Penghidap hipertiroidisme disarankan untuk menjaga pantang larang makanan bagi membantu mengurangkan simptom-simptom yang dialami. Pantang larang makanan untuk pesakit hipertiroidisme ini juga menekankan makanan yang sihat yang baik untuk kesihatan secara keseluruhannya.
Apa itu Hipertiroidisme?
Hipertiroidisme adalah keadaan di mana kelenjar tiroid mengeluarkan hormon tiroid yang terlalu banyak. Keadaan ini dipanggil tirotoksikosis. Sesetengah orang turut merujuk keadaan ini sebagai tiroid terlebih aktif.
Punca utama yang menyebabkan hipertiroidisme adalah keadaan autoimun yang dipanggil penyakit Graves. Hipertiroidisme juga lebih banyak berlaku kepada wanita berbanding lelaki.
Simptom-simptom hipertiroidisme adalah:
- Pengurangan berat badan secara tiba-tiba
- Peningkatan selera makan
- Keresahan
- Berpeluh
- Kerap membuang air besar
- Sukar untuk tidur
- Kelesuan dan kelemahan
- Otot menjadi lemah
- Dengupan jantung laju
- Tremor atau menggeletar
- Kelenjar tiroid membesar
- Bengkak di dasar tekak
Bagaimana Pemakanan (Diet) Boleh Mempengaruhi Hipertiroidisme?
Walaupun memakan makanan tertentu tidak menyembuhkan hipertiroidisme, tetapi nutrien-nutrien dalam makanan tersebut berperanan besar dalam membantu mengawal simptom-simptom dan fungsi tiroid.
Pemakanan atau diet boleh memberi kesan terhadap penghasilan hormon tiroid dan fungsi kelenjar tiroid.
Makanan yang Boleh Dimakan oleh Pesakit Hipertiroidisme
Semasa menjaga pantang larang makanan untuk pesakit hipertiroidisme, makanan-makanan berikut haruslah diberi keutamaan kerana boleh membantu mengatasi penyakit ini.
1. Makanan Rendah Iodin
Sekiranya anda menerima rawatan radioiodin bagi merawat hipertiroidisme, doktor biasanya menyarankan anda mengamalkan diet rendah iodin.
Diet rendah iodin ini bermakna diet yang diamalkan haruslah mengandungi kurang daripada 50 mikrogram iodin sehari.
Makanan-makanan yang rendah dengan iodin adalah:
- Garam tidak beriodin
- Putih telur
- Herba dan rempah
- Sayur-sayuran segar atau sejukbeku
- Mentega kacang tidak bergaram
- Madu atau gula (sehingga 2 sudu besar sahaja)
- Minyak sayuran
- Pengambilan yang sederhana terhadap daging lembu, kambing, ayam atau ititk
- Buah-buahan dan jus buah
2. Sayur-sayuran Cruciferous
Sesetengah sayur-sayuran cruciferous mengandungi sebatian yang boleh mengurangkan penghasilan hormon tiroid dan boleh mengurangkan pengambilan iodin oleh tiroid. [1]
Kandungan sebatian tersebut mungkin bermanfaat kepada penghidap hipertiroidisme.
Sayur-sayuran cruciferous tersebut adalah:
- Kailan
- Brussel sprout
- Kubis daun Rusia
- Bok choy
- Lobak putih
- Kubis bunga
- Brokoli
3. Makanan Mengandungi Selenium
Selenium adalah nutrien yang diperlukan oleh badan untuk memetabolisme hormon tiroid.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa selenium boleh membantu mengurangkan simptom-simptom penyakit autoimun tiroid seperti penyakit mata tiroid. [2]
Makanan yang kaya dengan selenium adalah:
- Kacang Brazil
- Hati ayam
- Roti mil penuh
- Kacang gajus
- Nasi
- Putih telur
Terdapat juga makanan lain yang tinggi selenium, namun ia turut tinggi dengan iodin yang boleh menjejaskan rawatan.
4. Makanan Mengandungi Zat Besi
Zat besi juga merupakan mineral yang penting untuk pelbagai fungsi badan. Dalam konteks hipertiroidisme, kekurangan zat besi dikaitkan dengan penyakit ini. [3]
Pengambilan makanan yang tinggi dengan zat besi boleh membantu mencegah kekurangan zat besi.
Berikut adalah makanan yang tinggi zat besi:
- Pucuk paku
- Peria
- Kangkung
- Buah kedondong
- Coklat pahit
- Kismis
- Bijirin yang diperkaya
- Daging lembu dan daging ayam (diambil pada kadar sederhana)
Sesetengah makanan yang kaya dengan zat besi turut tinggi dengan iodin. Makanan-makanan ini boleh menjejaskan rawatan iodin.
