Berapa sepatutnya berat badan saya? Mungkin ramai yang mencari jawapan kepada persoalan ini. Bagi membantu anda, artikel ini membekalkan panduan berat badan ideal bagi lelaki dan wanita.
Berat badan ideal merujuk kepada keadaan apabila berat badan bersesuaian dengan ketinggian. Terdapat beberapa alat yang digunakan untuk mengukur atau mengira berat badan yang ideal atau sihat ini.
Meskipun begitu, harus diingat bahawa setiap orang berbeza dan tiada satu formula yang boleh menentukan berat badan ideal seseorang dengan tepat.
Tambahan lagi, tiada satu pun ukuran saiz badan boleh memberitahu status kesihatan seseorang dengan tepat atau potensi risiko kesihatan mereka.
Makanan yang berkhasiat, seimbang, bersenam dan tabiat gaya hidup yang lain boleh menyokong kesihatan yang lebih baik tanpa mengira berat badan seseorang.
Terdapat beberapa perselisihan pendapat dalam kalangan pakar perubatan tentang kegunaan alat seperti indeks jisim badan (BMI).
Alat ini tidak tepat dan tidak semua orang yang mempunyai berat badan berlebihan akan mengalami masalah kesihatan.
Walau bagaimanapun, sesetengah penyelidik percaya penghidap obesiti yang tidak mempunyai masalah kesihatan lain masih berisiko tinggi untuk mengalami penyakit berkaitan obesiti seperti sindrom metabolik dan penyakit kardiovaskular dalam jangka panjang. [1]
Indeks Jisim Badan (BMI)
BMI adalah alat yang biasa digunakan untuk mengukur berat badan seseorang berbanding dengan ketinggian mereka.
Pengukur BMI ini berdasarkan formula, BMI = Berat Badan (kg) / (Ketinggian (m))2
Nilai BMI ini dikategorikan seperti berikut:
- Nilai BMI kurang daripada 16.5 dikategorikan sebagai sangat kurang berat
- Nilai BMI antara 16.5 hingga 18.4 dikategorikan sebagai kurang berat.
- Nilai BMI antara 18.5 hingga 24.9 dikategorikan sebagai berat badan ideal atau normal.
- Nilai BMI antara 25 hingga 29.9 dikategorikan sebagai berat badan berlebihan.
- Nilai BMI antara 30 hingga 34.9 dikategorikan sebagai obesiti kelas I
- Nilai BMI antara 35 hingga 39.9 dikategorikan sebagai obesiti kelas II
- Nilai BMI 40 atau lebih dikategorikan sebagai obesiti kelas III
Walau bagaimanapun, Centers for Disease Control and Prevention (CDC) juga menyatakan bahawa BMI tidak menilai komposisi badan individu atau kesihatan mereka.
Apakah Berat Badan Ideal untuk Anda?
Setiap orang mempunyai rangka badan, taburan lemak badan dan ketinggian yang berbeza, semuanya menentukan julat berat badan anda yang paling sihat.
Perlu diingat juga bahawa BMI tidak mengambil kira jantina, rangka badan, umur, etnik, jisim tulang, jisim otot, jisim lemak atau pengagihan lemak.
Walaupun dianggap kurang tepat, BMI masih boleh digunakan secara umumnya sebagai satu panduan untuk mengukur kesihatan dan berat badan.
Oleh itu, berat badan ideal bagi lelaki dan wanita dewasa mestilah berada dalam julat BMI yang normal iaitu 18.5 hingga 24.9.
Harus diingat juga, dikategorikan sebagai berat badan berlebihan atau kurang berat badan mengikut BMI tidak semestinya bermakna anda berada pada berat badan “tidak sihat”.
Sebaliknya pemeriksaan lanjut oleh doktor atau ahli profesional kesihatan boleh menentukan tahap kesihatan anda.
Faktor-faktor Lain yang Perlu Dipertimbangkan
Kekurangan BMI adalah ia tidak mengambil kira beberapa faktor lain yang boleh mempengaruhi berat badan dan kesihatan seperti:
- Peratusan berat badan
- Ukuran pinggang atau pinggul
- Perkadaran jisim otot
Peratusan Berat Badan
Sebahagian daripada berat badan anda adalah lemak badan.
