Apa itu Penyakit Jantung Kongenital?
Penyakit jantung kongenital ialah kecacatan atau masalah berkaitan dengan struktur jantung yang wujud sejak lahir. Contohnya seperti:
- Jantung berlubang (lubang pada dinding jantung)
- Masalah berkaitan saluran darah (terlalu banyak atau terlalu sedikit, darah mengalir terlalu perlahan, ke tempat yang salah atau ke arah yang salah)
- Masalah dengan injap jantung
Kongenital bermakna anda dilahirkan dengan keadaan atau penyakit tersebut. Sesetengah kes penyakit jantung kongenital adalah mudah dan mungkin tidak menyebabkan sebarang gejala, tetapi terdapat juga kes yang boleh mengancam nyawa dan memerlukan rawatan.
Kecacatan jantung mungkin dapat dikesan lebih awal (sebelum bayi dilahirkan atau tidak lama selepas itu). Tetapi kadangkala, penyakit jantung ini tidak didiagnosis sehingga zaman kanak-kanak, remaja atau dewasa.
Jenis-jenis Penyakit Jantung Kongenital
Terdapat banyak jenis penyakit jantung kongenital.
Secara umumnya, penyakit jantung kongenital boleh dibahagikan kepada dua jenis yang utama iaitu penyakit jantung kongenital sianosis dan penyakit jantung kongenital bukan sianosis.
Penyakit jantung kongenital sianosis melibatkan kecacatan jantung yang mengurangkan jumlah oksigen yang dihantar ke seluruh badan. Ia kadangkala dipanggil kecacatan jantung kongenital kritikal.
Bayi yang dilahirkan dengan penyakit jantung kongenital sianosis biasanya mempunyai tahap oksigen yang rendah dan memerlukan pembedahan. Contohnya termasuk:
- Hypoplastic left heart syndrome (jantung terlalu kecil pada bahagian kiri)
- Tetralogy of Fallot (sekumpulan 4 kecacatan)
- Pulmonary atresia (injap tidak terbentuk dengan baik)
- Tricuspid atresia (injap tidak terbentuk dengan baik)
- Truncus arteriosus (jantung hanya mempunyai satu arteri utama)
Penyakit jantung kongenital bukan sianosis melibatkan kecacatan yang menyebabkan darah mengepam melalui badan secara tidak normal. Contohnya adalah:
- Atrial septal defect (jantung berlubang)
- Atrioventricular canal defect (jantung berlubang)
- Patent ductus arteriosus (jantung berlubang)
- Ventricular septal defect (jantung berlubang)
- Aortic coarctation (aorta terlalu sempit)
- Pulmonary artery stenosis (arteri pulmonari terlalu sempit)
Gejala-gejala atau Tanda Penyakit Jantung Kongenital
Kecacatan jantung kongenital yang serius biasanya dapat dilihat sejurus selepas kelahiran atau semasa beberapa bulan pertama kehidupan.
Bagi sesetengah orang, gejala-gejala atau tanda penyakit jantung ini tidak disedari sehinggalah dewasa.
Gejala-gejala atau tanda bagi kanak-knaak adalah seperti berikut:
- Kulit, bibir atau jari kuku menjadi warna biru (sianosis)
- Pernafasan laju
- Bengkak di kaki, perut atau kawasan sekitar mata
- Sesak nafas semasa penyusuan, membawa kepada kurang peningkatan berat badan
Manakala, gejala-gejala atau tanda bagi orang dewasa pula adalah seperti:
- Aritmia
- Sesak nafas
- Kulit, bibir dan kuku jari berwarna biru (sianosis)
- Cepat penat apabila melakukan aktiviti
- Sembab pada tisu badan atau organ
Punca
Penyakit jantung ongenital berlaku apabila jantung janin tidak terbentuk dengan betul semasa di dalam rahim.
Para saintis tidak memahami sepenuhnya kenapa keadaan ini berlaku, tetapi ia mungkin berkaitan dengan:
- Keabnormalan kromosom atau genetik
- Merokok semasa hamil
- Meminum alkohol semasa hamil
- Ibu hamil mempunyai penyakit seperti diabetes, jangkitan virus atau penyalahgunaan dadah
Rawatan
Jenis rawatan bergantung pada jenis kecacatan jantung kongenital yang anda atau bayi anda alami dan betapa seriusnya keadaannya.
Kebanyakan kecacatan jantung kongenital yang ringan akan menjadi lebih baik dari semasa ke semasa dan tidak memerlukan rawatan sama sekali.
Walau bagaimanapun, kecacatan jantung kongenital yang kritikal selalunya memerlukan rawatan.
Ubat-ubatan
Ubat-ubatan selalunya digunakan sekiranya bayi anda mempunyai kecacatan jantung kongenital khusus yang dikenali sebagai duktus arteriosus terbuka.
Biasanya, duktus arteriosus terbuka sembuh dengan sendirinya, namun kadangkala ubat diperlukan untuk menutup duktus arteriosus terbuka pada bayi pramatang.
Antara ubat-ubatan yang mungkin digunakan adalah:
- Indomethacin
- Ibuprofen
- Acetaminophen (paracetamol)
Prosedur
Pengkateteran jantung kadangkala digunakan untuk membaiki kecacatan jantung yang mudah, seperti kecacatan septum atrium dan duktus arteriosus terbuka, jika ia tidak pulih dengan sendirinya.
Ia juga boleh digunakan untuk membuka injap jantung atau saluran darah yang terlalu sempit.
Pembedahan
Pembedahan jantung mungkin diperlukan untuk beberapa sebab seperti:
- Membaiki jantung berlubang
- Membaiki duktus arteriosus terbuka
- Melebarkan saluran darah yang sempit
- Membaiki atau menggantikan injap
- Membaiki kecacatan yang kompleks
Kanak-kanak mungkin memerlukan pemindahan jantung sekiranya mereka mempunyai kecacatan jantung kongenital yang kompleks, yang tidak dapat dibaiki melalui pembedahan atau jika jantung mereka mengalami kegagalan selepas pembedahan.
Rujukan
- National Heart, Lung and Blood Institute. (2022). What are Congenital Heart Defects?
- Cleveland Clinic medical professional. (2021). Congenital Heart Disease. ClevelandClinic
- Mayo Clinic Staff. (2023). Congenital heart disease in adults. MayoClinic