Panduan pemakanan untuk pesakit dialisis ini adalah satu bentuk panduan umum buat pesakit buah pinggang yang sedang menjalani rawatan dialisis.
Sedikit pengenalan mengenai dialisis – dialisis ialah rawatan yang mengambil alih tugas-tugas yang dilakukan oleh buah pinggang. Pesakit dialisis pula adalah mereka yang memerlukan rawatan dialisis akibat kegagalan buah pinggang peringkat akhir.
Rawatan dialisis membantu badan anda mengekalkan keseimbangan melalui:
- Menyingkirkan sisa, garam dan air berlebihan
- Mengekalkan paras selamat bagi sesetengah mineral dalam darah seperti kalium (potassium), natrium (sodium) dan bikarbonat.
- Membantu mengawal tekanan darah
Dari sudut pemakanan, pemakanan yang betul dan seimbang juga penting untuk pesakit dialisis atau pesakit buah pinggang peringkat akhir bagi membolehkan mereka kekal cergas dan rawatan berjalan dengan lebih baik.
Artikel ini akan menyediakan panduan pemakanan untuk pesakit dialisis dalam menentukan bentuk pemakanan yang sesuai.
1. Kawal Pengambilan Cecair
Pesakit dialisis harus mengawal atau sentiasa memantau pengambilan minuman atau makanan yang berasaskan cecair. Pengambilan cecair yang berlebihan akan menyebabkan cecair ini terkumpul di dalam badan dan menyebabkan:
- Bengkak dan peningkatan berat badan antara sesi dialisis
- Tekanan darah berubah
- Peningkatan cecair dalam paru-paru menyebabkan kesukaran bernafas
- Jantung terpaksa bekerja dengan lebih kuat
Sekiranya pesakit menjalani rawatan hemodialisis semasa badan mempunyai terlalu banyak cecair, rawatan tersebut akan membuatkan pesakit berasa tidak sihat.
Pesakit boleh mengalami kekejangan otot atau tekanan darah menurun secara tiba-tiba seterusnya membuatkan pesakit rasa pening atau sakit di perut.
Minuman atau makanan yang dianggap mengandungi cecair
Selain minuman seperti air kosong, air mineral, jus buah atau teh, terdapat juga makanan yang dikelaskan sebagai tinggi cecair.
Contohnya seperti:
- Sup
- Kuah singgang
- Gulai
- Kuah asam pedas
- Tomyam
- Ais krim
- Puding
- Buah tembikai
- Anggur
- Epal
- Oren
- Tomato
- Saderi
Cara mudah untuk mengetahui makanan tersebut mengandungi cecair atau air adalah makanan tersebut bersifat cecair pada suhu bilik.
2. Kurangkan Makanan yang Tinggi Kalium (Potassium)
Panduan pemakanan yang seterusnya adalah pesakit dialisis perlu mengurangkan pengambilan makanan yang tinggi dengan mineral kalium (potassium).
Buah pinggang yang sihat akan membantu menyeimbangkan kandungan kalium dalam darah bagi membolehkan jantung anda berdenyut pada kadar yang stabil.
Namun, bagi pesakit dialisis buah pinggang mereka sudah tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya. Paras kalium ini boleh meningkat diantara sesi hemodialisis dan akan memberi kesan terhadap denyutan jantung.
Ini menjadikan pemakanan yang tinggi dengan kalium boleh menjadi berbahaya kepada jantung dan lebih membimbangkan ia boleh membawa maut.
Makanan yang tinggi kalium
Kebanyakan makanan mengandungi mineral kalium, tetapi makanan-makanan ini mempunyai kadar kalium yang lebih tinggi daripada kebanyakan makanan.
Oleh itu, pesakit dialisis perlu hadkan pengambilan makanan-makanan berikut:
- Kacang soya
- Kacang kuda
- Ikan tuna
- Ikan salmon
- Kacang gajus
- Sayur bayam
- Buah pisang
- Avokado
- Buah kiwi
- Buah-buahan kering
- Buah rockmelon
3. Kurangkan Makanan yang Tinggi Fosforus
Pada asasnya badan manusia memerlukan mineral fosforus untuk berfungsi dengan baik. Walau bagaimanapun, diet yang terlalu tinggi dengan fosforus boleh menyebabkan darah menarik kalsium daripada tulang.
Kesannya, tulang anda menjadi lemah dan senang untuk patah akibat kekurangan kalsium. Selain itu, fosforus yang terlalu banyak juga boleh menyebabkan kulit badan menjadi gatal-gatal.
Makanan yang tinggi dengan fosforus
Makanan yang tinggi fosforus juga kebanyakannya adalah makanan yang mengandungi protein yang turut diperlukan oleh badan. Oleh itu, agak sukar untuk mengehadkan pengambilan fosforus kerana pesakit dialisis juga memerlukan protein tersebut.
Makanan diproses atau dipek juga tinggi dengan kandungan fosforus.
