Percaya kepada mitos berkenaan ADHD boleh menimbulkan rasa malu dan menghalang anda daripada mendapatkan rawatan.
Mitos dan salah faham mengenai ADHD dalam kalangan masyarakat berlaku akibat kurangkan pendedahan mereka kepada maklumat berkaitan ADHD.
Mitos dan salah faham mengenai ADHD ini boleh menyebabkan anak anda berasa malu tentang segala-galanya daripada gejala hinggalah identiti mereka.

Begitu juga dengan ibu bapa yang mempunyai anak yang menghidap ADHD. Anda mungkin berasa bersalah, malu, atau keliru tentang cara terbaik untuk menyokong anak anda.
Untuk membantu, kami bongkarkan 6 mitos atau salah faham mengenai ADHD yang paling biasa berlaku.
Mitos 1: ADHD Hanya Berlaku Kepada Kanak-kanak Lelaki
Fakta: Ini adalah salah satu mitos yang paling lazim. ADHD tidak mengenal jantina; sama ada kanak-kanak lelaki atau perempuan boleh mengalami ADHD.
Walau bagaimanapun, gejala-gejala ADHD mungkin berbeza antara kedua-dua jantina.
Mitos 2: ADHD Disebabkan oleh Kurangnya Disiplin atau Ibubapa yang Tidak Baik
Fakta: Ini adalah salah satu mitos yang paling merugikan. ADHD adalah keadaan neurobiologi kompleks yang boleh dipengaruhi oleh genetik dan persekitaran.
Ibubapa tidak menyebabkan ADHD dan kanak-kanak dengan ADHD bukanlah hasil dari kurangnya disiplin.
Mitos 3: Penghidap ADHD Tidak Boleh Fokus Sama Sekali
Fakta: Ini adalah stereotaip yang tidak tepat. Penghidap ADHD mungkin mengalami kesulitan untuk mengekalkan tumpuan pada tugasan-tugasan yang membosankan atau tidak menarik, tetapi mereka boleh sangat fokus pada perkara-perkara yang menarik minat mereka.
Mitos 4: ADHD Hanya Terjadi pada Kanak-Kanak:
Fakta: Ini adalah mitos yang tidak benar. Walaupun gejala-gejala ADHD sering muncul pada masa kanak-kanak, ramai orang dengan ADHD masih mengalami gejala ketika mereka dewasa.
Malah, ramai mungkin hanya menerima diagnosis ketika dewasa selepas bertahun-tahun mengalami gejala yang tidak dikenalpasti.
Mitos 5: Ubat adalah Satu-satunya Rawatan yang Berkesan untuk ADHD
Fakta: Ubat sememangnya kerap digunakan dalam pengurusan ADHD, tetapi bukan satu-satunya pendekatan yang berkesan.
Terapi tingkah laku, pendekatan pendidikan, sokongan sosial, dan perubahan gaya hidup juga boleh membantu individu dengan ADHD menguruskan gejala mereka.
Mitos 6: Anda Tidak Akan Menghidap ADHD Jika Pandai
Fakta: Penghidap ADHD juga boleh menjadi seorang yang cemerlang dalam akademik atau mempunyai kerjaya yang hebat.
ADHD tidak ada kaitan dengan kecerdasan. Sebaliknya, ADHD melibatkan isu dengan fungsi eksekutif iaitu kemahiran kognitif yang terdiri daripada:
- Fleksibiliti mental: Keupayaan untuk mengalihkan perhatian kepada tugas yang berbeza.
- Ingatan kerja: Keupayaan untuk menyimpan maklumat dalam fikiran kita untuk jangka masa yang singkat.
- Kawalan kendiri: Keupayaan untuk menahan tindakan impulsif dan tidak membantu seperti melafazkan jawapan di dalam kelas.
Kemahiran kognitif ini mengawal pelbagai tingkah laku yang kompleks seperti:
- Memberi perhatian
- Perancangan
- Mengurus masa
- Membuat keputusan
- Memulakan tugas
Maka, jangan berasa hairan sekiranya penghidap ADHD yang pintar mengalami kesukaran untuk melakukan perkara “mudah” bagi kebanyakan orang seperti membayar bil atau tidak menjumpai kunci rumah.
Rumusan
Adalah penting untuk menyedari bahawa ADHD adalah keadaan serius yang mempengaruhi fungsi kognitif dan tingkah laku seseorang.
Memahami fakta-fakta tentang ADHD adalah langkah penting pertama dalam mengurangkan stigma dan memberikan sokongan yang sewajarnya kepada anak anda atau individu yang terjejas.
Rujukan
- Danielson, M. L. et al. (2018). Prevalence of Parent-Reported ADHD Diagnosis and Associated Treatment Among U.S. Children and Adolescents, 2016. Journal of clinical child and adolescent psychology.