Bulan Ramadan adalah bulan pesta ibadah dan boleh juga menjadi bulan pesta juadah. Pelbagai juadah akan dijual dibazar-bazar Ramadan, restoran atau di hotel. Besar kemungkinan ramai yang gagal mengawal pemakanan mereka sewaktu berbuka di bulan puasa ini. Kali ini kami akan berkongsi mengenai panduan berbuka puasa berdasarkan amalan sunnah dan sains pemakanan.
Pemakanan di bulan Ramadan adalah penting dikawal atau diuruskan dengan baik. Ada juga yang mengambil kesempatan untuk mengamalkan diet pada bulan ini untuk menurunkan berat badan. Ini adalah langkah yang baik.
Bagi mereka yang ingin mengamalkan diet untuk menurunkan berat badan, beberapa jenis diet yang mungkin boleh dan sesuai diamalkan adalah seperti:
- Diet Atkins
- Diet Keto
- Diet Kalori

Majoriti diet ini menekankan pengurangan terhadap jumlah karbohidrat yang diambil. Ini akan membolehkan badan membakar lemak sebagai tenaga. Puasa pula akan mempercepatkan proses ini.
Islam telah menggariskan beberapa panduan berbuka puasa dan bersahur buat umatnya. Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh bagaimana untuk berbuka dan bersahur.
Amalan Sunnah Ketika Berbuka Puasa
Melalui beberapa hadith, umat Islam dapat belajar bagaimana cara terbaik untuk berpuasa, berbuka puasa dan bersahur. Ia dikenali sebagai amalan sunnah yang diajar dan ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kepada seluruh umatnya.
Beberapa amalan atau panduan berbuka puasa yang mudah untuk diikuti adalah seperti:
1. Menyegerakan Berbuka Puasa
Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim;
Daripada Sahl bin Sa’ad RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Manusia itu akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagimana mereka mempercepatkan berbuka puasa.”
Riwayat al-Bukhari (1957) dan Muslim (1098)
Makna dan hikmah daripada hadith ini menurut Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani adalah agar tidak ditambah waktu siang hari berpuasa ke malam hari kerana itu lebih baik bagi orang yang berpuasa dan lebih menguatkannya dalam beribadah. [1]
Selain itu, terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi iaitu;
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Allah ‘Azza wa Jalla berfirman dalam hadith qudsi, aku sangat mengasihi hamba-hambaku yang bersegera berbuka puasa.”
Riwayat at-Tirmizi
2. Berbuka dengan Kurma
Kurma adalah buah yang berkhasiat dan diangkat tinggi oleh Rasulullah SAW. Terdapat palbagai khasiat kurma dan dalam konteks orang berpuasa, kurma boleh membekalkan tenaga pantas kepada mereka yang berbuka puasa dengannya.
Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, al-Baihaqi dan al-Hakim;
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Apabila diantara kalian berpuasa, maka berbukalah dengan kurma, jika tidak ada kurma, maka berbukalah dengan air, sebab air itu suci.”
Riwayat Imam Abu Daud, al-Baihaqi dan al-Hakim
Selain itu, Anas bin Malik RA turut meriwayatkan bahawa;
“Rasulullah SAW biasa berbuka puasa sebelum sembahyang maghrib dengan ruthob (kurma basah), jika tidak ada ruthob, maka baginda berbuka dengan tamar (kurma kering) dan jika tidak ada tamar, baginda meminum seteguk air.”
Riwayat Imam Abu Daud 2356
Melihat dari sudut sains, hikmah berbuka puasa dengan kurma adalah kerana buah ini boleh membekalkan tenaga pantas untuk mereka yang berbuka puasa.
Gula yang terkandung dalam buah kurma adalah terdiri daripada glukosa, fruktosa dan sukrosa. [2]
Glukosa ini akan diserap terlebih dahulu ke dalam salur darah untuk dijadikan tenaga pantas. Manakala fruktosa dan sukrosa harus diproses oleh badan terlebih dahulu sebelum boleh digunakan sebagai tenaga.
3. Minum air
Daripada hadith-hadith sebelum ini, Rasulullah SAW menyarankan agar kita berbuka puasa dengan air sekiranya tidak mempunyai buah kurma.
Selain menyucikan, air mempunyai peranan yang penting terhadap fungsi badan, antara peranan air untuk badan adalah:
- Mengawal selia suhu badan
- Melindungi sendi, saraf tunjang dan tisu badan
- Memudahkan proses pengkumuhan
- Membantu otak berfungsi
- Membantu meningkatkan tenaga
- Membantu meningkatkan kitaran oksigen dalam badan
- Meningkatkan prestasi fizikal
4. Bersederhana Ketika Berbuka
Ramai antara kita yang gagal dalam bab ini. Rata-rata daripada kita akan makan sehinggalah tidak mampu lagi untuk makan ketika berbuka puasa. Kita lebih menurutkan nafsu makan berbanding keperluan badan yang sebenarnya.
Islam menggalakkan umatnya bersederhana ketika berbuka puasa. Makan sekadar keperluan dan tidak berlebih-lebihan atau sehingga berlaku pembaziran.
Pembaziran adalah salah satu amalan yang ditegah oleh Islam. Membazir adalah salah satu daripada amalan syaitan.
Dari sudut sains, bersederhana ketika berbuka juga adalah satu tindakan yang baik. Hal ini kerana, makan hidangan yang besar atau makan terlalu banyak sejurus berbuka puasa boleh mengakibatkan tegangan atau terikan pada sistem pencernaan.
5. Membaca Doa Berbuka Puasa

Maksudnya: “Ya Allah keranaMu aku berpuasa, denganMu aku beriman, kepadaMu aku berserah dan dengan rezekiMu aku berbuka (puasa), dengan Rahmat Mu, Ya Allah Tuhan Maha Pengasih.”
atau membaca doa berikut:

Maksudnya: “Telah hilang dahaga, telah basah urat-urat dan telah ditetapkan pahala insyaAllah.”
Waktu berbuka puasa juga adalah salah satu waktu yang mustajab untuk berdoa. Berdoalah memohon keampunan dan rahmat daripada Allah SWT.
Daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimiā.
Riwayat Ibn Majah (1752) [3].
Rumusan
Panduan berbuka puasa yang berasaskan amalan sunnah ini adalah cara terbaik dan sesuai diamalkan oleh umat Islam.
Selain beroleh pahala kerana mengamalkan amalan sunnah, terdapat juga kebaikan dan hikmah yang boleh diperolehi daripada amalan-amalan yang diajarkan ini daripada sudut sains.
Rujukan
- Muhammad Mushfique Bin Ahmad Ayoup (2017). Irsyad Al-Hadith Siri Ke-202: Kelebihan Mempercepatkan Berbuka. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
- Mohamed Ali Al-Farsi & Chang Yong Lee. (2008) .Nutritional and Functional Properties of Dates: A Review. Critical Reviews in Food Science and Nutrition.
- Muhammad Mushfique Bin Ahmad Ayoup (2017). Irsyad Al-Hadith Siri Ke-196: Doa Orang Berpuasa Mustajab. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.