- Tiram
- Ikan sardin
- Ikan bilis
- Kerang
5. Makanan Mengandungi Vitamin D dan Kalsium
Hipertiroidisme boleh menyebabkan tulang menjadi lemah dan rapuh. Kehilangan jisim tulang boleh dipulihkan dengan rawatan.
Vitamin D dan kalsium adalah nutrien yang diperlukan untuk membina tulang yang sihat, maka pengambilan makanan yang kaya dengan nutrien-nutrien ini boleh membantu mengurangkan risiko kepada tulang yang rapuh.
Makanan yang tinggi vitamin D dan rendah iodin adalah:
- Cendawan tiram
- Jus oren yang diperkaya vitamin D
- Bijirin yang diperkaya vitamin D
- Ikan salmon
Manakala, makanan yang tinggi dengan kalsium dan rendah dengan iodin adalah:
- Bendi
- Bijirin yang diperkaya dengan kalsium
- Susu badam
- Kailan
- Sawi
- Jus oren yang diperkaya dengan kalsium
6. Rempah-ratus
Rempah seperti kunyit atau cili hijau boleh mengurangkan risiko kepada penyakit tiroid seperti hipertiroidisme.
Kajian melaporkan bahawa penggunaan rempah seperti kunyit dikaitkan dengan pengurangan kepada penyakit tiroid. [4]
Makanan yang Perlu Dikurangkan atau Dielakkan oleh Pesakit Hipertiroidisme
Terdapat juga sesetengah makanan yang perlu dipantang oleh pesakit hipertiroidisme. Antaranya adalah:
1. Makanan Tinggi Iodin
Pengambilan makanan yang tinggi dengan iodin akan menyebabkan hipertiroidisme semakin teruk. Makanan-makanan seperti ini akan menyebabkan kelenjar tiroid menghasilkan hormon tiroid yang berlebihan.
Oleh itu, penghidap hipertiroidisme perlu mengelak makanan-makanan berikut:
- Garam beriodin
- Ikan bilis
- Ikan kembung
- Ikan tenggiri
- Ikan selar
- Ikan kerapu
- Ikan sardin
- Ketam
- Kepah
- Kupang
- Siput sedut
- Kerang
- Udang galah
- Udang kecil
- Produk tenusu
- Kuning telur
- Rumpai laut
2. Gluten
Penghidap penyakit Graves dilaporkan antara golongan yang berisiko tinggi untuk turut mengalami penyakit seliak.
Penyakit seliak adalah penyakit yang boleh merosakkan usus kecil akibat memakan makanan mengandungi gluten seperti gandum, barli, oat dan rai.
3. Soya
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa pengambilan soya atau protein soya boleh mengurangkan penyerapan radioiodin yang boleh menyebabkan keberkesanan terapi radioiodin berkurangan. [5]
Oleh itu, sekiranya anda sedang menjalani rawatan atau terapi radioiodin, mengelak daripada makanan yang tinggi dengan soya atau protein soya adalah pilihan yang baik.
Antara makanan-makanan yang mengandungi soya adalah:
- Susu soya
- Kicap
- Tauhu
- Tempe
- Minyak kacang soya
4. Kafein
Makanan atau minuman yang mengandungi kafein seperti kopi, teh, coklat, minuman berkarbonat dan minuman tenaga boleh memburukkan lagi simptom-simptom hipertiroidisme.
Ia boleh meningkatkan gejala-gejala seperti keresahan, denyutan jantung laju, gementar dan kerengsaan.
Rumusan
Pantang larang makanan untuk pesakit hipertiroidisme ini bertujuan bagi membantu mengurangkan simptom-simptom yang berlaku walaupun ia tidak dapat menyembuhkan.
Sesetengah makanan boleh membantu rawatan yang diberikan dan sesetengah makanan boleh mengganggu rawatan yang diberikan.
Pastikan anda mengikuti rawatan dan nasihat yang diberikan oleh doktor anda.
Rujukan
- Felker, P. et al. (2016). Concentrations of thiocyanate and goitrin in human plasma, their precursor concentrations in brassica vegetables, and associated potential risk for hypothyroidism. Nutrition reviews.
- Ventura, M. et al. (2017). Selenium and Thyroid Disease: From Pathophysiology to Treatment. International journal of endocrinology.
- Wang, Y. P. et al. (2014). Hemoglobin, iron, and vitamin B12 deficiencies and high blood homocysteine levels in patients with anti-thyroid autoantibodies. Journal of the Formosan Medical Association.
- Jawa, A. et al. (2015). Turmeric use is associated with reduced goitrogenesis: Thyroid disorder prevalence in Pakistan (THYPAK) study. Indian journal of endocrinology and metabolism.
- de Souza Dos Santos, M. C. et al. (2011). Impact of flavonoids on thyroid function. Food and chemical toxicology.