Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NRPA) memaklumkan bahawa produk kosmetik berikut didapati mengandungi racun berjadual.
Bil. | Nama Produk | Racun Berjadual yang Dikesan |
---|---|---|
1. | Momila Beauty Whitening Cream | Merkuri |
Susulan itu, orang ramai digesa untuk mengelak daripada membeli dan berhenti menggunakan produk kosmetik tersebut bagi mengelakkan sebarang kesan sampingan atau advers.
Notifikasi produk kosmetik terlibat juga telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM. Ini bermakna produk ini tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.
Bahaya Merkuri Kepada Kesihatan
Penggunaan merkuri di dalam produk kosmetik adalah dilarang kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Merkuri ini boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf.
Lebih parah lagi, bahaya ini bukan sahaja memberi kesan terhadap pemakai produk yang mengandungi merkuri itu sahaja, malah ia turut menjejaskan ahli keluarga pemakainya. Ahli keluarga mungkin terdedah kepada merkuri melalui kain tuala atau pakaian yang telah tercemar dengan merkuri.
Selain itu, ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak kecil atau bayi yang belum dilahirkan sekiranya produk kosmetik tersebut dipakai oleh ibu mengandung atau ibu yang menyusukan anak.
Merkuri juga boleh menyebabkan gejala-gejala seperti:
- Ruam
- Iritasi
- Ketar (tremor)
- Kebas atau semut-semut di tangan, kaki atau sekitar mulut
- Perubahan terhadap penglihatan dan pendengaran
Peringatan Kepada Penjual dan Pengedar Produk Kosmetik Ini
Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya
Peringatan Kepada Orang Awam
Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.