Apa itu Naringin dan Naringenin?
Naringin dan naringenin adalah sebatian flavonoid yang boleh dijumpai dalam buah-buahan sitrus. Flavonoid ialah sebatian fitokimia yang terdapat secara semula jadi dalam tumbuhan.
Naringin biasanya wujud sebagai glikosida (molekul yang mengandungi kumpulan gula dan bukan gula) dan boleh dihidrolisiskan menghasilkan naringenin.
Naringin dan naringenin mendapat perhatian kerana ia bertindak sebagai antioksidan di dalam badan manusia.

Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas yang berlebihan.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser, artritis atau Alzheimer.
Selain itu, kajian-kajian berterusan turut mendapati sebatian naringin dan naringenin mempunyai pelbagai khasiat atau kebaikan yang lain terhadap kesihatan manusia.
Khasiat dan Kebaikan Naringin dan Naringenin untuk Kesihatan
Nilai-nilai terapeutik naringin dan naringenin menjadi satu subjek yang menarik bagi para pengkaji.
Berdasarkan kajian-kajian saintifik, beberapa khasiat dan kebaikan naringin dan naringenin adalah seperti berikut:
1. Bersifat Antiradang
Selain bersifat antioksidan, naringin dan naringenin juga turut bersifat antiradang. Ini bermakna sebatian-sebatian flavonoid ini boleh membantu mengurangkan keradangan.
Terdapat banyak penyakit yang melibatkan tindak balas keradangan. Contohnya seperti obesiti, diabetes, artritis reumatoid atau asma.
Satu kajian terhadap haiwan yang dicetuskan asma kronik mendapati pemberian naringenin dan hesperetin boleh mengurangkan keradangan pada saluran udara. [1]
Terdapat juga kajian yang mendapati naringenin boleh membantu mengurangkan kesakitan dan menambah baik bentuk tisu bagi model haiwan yang mengalami osteoartritis (sakit sendi). [2]
2. Berpotensi Mencegah dan Merawat Kanser
Ciri-ciri antioksidan dan antiradang naringin dan naringenin menjadikan sebatian tersebut berpotensi dalam mencegah dan merawat kanser.
Terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa sebatian naringin dan naringenin berpotensi dalam mencegah dan merawat kanser payudara, kanser paru-paru, kanser gastrik, kanser usus besar dan kanser prostat. [3]
Kajian-kajian lanjutan termasuklah kajian klinikal perlu terus dijalankan bagi melihat kesan sebatian flavonoid ini terhadap kanser di dalam badan manusia.
3. Boleh Membantu Mengawal Paras Gula Darah
Naringin juga didapati boleh membantu mengawal paras gula darah. Khasiat ini mungkin bermanfaat kepada penghidap diabetes.
Kajian terhadap haiwan bagi menilai rintangan insulin mendapati haiwan yang dirawat dengan naringin pada dos 0.2 g/kg selama 10 minggu menunjukkan pengurangan rintangan insulin sebanyak 20%.
Tambahan itu, terdapat juga pengurangan yang ketara terhadap paras gula darah puasa dan paras insulin dalam darah bagi haiwan yang diuji. [4]
4. Bersifat Antivirus
Kajian-kajian juga turut mendapati naringenin mempunyai ciri-ciri antivirus terhadap virus hepatitis C, virus Chikungunya dan virus denggi.
Satu kajian yang dijalankan terhadap 43 orang pesakit hepatitis C mendapati pengambilan jus oren yang mengandungi naringenin boleh mengurangkan keradangan dan mengurangkan kesan bahaya yang disebabkan oleh virus hepatitis C. [5]
Kajian-kajian lain mendapati naringenin boleh menyekat replikasi virus Chikungunya dan mencegah jangkitan denggi. [6, 7]
5. Boleh Membantu Merawat Penyakit Alzheimer
Penyakit Alzheimer adalah salah satu penyakit sistem saraf pusat yang boleh menyebabkan kehilangan ingatan dalam kalangan golongan tua.
Kajian terhadap haiwan mendapati naringenin boleh membantu merawat penyakit Alzheimer melalui pengurangan kerosakan ingatan (memori) dan pembelajaran yang disebabkan oleh plak amiloid. [8]
Peningkatan pemendapan plak amiloid adalah salah satu tanda kepada penyakit Alzheimer.
6. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Paras kolesterol yang tinggi boleh meningkatkan risiko kepada penyakit jantung dan strok. Naringin dan naringenin juga didapati boleh membantu menurunkan paras kolesterol.
Satu kajian terhadap haiwan mendapati rawatan menggunakan naringin selama 45 hari berjaya mengurangkan paras kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan meningkatkan paras kolesterol HDL (kolesterol baik). [9]
Satu kajian yang melibatkan 80 orang pesakit kolesterol tinggi tahap sederhana mendapati ekstrak bergamot yang mengandungi 95 μM naringin berjaya mengurangkan kolesterol total, trigliserida, kolesterol LDL dan meningkatkan kolesterol HDL. [10]
7. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah
Naringin juga didapati boleh membantu menurunkan tekanan darah. Aktiviti antihipertensi naringin ini dilaporkan dalam beberapa kajian.
Satu kajian terhadap haiwan melaporkan bahawa pada dos 250, 500 dan 1000 mg/kg, naringin boleh mengurangkan kenaikan tekanan darah sistolik dengan ketara selepas rawatan selama 4 minggu. [11]
Kajian klinikal terhadap 12 pesakit hipertensi mendapati pengambilan jus buah yang mengandungi 593 µM naringin dan 143 µM naringin selama 5 minggu boleh menurunkan tekanan darah sistolik. [12]
Kumpulan yang menerima naringin pada dos yang lebih tinggi didapati lebih berkesan dalam menurunkan tekanan darah diastolik.
8. Boleh Membantu Mengurangkan Berat Badan
Naringin juga turut berpotensi digunakan sebagai agen yang membantu mengurangkan berat badan dan merawat obesiti.
Khasiat naringin ini dilaporkan dalam kajian yang dijalankan terhadap haiwan. Kajian tersebut mendapati pengambilan naringin berjaya mengurangkan lemak perut dan mengurangkan kenaikan ukur lilit perut. [12]
Satu kajian yang melibatkan produk komersial yang mengandungi 20% naringenin melaporkan bahawa pengambilan produk tersebut dalam kalangan 95 peserta yang mempunyai berat badan berlebihan menunjukkan kesan positif.
Selama 12 minggu rawatan, kumpulan yang menerima produk tersebut mengalami penurunan terhadap berat badan, lemak abdomen serta ukur lilit pinggang dan pinggul. [13]
Sumber Makanan
Naringin dan naringenin banyak terdapat di dalam buah-buahan sitrus, buah-buahan lain, herba dan sayur-sayuran seperti:
- Oren
- Limau mandarin
- Limau gedang
- Lemon
- Limau nipis
- Bergamot
- Tomato
- Tomato ceri
- Limau bali
- Rosemary
- Oregano
- Kacang badam
- Kacang pistasio
- Ceri masam
- Koko
- Ubi kentang
Keselamatan dan Kesan Sampingan
Umumnya, naringin dan naringenin yang diambil daripada buah-buahan, sayur-sayuran atau herba semula jadi adalah selamat untuk dimakan.
Manakala, bagi naringin dan naringenin yang diambil dalam bentuk makanan tambahan (suplemen) pula, dos yang selamat tanpa kesan sampingan adalah kira-kira 200 mg/kg. [14]
Ini bermakna, sekiranya anda mempunyai berat sebanyak 60 kg, jumlah maksimum dos naringin yang boleh diambil ialah sebanyak 12 gram.
Dos yang ditunjukkan boleh memberi kesan kebaikan terhadap kesihatan manusia bagi naringenin ialah kira-kira 300 mg, diambil sebanyak 2 kali sehari. Ia menghasilkan 8 µM (mikrometer) naringin di dalam darah. [15]
Rumusan
Naringin dan naringenin adalah sebatian flavonoid yang turut dikenali sebagai antioksidan.
Selain bertindak sebagai antioksidan, kedua-dua sebatian ini turut mempunyai pelbagai khasiat lain terhadap kesihatan manusia seperti mempunyai ciri-ciri antiradang, berpotensi merawat kanser, boleh membantu mengawal paras gula darah dan banyak lagi.
Anda boleh mendapatkan sebatian antioksidan ini melalui pemakanan buah-buahan sitrus seperti oren atau limau gedang.
Rujukan
- Seyedrezazadeh, E. et al. (2015). Effects of the flavanone combination hesperetin-naringenin, and orange and grapefruit juices, on airway inflammation and remodeling in a murine asthma model. Phytotherapy research.
- Wang, C. C. et al. (2017). Naringenin regulates production of matrix metalloproteinases in the knee-joint and primary cultured articular chondrocytes and alleviates pain in rat osteoarthritis model. Brazilian journal of medical and biological research.
- Stabrauskiene, J. et al. (2022). Naringin and Naringenin: Their Mechanisms of Action and the Potential Anticancer Activities. Biomedicines.
- Pu, P. et al. (2012). Naringin ameliorates metabolic syndrome by activating AMP-activated protein kinase in mice fed a high-fat diet. Archives of biochemistry and biophysics.
- Gonçalves, D. et al. (2017). Orange juice as dietary source of antioxidants for patients with hepatitis C under antiviral therapy. Food & nutrition research.
- Azin Ahmadi. et al. (2016). Inhibition of chikungunya virus replication by hesperetin and naringenin. RSC Advances.
- Frabasile, S. et al. (2017). The citrus flavanone naringenin impairs dengue virus replication in human cells. Scientific reports.
- Ghofrani, S. et al. (2015). Naringenin improves learning and memory in an Alzheimer’s disease rat model: Insights into the underlying mechanisms. European journal of pharmacology.
- Xulu, S., & Oroma Owira, P. M. (2012). Naringin ameliorates atherogenic dyslipidemia but not hyperglycemia in rats with type 1 diabetes. Journal of cardiovascular pharmacology.
- Toth, P. P. et al. (2016). Bergamot Reduces Plasma Lipids, Atherogenic Small Dense LDL, and Subclinical Atherosclerosis in Subjects with Moderate Hypercholesterolemia: A 6 Months Prospective Study. Frontiers in pharmacology.
- Ikemura, M. et al. (2012). Preventive effects of hesperidin, glucosyl hesperidin and naringin on hypertension and cerebral thrombosis in stroke-prone spontaneously hypertensive rats. Phytotherapy research.
- Reshef, N. et al. (2005). Antihypertensive effect of sweetie fruit in patients with stage I hypertension. American journal of hypertension.
- Dallas, C. et al. (2014). Clinical study to assess the efficacy and safety of a citrus polyphenolic extract of red orange, grapefruit, and orange (Sinetrol-XPur) on weight management and metabolic parameters in healthy overweight individuals. Phytotherapy research.
- Li, P. et al. (2013). Acute and 13 weeks subchronic toxicological evaluation of naringin in Sprague-Dawley rats. Food and chemical toxicology.
- Rebello, C. J. et al. (2020). Safety and pharmacokinetics of naringenin: A randomized, controlled, single-ascending-dose clinical trial. Diabetes, obesity & metabolism.