untuk berlaku. Sekiranya, anda ada bersentuhan dengan mereka yang menghidap cacar air atau kayap, anda berpotensi untuk terkena penyakit kulit ini.
Biasanya, ia tidak menyebabkan sebarang komplikasi. Dapatkan rawatan segera sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya anda mendapat sebarang ruam ketika mengandung.
Langkah-langkah Pencegahan
Vaksin seperti Shringix boleh mencegah jangkitan virus Varicella Zoster ini daripada berlaku. Kanak-kanak dan orang dewasa yang tidak pernah menerima vaksin ini boleh mendapatkan suntikan vaksin ini.
Rujukan
- Melida Ratini. (2020). What Meds Treat and Prevent Shingles? WebMD.
- Ana Gotter & Laura Goldman. (2019). Everything You Need to Know About Shingles. Healthline.
- InformedHealth.org [Internet]. Cologne, Germany: Institute for Quality and Efficiency in Health Care (IQWiG); 2006-. Shingles: Overview. 2014 Nov 19 [Updated 2019 Nov 21].
- Valencia Higuera. (2019). 6 Natural Treatments for Shingles. Healthline.
- Yu, S.,et al. (2018). A high-sugar diet affects cellular and humoral immune responses in Drosophila. Experimental cell research.
- Jafar, N., Edriss, H., & Nugent, K. (2016). The Effect of Short-Term Hyperglycemia on the Innate Immune System. The American journal of the medical sciences.
- Myles I. A. (2014). Fast food fever: reviewing the impacts of the Western diet on immunity. Nutrition journal.
- Iddir, M.,et al. (2020). Strengthening the Immune System and Reducing Inflammation and Oxidative Stress through Diet and Nutrition: Considerations during the COVID-19 Crisis. Nutrients.
- LoBue, S. A., et al. (2019). Recurrent herpes zoster ophthalmicus in a young, healthy individual taking high doses of l-Arginine. American journal of ophthalmology case reports.