Adakah pantang larang makanan untuk pesakit hipotiroidisme boleh membantu penyakit ini? Walaupun ubat-ubatan adalah rawatan utama bagi hipotiroidisme, tetapi amalan pemakanan yang sihat boleh membantu meningkatkan fungsi tiroid dan mengurangkan simptom-simptom yang berlaku.
Apa itu Hipotiroidisme?
Hipotiroidisme ialah keadaan kesihatan di mana badan tidak menghasilkan hormon tiroid yang mencukupi.
Kelenjar tiroid adalah kelenjar kecil yang berbentuk seperti rama-rama yang terletak di bahagian bawah tekak anda.
Kelenjar ini menghasil dan menyimpan hormon tiroid yang memberi impak hampir di setiap organ di dalam badan anda.
Apabila kelenjar tiroid menerima isyarat yang dipanggil hormon perangsang tiroid (TSH), ia melepaskan hormon tiroid ke dalam aliran darah.
Isyarat ini dihantar dari kelenjar pituitari, kelenjar kecil yang terdapat di pangkal otak anda, apabila tahap hormon tiroid rendah.
Bagi hipotiroidisme, kelenjar tiroid tidak melepaskan hormon tiroid yang mencukupi walaupun ketika hormon perangsang tiroid (TSH) banyak.
Hipotiroidisme boleh dibahagikan kepada dua iaitu primer dan sekunder. Hipotiroidisme primer boleh disebabkan oleh:
- Penyakit autoimun seperti tiroiditis Hashimoto.
- Kekurangan iodin
- Pembedahan tiroid
- Keradangan tiroid
- Ubat-ubatan tertentu
- Rawatan perubatan yang merosakkan tiroid
Manakala, hipotiroidisme sekunder pula disebabkan oleh kelenjar pituitari yang tidak berfungsi dengan betul yang seterusnya menyebabkan kelenjar tiroid tidak menerima TSH yang mencukupi.
Makanan yang Boleh Dimakan
Pantang larang makanan untuk pesakit hipotiroidisme melibatkan makanan yang boleh dimakan dan makanan yang perlu dihadkan atau dielakkan.
Sesetengah makanan mengandungi nutrien-nutrien yang penting kepada kesihatan kelenjar tiroid. Tambahan daripada itu juga, penghidap hipotirioidisme juga cenderung untuk mengalami kekurangan nutrien tertentu berbanding masyarakat umum.
Berikut adalah makanan-makanan yang boleh dimakan oleh penghidap hipotiroidisme untuk cepat pulih daripada penyakit ini:
1. Makanan yang Tinggi dengan Iodin
Iodin ialah mineral yang diperlukan untuk menghasilkan hormon tiroid dan kekurangan mineral ini boleh menyebabkan hipotiroidisme.
Malah, kekurangan iodin adalah punca yang paling lazim yang menyebabkan hipotiroidisme di seluruh dunia. [1]
Pengambilan makanan yang tinggi dengan iodin dapat mengatasi masalah kekurangan iodin tersebut.
Berikut adalah makanan-makanan yang tinggi dengan iodin:
- Siput sedut
- Ikan bilis
- Kupang
- Kepah
- Kerang
- Ikan kembung
- Telur ayam
- Rumpai laut
- Bayam
- Garam beriodin
2. Makanan yang Tinggi dengan Selenium
Selenium juga merupakan mineral yang diperlukan untuk fungsi tiroid yang sihat.
Selenium diperlukan dalam penghasilan hormon tiroid dan turut membantu melindungi kelenjar tiroid daripada kerosakan akibat tekanan oksidatif.
Berikut adalah makanan-makanan yang tinggi dengan selenium:
- Hati ayam
- Hati lembu
- Daging kambing
- Ikan bilis
- Tiram
- Kacang brazil
- Telur itik
3. Makanan yang Tinggi dengan Zink
Mineral zink juga diperlukan untuk fungsi tiroid dan penghasilan hormon tiroid. Kekurangan mineral ini boleh menjejaskan fungsi tiroid.
Terdapat kajian yang menunjukkan suplemen zink berguna bagi mereka yang menghidap hipotiroidisme. Sama ada diambil secara bersendirian atau bersama-sama nutrien lain seperti selenium, magnesium atau vitamin A, suplemen zink boleh meningkatkan fungsi tiroid bagi anda yang menghidap hipotiroidisme.[2, 3]
Berikut adalah makanan-makanan yang tinggi dengan zink:
- Hati lembu
- Daging merah
- Daging ayam atau itik
- Makanan laut
- Telur ayam
4. Makanan yang Tinggi dengan Magnesium
Kekurangan mineral magnesium juga boleh meningkatkan risiko kepada hipotiroidisme.
