Buat mereka yang ingin mengenali Michael Jordan, beliau adalah bekas pemain bola keranjang Amerika yang telah membawa pasukannya memenangi 6 kali Kejuaraan NBA (National Basketball Association).
Selain menjadi pemain bola keranjang, beliau juga seorang atlet Olimpik, pelakon dan juga ahli perniagaan.
Semasa era kegemilangan beliau pada pertengahan tahun 1980-an sehingga lewat 1990-an, Michael Jordan pernah dinobatkan sebagai Anugerah Pemain Paling Bernilai NBA sebanyak 5 kali.

Nama penuh Michael Jordan adalah Michael Jeffrey Jordan. Beliau dilahirkan di Brooklyn, New York pada 17 February 1963 dan membesar di Wilmington, North Carolina. Beliau memiliki 4 orang adik beradik yang bernama Larry, Deloris, Roslyn dan James Jr.
Menelusuri kehidupannya, minat Jordan terhadap bola keranjang dicetuskan oleh bapanya. Bapanya juga turut membina gelanggang bola keranjang di halaman rumah mereka.
Jordan kehilangan bapanya ketika beliau berusia 30 tahun akibat dibunuh oleh 2 orang remaja yang ingin merompak.
Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di University of North Carolina pada tahun 1981 dan mula membina kerjaya dalam sukan bola keranjang.
Michael Jordan memulakan kerjaya sebagai pemain bola keranjang profesional pada tahun 1984 apabila menyertai pasukan Chicago Bulls. Sepanjang kerjayanya, beliau pernah mencatatkan lebih 3000 mata pada satu musim dan membawa kemenangan kepada pasukan sebanyak 6 kali dalam kejuaraan NBA.
Beliau bersara daripada kerjaya pemain bola keranjang profesional sebanyak 3 kali iaitu pada tahun 1993, 1998 dan akhir sekali pada tahun 2003.
Terdapat beberapa pengajaran hidup atau motivasi yang boleh kita pelajari daripada lelaki yang bernama Michael Jordan ini.
Menjadi seorang yang hebat bukanlah sesuatu yang berlaku hanya sekelip mata, sudah tentu ia memerlukan usaha dan pengorbanan.
Oleh itu, mari kita pelajari beberapa pengajaran hidup daripada Michael Jordan yang menjadikan beliau sebagai seorang pemain yang hebat dan berjaya.
1. Jangan Takut untuk Gagal
Michael Jordan menasihati kita agar jangan takut untuk gagal. Kegagalan adalah guru yang terbaik untuk mereka yang ingin berjaya.
Menurut Michael Jordan, beliau pernah tersasar 9000 jaringan dalam kerjayanya. Beliau juga pernah kalah hampir 300 perlawanan. Beliau juga pernah diberi kepercayaan untuk membuat lontaran penentuan sebanyak 26 kali dan gagal.
Beliau gagal berkali-kali dalam hidupnya dan itu membuatkan beliau berjaya.
2. Jangan Berputus Asa
Putus asa sepatutnya tiada dalam kamus hidup mereka yang ingin berjaya. Sememangnya sebelum mencapai kejayaan, pelbagai onak dan duri yang harus ditempuhi.
Oleh sebab itu, tidak semua orang boleh berjaya. Hanya mereka yang tidak berputus asa sahaja akan beroleh kejayaan.
Michael Jordan pernah disingkirkan daripada pasukan bola keranjang universitinya. Disebalik merengek atau mengeluh, beliau menggandakan usahanya dalam latihan dan berjaya menjadi pemain bintang di universitinya.
3. Kerja Keras
Kerja keras juga merupakan salah satu resepi kejayaan bagi Michael Jordan.
Beliau percaya dengan kerja keras, hasilnya akan tiba kemudian.
Teruskan berkerja keras, teruskan apa yang anda sedang lakukan, gandakan usaha anda dan pastikan anda akan dapat melihat hasilnya pada suatu hari nanti.
4. Harapan Pada Diri Sendiri
Seseorang yang ingin berjaya juga mesti mempunyai harapan pada diri mereka sendiri.
Menurut Michael Jordan, anda memerlukan harapan atau jangkaan pada diri sendiri terlebih dahulu sebelum anda boleh melakukannya.
Ini menunjukkan seseorang yang ingin berjaya harus mempunyai sasaran dalam diri mereka sebelum mereka boleh mencapai kejayaan tersebut.
5. Jadikan Ia Benar
Menurut Jordan, sesetengah orang ingin perkara itu berlaku, sesetengah orang berharap sesuatu perkara itu berlaku dan ada orang yang jadikan ia berlaku.
Angan-angan tanpa tindakan tidak akan menjadikan kita seorang yang berjaya. Tetapi jika angan-angan itu turut disertakan dengan tindakan, angan-angan itu boleh menjadi kenyataan.
6. Berani Mencuba
Untuk berjaya, seseorang itu harus berani mencuba dan berani untuk menerima kegagalan.
Menjadi permasalahan bagi ramai daripada kita adalah kita tidak berani mencuba kerana takut akan kegagalan.
Menurut Jordan, beliau boleh menerima kegagalan, semua orang gagal dalam sesuatu. Tetapi beliau tidak boleh menerima sekiranya beliau tidak mencuba.
7. Kesungguhan atau Minat
Minat dan kesungguhan akan menjadikan seseorang itu tidak jemu untuk melakukan sesuatu perkara.
Minat juga akan menjadikan seseorang terus setia terhadap apa yang diusahakan atau dilakukannya. Untuk berjaya, anda harus mempunyai minat dalam apa sahaja perkara yang anda lakukan.
Rumusan
Ringkasnya, Michael Jordan menunjukkan kepada kita bahawa kerja keras, tidak takut untuk gagal, tidak berputus asa, berani mencuba dan minat boleh menjadikan seseorang itu insan yang berjaya dalam apa sahaja bidang yang mereka ceburi.
Rujukan
- Biography Editors. (2021). Michael Jordan Biography. The Biography.