Antara makanan atau minuman yang tinggi dengan fosforus adalah:
- Susu skim
- Keju cheddar
- Udang kering
- Kuning telur
- Ikan kembung
- Sosej lembu
- Ikan bawal
- Fucok
- Kacang gajus
- Kacang walnut
- Ayam goreng
- Satay daging
- Papadam
- Kari daging
- Satay ayam
- Murtabak daging
Pesakit dialisis mungkin memerlukan ubat pengikat fosforus yang boleh membantu mencegah fosforus daripada memasuki saluran darah.
Beberapa jenis pengikat fosforus adalah seperti:
- Sevelamer (Renvela)
- Calcium acetate (PhosLo)
- Lanthanum carbonate (Fosrenol)
- Calcium carbonate
4. Kurangkan Makanan yang Tinggi Garam (Natrium)
Natrium (sodium) adalah sebahagian daripada garam. Pesakit dialisis juga harus mengurangkan pengambilan makanan yang tinggi dengan garam atau natrium.
Pengambilan makanan yang tinggi dengan garam atau natrium ini boleh menyebabkan pesakit mudah dahaga dan menyebabkan pesakit minum air secara berlebihan.
Selain itu, natrium juga menyebabkan badan menyimpan cecair dan meningkatkan tekanan darah.
Makanan yang tinggi dengan natrium (garam)
Secara asasnya, makanan yang dipek, ditin, dibeku atau makanan segera adalah tinggi dengan kandungan natrium (garam).
Antara makanan yang tinggi dengan natrium adalah:
- Snek mee berperisa
- Bubur nasi (segera)
- Cip kentang
- Kicap
- Rumpai laut (kering)
- Kubis masin
- Jeruk buah
- Tempoyak
- Rendang daging (dalam tin)
- Rendang kambing (dalam tin)
- Burger daging
- Sos ikan
- Ikan bilis
- Udang kering
- Pes udang
- Cincalok
- Budu
- Sotong goreng
- Keropok ikan
- Keropok sotong
- Ikan sardin (dalam tin)
- Keju cheddar (diproses)
- Sos cili
- Mentega
- Marjerin
5. Makan Makanan yang Tinggi dengan Protein Berkualiti
Pesakit dialisis memerlukan pengambilan makanan yang tinggi dengan protein berkualiti. Protein berkualiti kurang menghasilkan sisa untuk disingkirkan semasa proses dialisis.
Pesakit boleh mendapatkan protein yang berkualiti tinggi daripada makanan seperti:
- Ikan
- Telur
- Ayam
- Itik
- Daging lembu
- Daging kambing
- Puyuh
- Arnab
Elakkan mengambil makanan yang terdiri daripada daging proses atau yang ditinkan. Contohnya seperti sosej, daging burger, nuget dan lain-lain.
6. Dapatkan Kalori yang Mencukupi
Setiap individu mempunyai keperluan kalori yang berbeza-beza. Kalori penting untuk tenaga.
Kebiasaannya, pesakit dialisis tidak mempunyai selera makan dan ini menyebabkan mereka tidak mendapatkan kalori yang mencukupi.
Dapatkan nasihat daripada pakar diet untuk mencari jalan menambah kalori dalam diet pesakit secara sihat.
Sekiranya pesakit mempunyai berat badan berlebihan, pesakit mungkin perlu mengurangkan pengambilan kalori.
7. Vitamin dan Suplemen
Pesakit dialisis mungkin memerlukan tambahan vitamin dan mineral akibat diet yang perlu mengelakkan banyak jenis makanan.
Rawatan hemodialisis juga turut menyingkirkan sesetengah vitamin dalam badan.
Pegawai perubatan mungkin akan mempreskripsikan suplemen vitamin dan mineral yang direka khas buat pesakit buah pinggang.
Pesakit dinasihatkan agar mengelakkan daripada membeli atau mengambil suplemen yang dijual secara belian kaunter kerana suplemen ini mungkin mengandungi bahan yang tidak sesuai atau berbahaya kepada pesakit.
Rumusan
Panduan pemakanan untuk pesakit dialisis ini adalah sebagai rujukan umum buat pesakit buah pinggang. Pesakit dialisis perlu mengawal atau berhati-hati dalam pengambilan sesetengah makanan atas faktor makanan-makanan ini tinggi dengan kandungan:
- Cecair/air
- Kalium (potassium)
- Natrium / garam (sodium)
- Fosforus
Pesakit dialisis juga dinasihatkan berjumpa dengan pakar diet buah pinggang bagi mendapatkan cadangan pemakanan yang sesuai buat diri mereka.
Rujukan
- Beto, J. (2016). Eating & Nutrition for Hemodialysis. NIDDK.
- National Coordinating Committee on Food and Nutrition (NCCFN). (2017). Recommended Nutrient Intakes for Malaysia: A Report of the technical working Group on Nutritional Guidelines. Ministry of Health Malaysia.