Pengurusan ubat semasa musim banjir adalah antara cabaran besar dalam aspek kesihatan awam. Selain menyelamatkan nyawa dan harta benda, pengurusan ubat-ubatan penting bagi mengelakkan penyakit kronik tidak terkawal dan penyebaran penyakit berjangkit.
Apabila banjir melanda, terdapat sebilangan pesakit yang mengalami masalah bekalan ubat terputus kerana mereka tidak dapat menyambung bekalan ubat di fasiliti kesihatan akibat terputus hubungan atau menjadi mangsa banjir.
Masalah ini menyebabkan pesakit tidak dapat mengambil ubat seperti yang sepatutnya. Ketidakpatuhan terhadap pengambilan ubat akan menyebabkan penyakit kronik yang dihidapi menjadi tidak terkawal dan seterusnya meningkatkan risiko mengalami komplikasi.

Sehubungan dengan itu, pesakit yang tinggal di kawasan yang kerap dilanda banjir perlu diberi pendedahan berkaitan cara pengurusan ubat yang betul dan sistematik untuk menghadapi banjir.
Perancangan Sebelum Banjir
Perancangan awal sebelum banjir melanda merupakan langkah penting dalam pengurusan ubat-ubatan. Pesakit kronik khususnya perlu memastikan bahawa bekalan ubat yang diperlukan untuk mengawal penyakit adalah mencukupi sepanjang tempoh musim banjir.
Pesakit boleh meminta persetujuan doktor yang merawat supaya memberikan tarikh janji temu yang seterusnya selepas tempoh musim banjir.
Ubat-ubatan perlulah disimpan di dalam bekas yang kalis air atau di lokasi yang mudah diakses bagi memudahkan bekas ubat tersebut dipindahkan sekiranya air banjir mula naik.
Ubat-ubatan tersebut juga harus disimpan pada suhu yang betul, dilindungi daripada kelembapan dan cahaya serta dijauhkan daripada capaian kanak-kanak.
Dokumen atau rekod perubatan juga perlu disimpan dengan selamat supaya tidak hilang atau musnah akibat banjir.
Pengurusan Ubat-ubatan Semasa Banjir
Sekiranya kediaman pesakit dilanda banjir dan pesakit diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), mereka hendaklah membawa semua ubat yang dimiliki dan rekod perubatan ke PPS.
Tindakan ini penting untuk mengelakkan ubat-ubatan tersebut daripada rosak atau ditenggelami banjir.
Di samping itu, bekalan ubat yang dibawa dapat memastikan pesakit tidak tertinggal dos ubat yang perlu diambil. Pesakit tidak seharusnya menjadikan banjir sebagai alasan untuk tidak patuh kepada rawatan.
Pesakit hendaklah memastikan ubat diambil dengan air bersih yang telah dimasak atau air botol minuman yang disediakan di PPS.
Perkara ini penting bagi mengelakkan risiko jangkitan penyakit bawaan air seperti taun.
Di PPS, pesakit diingatkan supaya tidak berkongsi atau memberikan ubat yang dimiliki kepada orang lain walaupun menghidap gejala yang sama.
Ubat yang digunakan oleh seseorang individu tidak semestinya sesuai untuk diambil oleh individu lain.
Mana-mana pesakit yang tidak mempunyai ubat sendiri perlu dirujuk kepada pasukan perubatan yang bertugas.
Lazimnya, apabila pusat pemindahan banjir dibuka, pasukan perubatan yang bertugas akan membawa bersama-sama kit banjir yang mengandungi peralatan perubatan dan ubat-ubatan untuk kegunaan mangsa banjir.
Pesakit yang mengalami masalah terputus bekalan ubat hendaklah memaklumkan pasukan perubatan agar tindakan yang sesuai dapat diambil untuk mengatasi masalah tersebut.
Pengurusan Ubat Selepas Banjir
Tumpuan utama dalam pengurusan ubat-ubatan selepas banjir adalah untuk memastikan ubat-ubatan yang masih ada selamat untuk digunakan dan pesakit mendapat akses kepada rawatan susulan.
Apabila banjir mulai surut, pesakit dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan atau bekalan ubat di klinik kesihatan atau hospital.
Doktor akan memeriksa pesakit secara menyeluruh dan ubat akan diberikan berdasarkan status kesihatan semasa pesakit.
Pesakit juga harus diingatkan bahawa ubat yang terdedah kepada banjir adalah tidak selamat untuk digunakan dan harus dilupuskan dengan cara yang betul.
Antara contoh keadaan ubat yang menunjukkan tanda-tanda telah rosak dan perlu dilupuskan termasuklah kapsul yang melekat serta tablet yang lembap, hancur atau berubah warna.
Nasihat untuk pesakit dan orang awam
Pengurusan ubat-ubatan yang baik sangat dititikberatkan bukan sahaja sebelum musim banjir, bahkan semasa dan selepas bencana banjir tersebut berlaku.
Perancangan yang rapi sebelum banjir dapat mengelakkan masalah bekalan ubat-ubatan terputus hingga menyebabkan pesakit tidak dapat patuh kepada pengambilan ubat-ubatan.
Pesakit kronik khususnya hendaklah mengambil ubat seperti yang diarahkan walaupun ketika berada di pusat pemindahan banjir.
Selepas situasi kembali pulih, pesakit hendaklah segera mendapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan agar rawatan bagi penyakit yang dihidapi dapat diteruskan.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).

Hasryn Azzuar Mohd Khairy
En. Hasryn Azzuar Bin Mohd Khairy ialah pegawai farmasi di Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya.