Mungkin menjadi satu kerisauan bagi ibu-ibu jika bayi mereka mengalami kembung perut. Jadi bagaimana untuk mengatasi masalah ini? Minyak telon bayi adalah jawapannya.
Jika anda masih belum tahu akan kegunaan atau kelebihan minyak telon bayi ini, dalam perkongsian artikel ini ada penjelasannya.
Terdapat beberapa jenama minyak telon yang dijual di pasaran. Contohnya seperti minyak telon bebiku, minyak telon cap lang dan minyak telon my baby.
Bahan-bahan Utama dalam Minyak Telon Bayi
Secara umumnya, minyak telon bayi ini mengandungi 3 bahan utama. Namun, terdapat sedikit perbezaan dari segi kandungannya bergantung kepada jenama minyak tersebut.
Sebagai contoh:
Minyak Telon Bebiku mengandungi:
- Minyak kelapa
- Minyak cajeput/cajuput (minyak kayu putih)
- Minyak adas (jintan hitam)
Minyak Telon Cap Lang mengandungi:
- Minyak kelapa
- Minyak cajeput/cajuput (minyak kayu putih)
- Minyak jintan manis
Minyak Telon My Baby mengandungi:
- Minyak eucalyptus (seperti minyak kayu putih)
- Minyak chamomile
- Minyak serai (citronella)
Campuran minyak-minyak ini mempunyai banyak kebaikan dan kegunaannya.
Kegunaan dan Kebaikan Minyak Telon Bayi
Minyak telon bayi mempunyai banyak kegunaan dan kebaikan yang sesuai untuk mengatasi masalah bayi terutamanya masalah kembung perut.
Berikut adalah penjelasan lebih lanjut mengenai kegunaan dan kebaikan minyak telon:
1. Mencegah Kembung Perut Bayi
Penggunaan utama minyak telon mungkin untuk mencegah atau melegakan kembung perut yang dialami oleh bayi.
Masalah kembung perut bagi bayi adalah masalah normal yang sering dihadapi oleh ibu-ibu.
Kandungan minyak jintan dalam minyak telon bertanggungjawab dalam membantu melegakan kembung perut atau ketidakselesaan perut yang dihadapi oleh bayi anda.
Malah, keberkesanan minyak jintan ini telah terbukti dalam kajian klinikal yang menunjukkan keberkesanan minyak ini untuk melegakan gejala-gejala seperti kembung perut, sakit perut, cirit-birit dan sembelit. [1]
2. Melegakan Gatal-gatal Pada Kulit Bayi
Minyak telon juga boleh digunakan untuk melegakan gatal-gatal pada kulit bayi.
Kandungan minyak cajeput atau cajuput yang mempunyai ciri-ciri antiseptik dan antiradang boleh membantu melegakan gatal-gatal yang dialami oleh bayi anda.
Selain itu, minyak cajeput ini juga boleh mencegah jangkitan bakteria, kulat atau virus pada kulit. [2]
Di samping itu, minyak chamomile juga turut mempunyai kebaikan yang sama dalam melegakan gatal-gatal atau ekzema. [3]
3. Melembutkan dan Melembapkan Kulit Bayi
Minyak telon juga boleh digunakan untuk melembutkan dan melembapkan kulit si kecil.
Kandungan minyak kelapa dalam minyak telon boleh meningkatkan kelembapan kulit bayi yang kering.
Tambahan daripada itu lagi, minyak kelapa turut meningkatkan fungsi kulit dengan mencegah kehilangan air secara berlebihan dan melindungi kulit daripada jangkitan.
4. Memanaskan Badan Bayi
Waktu yang sesuai untuk digunakan minyak telon ini adalah selepas si manja mandi. Ini boleh membantu memanaskan badan bayi.
Pada beberapa bulan pertama, badan bayi masih belum mempunyai sistem kawalan suhu badan yang baik. Jadi, penggunaan minyak ini boleh membantu menghilangkan rasa sejuk si manja.
5. Mencegah daripada Gigitan Serangga atau Nyamuk
Kandungan minyak serai dan minyak adas boleh membantu melindungi si manja daripada gigitan serangga atau nyamuk.
Sebagai contoh, terdapat kajian yang mendapati minyak serai dan minyak adas boleh bertindak sebagai penghalau nyamuk selama lebih 6 jam. [4]
Adakah Minyak Telon Berbahaya untuk Bayi?
Secara umumnya,minyak telon adalah selamat untuk digunakan untuk bayi kerana ia dirumus khusus untuk kegunaan bayi.
Namun bagitu, penggunaan minyak ini haruslah terkawal dan tidak berlebihan. Aroma daripada minyak ini mungkin menyebabkan bayi tidak selesa atau memudaratkan sekiranya bayi mempunyai masalah pernafasan.
Selain itu, sesetengah bayi juga mungkin mempunyai kulit yang lebih sensitif. Untuk mengetahui sama ada bayi anda boleh menggunakan minyak ini atau tidak, lakukan ujian tompokan.
Letakkan setitis minyak telon tersebut pada tangan bayi anda, kemudian biarkan selama 24 jam. Jika tiada tindak balas, maka bayi anda boleh menggunakannya.
Jika terdapat ruam, kemerahan atau bintik-bintik merah, jangan gunakan minyak ini kepada bayi anda.
Rujukan
- Mosaffa-Jahromi, M. et al. (2016). Efficacy and safety of enteric coated capsules of anise oil to treat irritable bowel syndrome. Journal of ethnopharmacology.
- Jedlicková, Z. et al. (1992). Antibacterial properties of the Vietnamese cajeput oil and ocimum oil in combination with antibacterial agents. Journal of hygiene, epidemiology, microbiology, and immunology.
- Lee, S. H. et al. (2010). Effect of German chamomile oil application on alleviating atopic dermatitis-like immune alterations in mice. Journal of veterinary science.
- Yoon, J. K. et al. (2015). Comparison of Repellency Effect of Mosquito Repellents for DEET, Citronella, and Fennel Oil. Journal of parasitology research.