Menjelangnya Ramadan, persoalan yang sering timbul adalah bagaimana cara makan ubat ketika berpuasa? Lebih-lebih lagi ubat yang perlu dimakan 3 kali sehari.
Jika anda tidak pasti, jangan mengubah waktu makan atau pengambilan ubat sepanjang bulan puasa tanpa merujuk doktor atau ahli farmasi terlebih dahulu.
Justeru itu, ikuti panduan cara makan ubat ketika berpuasa seperti yang disediakan dalam artikel ini.

Adalah berbahaya sekiranya anda sebagai pesakit kronik memilih untuk tidak mengambil ubat-ubatan seperti yang diarahkan dengan alasan ingin berpuasa.
Sebenarnya, terdapat kaedah pengubahsuaian waktu makan ubat yang boleh diikuti oleh pesakit yang berpuasa.
Pengubahsuaian waktu pengambilan ubat boleh dibincangkan bersama-sama doktor atau ahli farmasi untuk menyesuaikan dos ubat dan kekerapan pengambilan dengan tempoh berpuasa.
Ubat yang Membatalkan Puasa dan Tidak Membatalkan Puasa
Isu pengambilan ubat-ubatan semasa berpuasa telah banyak dibincangkan oleh para pakar agama dan terdapat pandangan yang berbeza dalam kalangan mereka berdasarkan fakta-fakta tertentu.
Pada 2013, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan Panduan Berpuasa bagi Pesakit (terbitan kedua) yang mengkategorikan jenis-jenis ubat yang boleh membatalkan puasa dan sebaliknya.
Ubat yang boleh membatalkan puasa:
- Ubat biji dan minum.
- Ubat yang dimasukkan ke dalam vagina termasuk pesari dan prosedur cucian.
- Ubat yang dimasukkan ke dalam dubur, seperti supositori dan enema.
- Ubat bius menyeluruh (yang melibatkan gas).
- Ubat inhaler untuk rawatan penyakit asma dan penyakit paru-paru kronik.
Ubat yang tidak membatalkan puasa:
- Ubat titis mata, hidung dan telinga (dengan syarat tidak sampai batas gegendang telinga).
- Tablet sublingual (bawah lidah) dengan syarat diletakkan di bawah lidah dan tidak ditelan
- Semua bentuk suntikan sama ada melalui lapisan kulit, otot, sendi atau salur darah.
- Ubat jenis sapu (krim atau salap) dan plaster.
- Ubat kumur
- Ubat sembur hidung (dengan syarat tidak disedut)1
- Ubat bius setempat dan bius separuh
Perbezaan Pendapat Tentang Penggunaan Ubat Inhaler
Terdapat dua pendapat tentang hukum penggunaan inhaler sewaktu berpuasa.
Pendapat pertama menyatakan bahawa penggunaan inhaler boleh membatalkan puasa kerana kandungan di dalam inhaler yang disedut boleh sampai ke dalam perut melalui mulut.
Sebaliknya, pendapat kedua menyatakan bahawa penggunaan inhaler bagi pesakit asma yang serangannya tidak terkawal adalah tidak membatalkan puasa.
Ini berdasarkan badan-badan fatwa berautoriti, pakar-pakar perubatan dan qiyas kepada berkumur, istinsyaq dan siwak.
Penggunaannya juga dilihat sebagai satu keperluan rawatan yang mendesak.
Oleh yang demikian, pesakit yang perlu menggunakan inhaler boleh membuat pilihan masing-masing berdasarkan keyakinan mereka terhadap kedua-dua pendapat tersebut.
Sekiranya anda yakin penggunaan inhaler boleh membatalkan puasa, maka wajib bagi pesakit tersebut menggantikan semula puasa yang tertinggal itu pada bulan-bulan yang berikutnya.
Pengubahsuaian Waktu Makan Ubat Berdasarkan Kekerapan Pengambilan
Pengubahsuaian waktu makan ubat selepas perbincangan dengan doktor atau ahli farmasi adalah penting untuk membantu pesakit terus berpuasa dan kekal patuh kepada rawatan.
Langkah ini diperlukan untuk mengelakkan isu ketidakpatuhan dalam kalangan pesakit, terutamanya mereka yang menghidap penyakit kronik seperti hipertensi dan asma.
Panduan cara makan ubat ketika berpuasa berikut menunjukkan cadangan waktu makan ubat mengikut kesesuaian waktu makan pada bulan Ramadan bagi ubat yang perlu dimakan atau diminum.
