Industri farmaseutikal adalah antara industri yang menguntungkan. Maka, tidak hairanlah berlakunya banyak penipuan. Maka, sebagai seorang pengguna bijak, anda haruslah melengkapkan diri dengan panduan pembelian ubat seperti yang dinyatakan dalam artikel ini bagi mengelakkan ditipu.
Perolehan ubat-ubatan boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu ubat belian kaunter dan ubat preskripsi.
Ubat belian kaunter adalah ubat-ubatan yang boleh dibeli di farmasi, kedai-kedai ubat atau platform atas talian yang sah. Sebagai contoh, ubat paracetamol berjenama Panadol atau Uphamol.

Manakala, ubat preskripsi pula adalah ubat yang hanya boleh diberikan kepada pesakit melalui arahan daripada doktor atau ahli profesional kesihatan. Contohnya seperti ubat tekanan darah tinggi atau ubat kanser.
Panduan pembelian ubat ini terpakai untuk ubat-ubatan belian kaunter, makanan tambahan (suplemen) atau produk-produk kesihatan yang berlambak di pasaran.
1. Dapatkan Nasihat Ahli Profesional Kesihatan
Dapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi sebelum anda membuat sebarang pembelian ubat atau produk kesihatan.
Sesetengah ubat boleh berinteraksi dengan ubat-ubatan yang lain, seterusnya boleh menyebabkan kesan sampingan atau kesan advers.
2. Pastikan Iklan Diluluskan
Pastikan iklan ubat telah diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat.
Iklan yang diluluskan akan diberikan nombor siri kelulusan iklan seperti KKLIU 0123/ EXP: 31.12.2024
Antara iklan-iklan yang TIDAK DIBENARKAN oleh Lembaga Iklan Ubat adalah iklan bagi produk kesihatan yang berkaitan diagnosis atau membuat tuntutan boleh mencegah atau merawat 20 jenis penyakit yang dilarang dalam akta ubat.
Antara penyakit yang tidak boleh diiklankan adalah seperti berikut:
- Hipertensi (tekanan darah tinggi)
- Kanser
- Diabetes (penyakit kencing manis)
- Sawan
- Asma
- Masalah mental
3. Elakkan Ubat yang Mempunyai Tuntutan Melampau
Jangan terpedaya dengan iklan yang mengandungi tuntutan melampau serta menggunakan kenyataan seperti berikut:
- “Terbaik”
- “Berkesan”
- “Dijamin selamat”
- “Mujarab”
4. Elakkan Ubat Tidak Berdaftar
Jangan membeli atau menggunakan ubat-ubatan yang tidak berdaftar kerana dikhuatiri dicemari bahan terlarang.
5. Semak Status Pendaftaran
Panduan pembelian ubat yang seterusnya adalah melakukan semakan terhadap status pendaftaran ubat tersebut.
Anda boleh melakukan semakan di laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Selain itu, pastikan juga produk ubat tersebut memiliki label keselamatan hologram daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Langkah-langkah ini bagi memastikan ubat adalah tulen dan berdaftar dengan KKM.
6. Jangan Beli Ubat daripada Penjual yang Diragui
Jangan membeli ubat daripada penjual yang diragui. Contohnya penjual di kaki lima, penjual di pasar malam atau penjual dari luar negara.
7. Beli Ubat di Premis Seperti Farmasi
Pastikan anda membeli ubat di premis seperti farmasi komuniti atau platform dalam talian yang boleh dipercayai.
Sesetengah premis farmasi turut menjual produk mereka di platform dalam talian. Maka, pastikan akaun yang menjual tersebut berstatus “official store.”
8. Kenal pasti Premis Fizikal
Kenal pasti premis fizikal penjual yang membuat penjualan dalam talian dan pastikan syarikat tersebut berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
9. Jangan Terpedaya dengan Janji Manis
Jangan mudah terpedaya dengan janji manis penjual yang membuat tuntutan perubatan yang tidak munasabah.
Selain itu, jangan mudah terpedaya dengan testimoni pengguna yang turut membuat tuntutan yang melampau dan tidak munasabah.
Sesetengah testimoni ini adalah rekaan atau palsu.
10. Elakkan Suplemen atau Minuman dengan Harga Tidak Munasabah
Elakkan makanan tambahan (suplemen) atau minuman seperti kopi pracampur dengan harga yang tidak munasabah kerana disyaki dicampurkan dengan bahan terlarang.
Selain itu, kopi pracampuran juga turut tinggi dengan kandungan gula.