Pemilik gerai yang menjual meratabak yang mengandungi cebisan kain dikompaun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana kecuaian pengendalian makanan.
KKM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) telah menjalankan siasatan lanjut dan mendapati terdapat kecuaian semasa pengendalian makanan sehingga menyebabkan kehadiran kain pengelap dalam martabak tersebut.

Tambahan lagi, pihak KKM juga turut menjumpai beberapa kesalahan lain yang turut dilakukan pemilik gerai tersebut seperti tiada pengasingan yang jelas antara makanan mentah dan yang sudah dimasak, mengunakan kain pengelap yang tidak bersih, dan pengendali makanan tidak memakai pakaian pelindung diri dengan sempurna.
“Justeru itu, pemilik gerai tersebut telah dikompaun di bawah Peraturan 32 (1)(b) Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009,” kata kenyataan itu pada Rabu.
Sebelum ini tular di media sosial apabila seorang pengguna, Yuhaiza Hamid memuat naik hantaran menemui cebisan kain di dalam martabak yang dibeli di salah sebuah gerai di Bazar Ramadan Desa Pandan, Kuala Lumpur.
Di samping itu juga, KKM mengingatkan kepada semua peniaga premis makanan termasuk di bazar Ramadan untuk mempertingkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan di premis masing-masing bagi mengelakkan sebarang pencemaran silang dan kehadiran bendasing dalam makanan yang dijual.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa cuaca panas pada ketika ini boleh menyebabkan pembiakan bakteria yang lebih pantas dan menyebabkan makanan cepat basi daripada kebiasaan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk mengutamakan keselamatan makanan sepanjang bulan Ramadan ini dalam memilih apa sahaja juadah berbuka, sebelum membeli “Perhati dan Pilih” serta amalkan Lihat Hidu Rasa kerana ia langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan.” tambah kenyataan tersebut.