Malah, terdapat kajian yang melaporkan bahawa kekurangan paras magnesium yang teruk dalam darah meningkatkan risiko kepada hipotiroidisme dan pengambilan suplemen magnesium memberikan kesan yang positif terhadap penyakit ini. [3, 4]
Berikut adalah makanan-makanan yang tinggi dengan magnesium:
- Roti gandum penuh
- Kacang gajus
- Kacang badam
- Kacang tanah
- Bayam
- Keledek
- Ikan mackerel
5. Makanan yang Tinggi dengan Zat Besi
Kekurangan zat besi atau anemia kekurangan zat besi juga boleh menjejaskan fungsi tiroid.
Kekurangan zat besi juga adalah lazim berlaku dalam kalangan wanita yang menghidap hipotiroidisme. Pengambilan makanan yang tinggi zat besi dan suplemen zat besi diperlukan untuk mengekalkan paras zat besi yang normal. [5,6]
Berikut adalah makanan-makanan yang tinggi dengan zat besi:
- Kacang kuda
- Pucuk paku
- Peria
- Bayam
- Kangkung
- Hati lembu
- Ikan bilis
- Kerang
Makanan yang Perlu Dikurangkan atau Dielakkan
Pesakit hipotiroidisme juga perlu menjaga pantang larang makanan terhadap sesetengah makanan seperti berikut:
1. Gluten
Penghidap penyakit Hashimoto berkemungkinan turut menghidap penyakit seliak. Hal ini demikian kerana kedua-dua penyakit ini merupakan penyakit autoimun.
Terdapat juga kajian yang mendedahkan bahawa mengasingkan makanan bergluten daripada diet pesakit Hashimoto tanpa penyakit seliak boleh meningkatkan fungsi tiroid.. [7]
Gluten boleh dijumpai dalam makanan-makanan berikut:
- Gandum
- Barli
- Oat
- Rai
2. Goitrogen
Goitrogen adalah sebatian yang boleh dijumpai dalam makanan seperti sayur-sayuran cruciferous. Jika dimakan pada jumlah yang banyak, goitrogen ini boleh menjejaskan fungsi tiroid.
Walau bagaimanapun, pada jumlah yang lazimnya dimakan, sayur-sayuran yang mengandungi goitrogen ini tidak menjejaskan fungsi tiroid.
Tambahan lagi, memasak sayur-sayuran ini boleh menyahaktifkan kebanyakan sebatian goitrogen tersebut.
Sayur-sayuran yang mengandungi goitrogen adalah:
- Brokoli
- Kubis
- Kubis bunga
- Kailan
3. Makanan diproses Ultra
Makanan yang diproses ultra adalah makanan yang tinggi dengan kandungan gula, garam dan minyak. Makanan-makanan seperti ini boleh menyumbang kepada tekanan oksidatif dan keradangan.
Adalah baik untuk penghidap hipotiroidisme untuk mengelakkan makanan-makanan seperti ini.
Contohnya seperti:
- Burger
- Kentang goreng
- Donut
- Biskut
- Mi segera
- Air berkarbonat
- Kek
- Sosej
Rumusan
Hipotiroidisme merujuk kepada kelenjar tiroid yang tidak menghasilkan hormon tiroid yang mencukupi untuk memenuhi keperluan badan.
Jika tidak dirawat, ia boleh mengurangkan metabolisme, menyebabkan keletihan dan lain-lain.
Sesetengah nutrien atau makanan boleh membantu atau menghalang fungsi tiroid. Secara amnya, adalah penting untuk menyasarkan diet yang sihat yang menyokong penyerapan ubat tiroid dan membantu mengekalkan berat badan yang sihat.
Rujukan
- Patil N, Rehman A, Jialal I. Hypothyroidism. [Updated 2022 Jun 19]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: NCBI
- Mahmoodianfard, S. et al. (2015). Effects of Zinc and Selenium Supplementation on Thyroid Function in Overweight and Obese Hypothyroid Female Patients: A Randomized Double-Blind Controlled Trial. Journal of the American College of Nutrition.
- Rabbani, E. et al. (2021). Randomized Study of the Effects of Zinc, Vitamin A, and Magnesium Co-supplementation on Thyroid Function, Oxidative Stress, and hs-CRP in Patients with Hypothyroidism. Biological trace element research.
- Wang, K. et al. (2018). Severely low serum magnesium is associated with increased risks of positive anti-thyroglobulin antibody and hypothyroidism: A cross-sectional study. Scientific reports.
- Luo, J. et al. (2021). Iron Deficiency, a Risk Factor of Thyroid Disorders in Reproductive-Age and Pregnant Women: A Systematic Review and Meta-Analysis. Frontiers in endocrinology.
- Hu, S., & Rayman, M. P. (2017). Multiple Nutritional Factors and the Risk of Hashimoto’s Thyroiditis. Thyroid.
- Krysiak, R. et al. (2019). The Effect of Gluten-Free Diet on Thyroid Autoimmunity in Drug-Naïve Women with Hashimoto’s Thyroiditis: A Pilot Study. Experimental and clinical endocrinology & diabetes.