Penyelidikan menunjukkan bahawa mengekalkan lemak badan anda pada tahap yang sihat membantu mengurangkan risiko penyakit, kerana tahap lemak badan yang tinggi dikaitkan dengan keradangan gred rendah yang kronik. [2]
Walau bagaimanapun, mempunyai tahap lemak badan yang sangat rendah juga boleh membahayakan dan boleh meningkatkan risiko penyakit dan kematian awal. [3]
Kajian mencadangkan bahawa wanita berumur 21-39 dengan berat badan dalam julat “normal” harus mempunyai peratusan lemak badan sebanyak 21-32%, manakala lelaki pada umur yang sama harus mempunyai peratusan lemak badan sebanyak 8-20%. [3]
Kajian lain pada orang dewasa berumur 45-64 tahun menetapkan kadar peratusan lemak badan sebanyak 25.8% untuk lelaki dan 37.1% untuk wanita. Peratusan lemak badan yang lebih daripada ini boleh meningkatkan risiko kepada penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi. [2]
Nisbah Pinggang – Pinggul
Nisbah pinggang – pinggul atau waist to hip ratio (WHR) membanding saiz pinggang dan pinggul seseorang.
Nilai WHR yang tinggi dikaitkan dengan paras lemak visera yang tinggi. Lemak visera adalah lemak di dalam abdomen (perut) yang membaluti organ-organ penting. [4]
Terdapat juga analisis yang melaporkan bahawa nilai WHR yang tinggi meningkatkan risiko untuk seseorang itu mengalami serangan jantung. [5]
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan obesiti abdomen seperti berikut:
- Lelaki: WHR melebihi 0.9
- Wanita: WHR melebihi 0.85
Untuk mengira WHR, anda harus mengukur pinggang anda pada bahagian paling sempit, biasanya tepat di atas pusat. Ukuran ini kemudiannya boleh dibahagikan dengan lebar pinggul anda di bahagian terluasnya.
Contohnya:
- Ukuran pinggang: 28 inci
- Ukuran pinggul: 36 inci
- WHR = 28/36 = 0.77
Maka, nilai WHR adalah 0.77
Walau bagaimanapun, seperti BMI, WHR mempunyai batasan. Sebagai contoh, ukuran ini tidak mengambil kira jumlah peratusan lemak badan atau nisbah otot-ke-lemak seseorang dengan tepat.
Nisbah Pinggang – Tinggi
Nisbah pinggang – tinggi atau waist-to-height ratio (WHtR) adalah alat lain untuk menilai saiz badan. Ia membandingkan lilitan pinggang seseorang dengan ketinggian mereka.
Satu kajian pada 2015 melaporkan bahawa mereka yang mempunyai BMI normal tetapi WHtR sebanyak 0.5 atau lebih mempunyai perkaitan dengan paras kolesterol dan tekanan darah yang tinggi. [6]
Untuk mengira WHtR, bahagikan saiz pinggang dengan ketinggian. Jika hasilnya 0.5 atau kurang, itu dianggap sederhana.
Rumusan
Berat badan yang ideal boleh membawa maksud yang berbeza kepada orang yang berbeza.
BMI, WHR, WHtR, dan peratusan lemak badan adalah empat cara untuk menilai status berat badan.
Menggabungkan hasil daripadanya mungkin cara terbaik untuk mendapatkan idea yang tepat sama ada saiz badan seseorang dianggap sederhana atau normal.
Rujukan
- Mongraw-Chaffin, M. et al. (2018). Metabolically Healthy Obesity, Transition to Metabolic Syndrome, and Cardiovascular Risk. Journal of the American College of Cardiology.
- Macek, P. et al. (2020). Optimal Body Fat Percentage Cut-Off Values in Predicting the Obesity-Related Cardiovascular Risk Factors: A Cross-Sectional Cohort Study. Diabetes, metabolic syndrome and obesity : targets and therapy.
- Maffetone, P. B. et al. (2017). Overfat and Underfat: New Terms and Definitions Long Overdue. Frontiers in public health.
- Jayedi, A. et al. (2020). Central fatness and risk of all cause mortality: systematic review and dose-response meta-analysis of 72 prospective cohort studies. BMJ.
- Cao, Q. et al. (2018). Waist-hip ratio as a predictor of myocardial infarction risk: A systematic review and meta-analysis. Medicine.
- Ashwell, M., & Gibson, S. (2016). Waist-to-height ratio as an indicator of ‘early health risk’: simpler and more predictive than using a ‘matrix’ based on BMI and waist circumference. BMJ open.