Pemakanan yang mengandungi nutrien lengkap adalah penting untuk keseimbangan hormon kerana tenaga dan nutrien yang diperolehi daripada makanan menjadi bahan mentah untuk menghasilkan hormon dan tenaga kepada badan.
Sebagai contoh, hormon steroid dihasilkan daripada kolesterol. Kolesterol boleh diperolehi melalui pemakanan harian.
Walaupun tidak dapat dilihat, tetapi hormon memainkan peranan penting kepada kesihatan kita semua. Hormon boleh memberi kesan terhadap berat badan, mood, penghadaman, kesuburan, metabolisme, tidur dan lain-lain lagi.
Semua orang mempunyai hormon, tetapi hormon yang seimbang adalah penting terutamanya kepada kesihatan wanita.
Terdapat beberapa faktor yang berkaitan dengan pemakanan (diet) yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan hormon.
Contohnya adalah alahan makanan, obesiti, berat badan berlebihan, keradangan akibat diet yang buruk, gaya hidup tidak aktif, masalah penghadaman, corak tidur dan lain-lain.
Di samping itu juga, pemilihan makanan dalam diet harian juga penting kerana terdapat nutrien-nutrien tertentu yang boleh mempengaruhi keseimbangan hormon. Antaranya adalah:
1. Magnesium
Magnesium adalah mineral yang boleh dijumpai dalam banyak makanan. Antara makanan yang kaya dengan mineral magnesium adalah:
- Kacang gajus
- Kacang badam
- Kacang tanah
- Bayam
- Ubi keledek
- Avokado
Mineral magnesium boleh membantu menyeimbangkan hormon kortisol (hormon stres) dan insulin.
Satu kajian pada tahun 2020 mendedahkan bahawa tekanan (stres) boleh meningkatkan kehilangan mineral magnesium yang seterusnya menyebabkan kekurangan terhadap mineral ini. Tambahan itu, kekurangan magnesium pula boleh menyebabkan badan mudah untuk mengalami tekanan (stres). [1]
Insulin adalah hormon yang membantu glukosa (gula) dalam darah untuk memasuki sel-sel dalam otot, lemak dan hati untuk digunakan sebagai tenaga.
Insulin juga biasanya dikaitkan dengan penyakit kencing manis (diabetes) kerana masalah seperti rintangan insulin. Rintangan insulin boleh meningkatkan risiko untuk seseorang itu menghidap penyakit kencing manis.
Satu kajian yang melibatkan 2295 individu melaporkan bahawa pengambilan magnesium yang tinggi dalam diet boleh melemahkan rintangan insulin. Kesan ini dilihat lebih mendatangkan manfaat terutamanya kepada mereka yang mempunyai berat badan berlebihan, obes dan wanita pramenopaus. [2]
2. Selenium
Selenium adalah mineral yang penting untuk pembiakan, fungsi kelenjar tiroid, penghasilan DNA dan bertindak sebagai antioksidan. Antara makanan yang kaya dengan selenium adalah:
- Hati ayam
- Hati lembu
- Ikan bilis
- Tiram
- Telur masin (telur itik)
- Kacang brazil
- Bawang putih
Selenium adalah penting untuk metabolisme hormon tiroid. Kekurangan selenium didapati boleh mengurangkan penghasilan hormon tiroid. [3]
3. Iodin
Selain itu, mineral iodin juga adalah nutrien yang penting untuk keseimbangan hormon. Iodin boleh ditemui dalam beberapa jenis makanan seperti:
- Garam beriodin
- Susu tepung
- Keju
- Krimer manis
- Rumpai laut
- Bayam
Badan manusia memerlukan iodin untuk menghasilkan hormon tiroid. Hormon ini berperanan mengawal metabolisme badan dan fungsi-fungsi badan yang lain.
Badan juga memerlukan hormon tiroid untuk pembentukan otak dan tulang semasa kehamilan dan bayi. Mendapatkan mineral iodin yang mencukupi penting untuk semua orang terutamanya kepada bayi dan wanita mengandung.
4. Zink
Zink juga merupakan nutrien yang penting untuk keseimbangan hormon. Kandungan mineral zink adalah tinggi dalam makanan seperti:
- Hati lembu atau ayam
- Daging merah
- Makanan laut
- Telur ayam atau itik
- Kekacang
Mineral zink boleh meningkatkan penghasilan hormon pertumbuhan. Selain itu, zink juga turut terlibat dalam metabolisme hormon tiroid dan memainkan peranan dalam pengawalan kesan insulin. [4]
5. Vitamin B
Vitamin B juga memainkan peranan penting dalam keseimbangan hormon di dalam badan. Vitamin B mempunyai peranan penting dalam menghasilkan dan mengaktifkan hormon estrogen iaitu hormon yang penting untuk perkembangan ciri-ciri seks sekunder perempuan.
Vitamin B boleh didapati dalam kebanyakan makanan seperti bijian, kekacang, sayur-sayuran, buah-buahan, daging dan poultri.
Dalam satu kajian, pengkaji membandingkan paras vitamin B dengan risiko kanser payudara dalam kalangan wanita pramenopaus. Hasil kajian tersebut mendapati paras vitamin B2 dan B6 yang tinggi boleh mengurangkan risiko kanser payudara. [5]
Kesan ini dipercayai disebabkan oleh kesan vitamin ini terhadap metabolisme hormon estrogen.
6. Vitamin D
Vitamin D juga adalah nutrien yang penting untuk keseimbangan hormon dalam badan. Malah, vitamin D turut berfungsi sebagai hormon.
Satu kajian menjelaskan bahawa vitamin D dan hormon estrogen bekerjasama dalam membantu mengurangkan risiko kepada penyakit kardiovaskular. [5]
Hubungan antara hormon ini adalah disebabkan oleh peranan yang dimainkan oleh vitamin D dalam penghasilan estrogen. Ini menunjukkan potensi manfaat pengambilan vitamin D ketika paras estrogen rendah.
Vitamin D boleh dihasilkan oleh kulit manusia melalui pendedahan terhadap cahaya matahari. Selain itu, vitamin D boleh diperolehi daripada makanan seperti:
- Ikan salmon
- Ikan mackerel
- Ikan sardin
- Telur
- Cendawan tiram
Rumusan
Terdapat banyak faktor yang memainkan peranan penting dalam keseimbangan hormon dalam badan manusia dan pemakanan (diet) adalah salah satu daripadanya.
Pengambilan makanan yang kaya dengan nutrien seperti magnesium, selenium, zink, iodin, vitamin B dan vitamin D boleh membantu mengekalkan keseimbangan hormon dalam badan.
Rujukan
- Pickering, G. et al. (2020). Magnesium Status and Stress: The Vicious Circle Concept Revisited. Nutrients.
- Cahill, F. et al. (2013). High dietary magnesium intake is associated with low insulin resistance in the Newfoundland population. PloS one.
- Ventura, M. et al. (2017). Selenium and Thyroid Disease: From Pathophysiology to Treatment. International journal of endocrinology.
- Baltaci, A. K. et al. (2019). Review: The role of zinc in the endocrine system. Pakistan journal of pharmaceutical sciences.
- Agnoli, C. et al. (2016). Plasma Riboflavin and Vitamin B-6, but Not Homocysteine, Folate, or Vitamin B-12, Are Inversely Associated with Breast Cancer Risk in the European Prospective Investigation into Cancer and Nutrition-Varese Cohort. The Journal of nutrition.
- Gangula, P. R. et al. (2013). Protective cardiovascular and renal actions of vitamin D and estrogen. Frontiers in bioscience.