Pesakit dinasihati untuk berbincang dengan doktor atau ahli farmasi untuk mendapatkan penerangan lanjut tentang pengubahsuaian waktu makan ubat yang boleh dilakukan.
Kekerapan Pengambilan Ubat | Ubat yang perlu diambil SEBELUM MAKAN | Ubat yang perlu diambil SELEPAS MAKAN |
---|---|---|
1 kali sehari | – 1 jam sebelum sahur, atau – 1 jam sebelum menikmati hidangan utama (selepas berbuka puasa*), atau – 2 jam selepas berbuka puasa | selepas bersahur, atau selepas berbuka |
2 kali sehari | Dos pertama: – 1 jam sebelum bersahur Dos kedua: -1 jam sebelum menikmati hidangan utama (selepas berbuka puasa*), atau – 2 jam selepas berbuka puasa | Dos pertama: – Selepas bersahur Dos kedua: – Selepas berbuka |
3 kali sehari | Dos pertama: – 1 jam sebelum bersahur Dos kedua: – 1 jam sebelum menikmati hidangan utama (selepas berbuka puasa*) Dos ketiga: – Sebelum tidur | Dos pertama: – Selepas bersahur Dos kedua: – Selepas berbuka Dos ketiga: – Sebelum tidur (selepas mengambil makanan terlebih dahulu) |
4 kali sehari | – Pengubahsuaian waktu pengambilan ubat ini harus mendapatkan pandangan daripada doktor terlebih dahulu. – Pesakit boleh berbincang dengan doktor untuk mempertimbangkan menukar ubat yang perlu diambil empat kali sehari kepada ubat yang perlu diambil sekali, dua atau tiga kali sehari, mengikut kesesuaian rawatan penyakit yang dihidapi. – Dalam kebanyakan situasi, pesakit dinasihatkan untuk tidak berpuasa atau menggunakan ubat alternatif, jika ada atau bersesuaian dengan penyakit yang dihidapi. |
*Apabila tiba waktu berbuka puasa, pesakit perlu berbuka puasa dengan makanan yang ringan seperti kurma atau minuman manis dan kemudian mengambil ubat. Pesakit hanya boleh menikmati hidangan utama selepas 1 jam selepas pengambilan ubat.
Panduan Pengubahsuaian Waktu Makan atau Pengambilan Ubat Antidiabetes dan Insulin
Pengubahsuaian waktu makan atau pengambilan ubat antidiabetes dan insulin semasa bulan puasa oleh pesakit diabetes memerlukan perbincangan yang lebih teliti dengan doktor atau ahli farmasi.
Ini bagi memastikan pesakit dapat berpuasa dan kekal dalam rawatan tanpa mengalami keadaan hipoglisemia (paras gula terlalu rendah di dalam darah) atau hiperglisemia (paras gula terlalu tinggi di dalam darah).
Pengubahsuaian kekerapan pengambilan ubat untuk rawatan diabetes perlu mengambil kira beberapa faktor seperti jenis kumpulan ubat antidiabetes yang diambil, paras gula di dalam darah, kuantiti makanan yang diambil sewaktu bersahur atau berbuka puasa, dan beberapa lagi.
Selain itu, pesakit diabetes turut disaran untuk melakukan pemantauan kendiri paras gula di dalam darah di rumah.
Sekiranya pesakit mengalami gejala atau bacaan paras gula telah menunjukkan keadaan hipoglisemia dan hiperglisemia, pesakit perlu berbuka puasa dan mendapatkan rawatan dengan segera.
Nasihat untuk Pesakit
Pesakit harus mematuhi jadual janji temu doktor yang telah ditetapkan. Ujian darah yang dijalankan semasa janji temu membantu menggambarkan tahap kesihatan pesakit yang terkini.
Pesakit juga disaran untuk mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi berkaitan keperluan pengubahsuaian waktu makan atau pengambilan ubat pada bulan Ramadan.
Pesakit tidak seharusnya membuat sebarang perubahan dalam pengambilan ubat-ubatan dengan sendiri.
Selain itu, pesakit harus peka dengan status kesihatan mereka dan perlu bersedia untuk berbuka puasa sekiranya keadaan memerlukan pesakit untuk berbuat demikian.
Kenali ubat anda, sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan boleh diajukan kepada Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Center, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang, kecuali cuti umum).
Rujukan
- Atika Mahfuza.(2019). Puasa dan Ubat. MyHealth.
- Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. (2023). Penggunaan Inhaler Ketika Berpuasa. Maktabah Al-Bakri