Kesedaran untuk mengurangkan atau menghentikan pengambilan gula membawa kepada penggunaan pemanis tiruan yang semakin meluas dalam pelbagai produk makanan dan minuman. Umum mengetahui bahawa pengambilan gula putih atau gula pasir berlebihan boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan.
Pemain industri melihat pemanis tiruan adalah alternatif utama yang boleh menjadikan produk mereka rendah kalori dan tetap mempunyai rasa manis. Malah, ada pengilang yang memasukkan pemanis tiruan dalam produk yang secara tradisionalnya tidak mengandungi gula tambahan bagi meningkatkan keenakannya.
Namun, timbul persoalan adakah pemanis tiruan ini selamat? Satu kajian populasi terkini telah melaporkan bahawa pemanis tiruan boleh meningkatkan risiko terhadap kanser. Artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai dapatan kajian tersebut.
Jenis-jenis Pemanis Tiruan
Terdapat beberapa jenis pemanis tiruan yang digunakan dalam pasaran. Antaranya adalah:
- Aspartam (aspartame): Selalu digunakan dalam makanan panas dan sejuk termasuklah minuman berkarbonat sifar kalori. Aspartam adalah 200 kali kebih manis daripada gula putih.
- Asesulfam kalium (Acesulfame-K) atau ace-K: Selalu digunakan dalam makanan panas dan sejuk. Turut digunakan dalam minuman berkarbonat sifar kalori. Asesulfam kalium adalah 200 kali lebih manis daripada gula putih.
- Sukralosa (sucralose): Selalu digunakan dalam makanan diproses. Sukralosa adalah 600 kali lebih manis daripada gula putih.
- Sakarin (saccharin): Biasanya digunakan dalam minuman diet berkarbonat, gula-gula rendah kalori, jem, jeli dan biskut. Sakarin adalah 300 kali lebih manis daripada gula putih.
- Advantame: Digunakan dalam minuman ringan, gula-gula getah, gula-gula, puding, pencuci mulut, jem, jeli, buah-buahan diproses, jus buah dan sirap.
- Neotame (Newtame): Digunakan dalam minuman, gula-gula, gula-gula getah, produk tenusu, puding atau pemanis mulut sejuk beku. Neotame adalah 8,000 kali lebih manis daripada gula putih.
Aspartam dan Asesulfam-K Boleh Meningkatkan Risiko Kanser
Kajian terkini yang dijalankan oleh kumpulan pengkaji dari Perancis mendapati pemanis tiruan terutamanya aspartam dan asesulfam-K boleh meningkatkan risiko kanser bagi pengguna pemanis tiruan ini.
Kajian ini merupakan satu kajian populasi yang melibatkan 102,865 orang dewasa yang berusia 18 tahun ke atas yang dijalankan sejak tahun 2009 hingga 2021.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal PLUS Medicine tersebut, secara umumnya, pengkaji melaporkan bahawa pemanis tiruan terutamanya aspartam (aspartame) dan asesulfam-K (acesulfame-K) mempunyai perkaitan dengan peningkatan risiko kanser secara keseluruhannya.
Secara khususnya, pengambilan aspartam boleh meningkatkan risiko terhadap kanser payudara dan kanser yang berkaitan dengan obesiti (kegemukan).
Kekuatan utama kajian ini adalah penilaian terperinci tentang pendedahan kepada pemanis tiruan pada peringkat individu. Rekod pemakanan 24 jam yang berulang-ulang membolehkan mereka mengumpul maklumat tepat tentang penggunaan produk perindustrian, termasuk jenama atau nama komersial mereka.
Pengkaji turut membuat kesimpulan bahawa penemuan mereka tidak menyokong penggunaan pemanis tiruan sebagai alternatif selamat untuk gula dalam makanan atau minuman.
Kajian-kajian Terdahulu
Sebelum ini, para saintis mengesa agar pihak berkuasa kesihatan awam untuk menilai semula peranan aspartam dalam perkembangan kanser berdasarkan beberapa kajian yang telah dijalankan.
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan oleh pengkaji dari Boston College, USA melaporkan bahawa aspartam bersifat karsinogen terhadap tikus yang diuji. Mereka mengesahkan penemuan yang sangat membimbangkan bahawa pendedahan pranatal kepada aspartam meningkatkan risiko kanser pada anak tikus tersebut. [1]
Kajian tabung uji turut mendapati pada dos yang rendah aspartam boleh menjadi agen angiogenesis dan meningkatkan keradangan. Ciri-ciri ini boleh mewujudkan keadaan yang sesuai untuk pemerebakan sel-sel kanser, reumatoid artritis dan retinopati diabetes. Angiogenesis ialah pembentukan saluran darah baru. [2]
Peranan Kita Sebagai Pengguna?
Sebagai pengguna, kita mempunyai pilihan. Maka, pilihlah makanan atau minuman yang menyihatkan dan tidak mengandungi bahan-bahan yang boleh mengundang risiko kepada kesihatan.
Membaca label ramuan atau bahan-bahan yang digunakan bagi sesuatu produk boleh membantu anda mengelakkan bahan-bahan yang boleh membawa mudarat kepada kesihatan.
Rujukan
- Landrigan, P. J., & Straif, K. (2021). Aspartame and cancer – new evidence for causation. Environmental health.
- Alleva, R. et al. (2011). In vitro effect of aspartame in angiogenesis induction. Toxicology in vitro.