Kementerian Kesihatan Malaysia pada hari ini memaklumkan bahawa berdasarkan Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-381 yang bersidang pada 2 Februari 2023 telah bersetuju dengan keputusan membatalkan pendaftaran produk ubat veterinar berdaftar yang mengandungi Polymyxin E (Colistin) berkuatkuasa serta-merta.
Pengilangan, pengimportan dan pembekalan produk yang mengandungi Polymyxin E tidak dibenarkan serta-merta. Pemegang pendaftaran produk dibenarkan untuk menghabiskan stok sedia ada di pasaran dalam tempoh 3 bulan dari tarikh surat pembatalan produk.
Selain itu, mesyuarat tersebut turut membuat beberapa ketetapan lain seperti:
- Semua polymyxins disenaraikan sebagai bahan terlarang dalam semua produk ubat veterinar untuk semua spesies sasaran KECUALI produk ubat veterinar yang mengandungi Polymyxin B dalam bentuk sediaan topikal.
- Permohonan pendaftaran baru produk ubat veterinar yang mengandungi Polymyxin akan ditolak (kecuali Polymyxin B dalam bentuk sediaan topikal) berkuatkuasa serta merta.
- Permohonan pendaftaran semula bagi produk ubat veterinar yang mengandungi Polymyxins tidak akan dipertimbangkan (kecuali Polymyxin B dalam bentuk sediaan topikal) berkuatkuasa serta-merta.
Ketetapan di atas adalah tidak terpakai untuk produk ubat veterinar yang mengandungi Polymyxin B dalam bentuk sediaan topikal.
Oleh itu, pendaftaran produk ubat veterinar sedia ada yang mengandungi Polymyxin B dalam bentuk sediaan topikal adalah dikekalkan.
Risiko Rintangan Antimikrobial
Polymyxin khususnya Polymyxin E (Colistin) mempunyai potensi untuk disalahguna dalam makanan haiwan sebagai agen penggalak pertumbuhan.
Penggunaan Polymyxin E (Colistin) secara berleluasa boleh menyumbang kepada kerintangan antimikrobial.
Kerintangan antimikrobial berlaku apabila bakteria berubah dan menjadi rintang terhadap antibiotik yang digunakan untuk merawat jangkitan yang disebabkan oleh bakteria-bakteria tersebut.
Oleh sebab itu, pihak KKM mengambil langkah proaktif dengan menyenaraikan semua Polymyxins (kecuali Polymyxin B dalam bentuk sediaan topikal) sebagai bahan terlarang dalam produk ubat veterinar sebagai langkah mengurangkan risiko kerintangan antimikrobial (AMR) terhadap Polymyxins.