Kuala Muda, 28 April 2025 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan berlakunya kluster penyakit berjangkit dalam kalangan pelajar dan kakitangan di sebuah institusi pendidikan di daerah Kuala Muda, Kedah.
Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda telah mengenal pasti kluster Influenza-Like-Illness (ILI) melibatkan 28 kes daripada 158 pelajar yang terdedah, dengan kadar serangan 17.7%. Daripada jumlah itu, enam pelajar disahkan positif Influenza A dan telah menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, sebelum dibenarkan pulang ke rumah. Sementara itu, 22 lagi pelajar yang menunjukkan gejala menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Dalam kejadian berkaitan, PKD Kuala Muda juga menerima notifikasi melibatkan seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun dan seorang kakitangan dari institusi sama yang mengalami gejala demam, keletihan, batuk, dan sakit badan. Kedua-duanya dimasukkan ke wad di Hospital Sultan Abdul Halim dan berada dalam keadaan stabil. Ujian awal mendapati mereka negatif untuk jangkitan virus Influenza, namun punca jangkitan masih dalam siasatan.
KKM menegaskan bahawa langkah-langkah kawalan dan pencegahan telah diambil segera, termasuk siasatan persekitaran, penilaian risiko kawasan kem, pengesanan kes secara aktif, rawatan, pengasingan kes bergejala, serta pemantauan berterusan terhadap kes ILI di daerah Kuala Muda.
Orang ramai dinasihatkan untuk terus mengamalkan langkah pencegahan seperti mencuci tangan dengan kerap, mengamalkan adab batuk yang betul, memakai pelitup muka, dan mendapatkan vaksinasi influenza tahunan. Mereka yang mengalami gejala berpanjangan seperti demam, batuk dan selesema disarankan mendapatkan pemeriksaan segera di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta.