Minyak pati bunga cengkih adalah minyak yang diekstrak daripada bunga cengkih. Kira-kira 18% daripada minyak pati ini boleh diperolehi daripada putik bunga cengkih.
Bunga cengkih atau nama saintifiknya Syzygium aromaticum adalah salah satu herba yang sangat bernilai dalam pemakanan dan perubatan. Bunga cengkih berasal dari Indonesia, tetapi kini telah banyak diusahakan di negara-negara lain.
Malaysia juga adalah antara pengeluar terbesar bunga cengkih disamping negara-negara seperti Indonesia, India, Sri Lanka, Madagascar dan Tanzania.
Bunga cengkih kaya dengan sebatian fenolik seperti eugenol, asid galik dan eugenol asetat yang mempunyai banyak potensi dalam perubatan, kosmetik, makanan dan pertanian. Bagi minyak pati bunga cengkih, 89% peratus daripada minyak ini adalah eugenol.
Artikel ini akan menyenaraikan kebaikan dan kegunaan minyak pati bunga cengkih yang berguna dalam perawatan dan kesihatan badan.
1. Boleh Melegakan Kesakitan Gigi
Bunga cengkih sememangnya telah lama digunakan dalam perubatan tradisional untuk mengurangkan kesakitan gigi.
Minyak pati bunga cengkih atau minyak bunga cengkih juga turut didapati boleh melegakan sakit gigi.
Kebaikan minyak pati ini dapat dilihat dalam satu kajian yang membandingkan gel yang mengandungi minyak bunga cengkih, ubat benzocaine dan plasebo.
Kajian tersebut mendapati pesakit yang menerima minyak bunga cengkih mengalami pengurangan kesakitan sama seperti ubat benzocaine. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa minyak bunga cengkih berkesan sebagai agen pembius (anestatik). [1]
Satu kajian lain melakukan penilaian persepsi kesakitan melalui penggunaan minyak pati bunga cengkih, ekstrak daun betel, gel lignocaine dan ais dalam kalangan kanak-kanak berusia 6-10 tahun. Hasil kajian ini mendapati minyak bunga cengkih dan ektrak daun betel berkesan dalam mengurangkan kesakitan. [2]
Ini menunjukkan minyak bunga cengkih sesuai digunakan sebagai agen anestetik.
2. Boleh Merawat Jangkitan Kulat Candida
Kulat Candida adalah spesies kulat yang banyak menyerang manusia. Kulat jenis ini boleh menyebabkan jangkitan yis pada faraj, jangkitan pada mulut dan kutu air.
Menurut satu kajian pada tahun 2005, keberkesanan ciri-ciri antikulat eugenol iaitu komponen utama minyak bunga cengkih diuji terhadap kulat jenis Candida albicans. Hasil kajian ini mendapati eugenol berkesan dalam mencegah pembiakan kulat Candida albicans ini. [3]
3. Boleh Mencegah Kaviti Gigi
Minyak pati bunga cengkih juga bermanfaat dalam membantu mencegah kaviti gigi.
Satu kajian yang menguji 10 produk tumbuhan terhadap mikroorganisma yang menyebabkan kaviti gigi mendapati minyak pati bunga cengkih adalah paling berkesan terhadap mikroorganisma tersebut. [4]
4. Boleh Mencegah Jerawat
Minyak pati bunga cengkih juga boleh membantu mencegah jerawat.
Kebaikan minyak bunga cengkih ini dizahirkan melalui kajian yang mendapati minyak bunga cengkih berkesan dalam membunuh bakteria yang dikenali sebagai Staphylococcus aureus (S.aureus). [5]
Bakteria S.aureus adalah antara bakteria yang terlibat dengan perkembangan jerawat. [6]
5. Boleh Merawat Luka
Minyak pati bunga cengkih juga boleh digunakan untuk merawat luka.
Penggunaan krim minyak bunga cengkih secara sapuan didapati boleh menyembuhkan fisur dubur kronik iaitu luka yang menyakitkan yang berlaku ditepian dubur. [7]
Satu kajian terkini mendapati emulsi minyak bunga cengkih didapati boleh menyembuhkan luka yang disebabkan oleh goresan dan pemotongan dalam ujikaji yang melibatkan model haiwan.
Emulsi ini juga turut menunjukkan ciri-ciri antiradang apabila turut mencegah bengkak pada kaki tikus yang diuji. [8]
6. Boleh Melegakan Kegatalan
Minyak pati bunga cengkih juga boleh digunakan untuk melegakan kegatalan.
Kesan minyak bunga cengkih ini dapat dilihat dalam satu kajian yang menggunakan minyak bunga cengkih untuk merawat penyakit gatal yang kronik. Hasil kajian ini mendapati minyak bunga cengkih boleh melegakan kegatalan dengan ketara. [9]
7. Berpotensi Mencegah Kanser
Minyak pati bunga cengkih juga didapati berpotensi dalam membantu mencegah kanser.
Satu kajian tabung uji mendapati pada kuantiti tertentu, minyak bunga cengkih akan menjadi toksik kepada sel-sel kanser payudara. [10]
Kajian makmal yang lain turut mendapati minyak bunga cengkih boleh menghentikan pergembangbiakan sel-sel kanser payudara, kanser serviks dan kanser usus. [11]
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian lanjutan yang diperlukan untuk menguatkan lagi hasil kajian-kajian tersebut.
8. Berpotensi Mengurangkan Kemerosotan Memori
Minyak pati bunga cengkih juga turut berpotensi mengurangkan kemerosotan memori.
Kebaikan ini berdasarkan kajian terhadap haiwan yang mendapati rawatan menggunakan minyak bunga cengkih boleh mengurangkan tekanan oksidatif dalam otak haiwan tersebut.
Kajian ini menyimpulkan bahawa minyak bunga cengkih boleh membalikkan kemerosotan memori jangka pendek atau jangka panjang yang dicetuskan oleh ubat scopolamine.[12]
9. Boleh Mencegah Jangkitan Kulat Pada Kulit
Minyak pati bunga cengkih juga didapati boleh mencegah jangkitan kulat pada kulit.
Kulat dermatofit (dermatophyte) adalah kulat yang selalu menjangkiti kulit, rambut atau kuku. Kulat ini memerlukan keratin untuk tumbuh.
Kulat ini boleh tersebar melalui sentuhan langsung dengan orang yang telah dijangkiti, haiwan atau tanah.
Kesan antikulat minyak bunga cengkih dapat dilihat dalam ujian terhadap beberapa spesies dermatofit iaitu Microsporum canis, Trichophyton mentagrophytes, Trichophyton rubrum, Epidermophyton floccosum dan Microsporum gypseum. [13]
10. Boleh Melawan Bakteria yang Kebal Antibiotik
Seterusnya, minyak pati bunga cengkih juga turut didapati turut berkesan dalam melawan atau mencegah jangkitan bakteria yang kebal antibiotik.
Satu kajian tabung uji mendapati minyak bunga cengkih boleh mencegah dan membunuh bakteria jenis Streptococcus suis iaitu bakteria yang kebal terhadap pelbagai ubat. [14]
Kajian ini menunjukkan minyak bunga cengkih berpotensi digunakan sebagai produk alternatif dalam mengawal penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria S. suis ini.
Selain itu, minyak meruap yang diekstrak daripada bunga cengkih juga turut didapati mempunyai aktiviti antibakteria terhadap bakteria kebal pelbagai ubat iaitu A. baumannii. [15]
Bakteria ini boleh menyebabkan jangkitan dalam darah, paru-paru (pneumonia),saluran kencing dan luka.
Rumusan
Seperti bunga cengkih, minyak patinya juga turut mempunyai pelbagai kebaikan dan kegunaan.
Minyak bunga cengkih didapati mempunyai kebaikan dan kegunaan dalam membantu melegakan kesakitan gigi, melegakan kegatalan, mencegah kaviti gigi, merawat jangkitan kulat, merawat luka dan lain-lain lagi.
Secara umumnya penggunaan minyak ini adalah selamat. Walau bagaimanapun, bagi anda yang mempunyai kulit sensitif, pastikan anda mencairkan dahulu minyak ini sebelum menggunakannya pada kulit.
Rujukan
- Alqareer, A. et al. (2006). The effect of clove and benzocaine versus placebo as topical anesthetics. Journal of dentistry.
- Havale, R. et al. (2021). Comparative evaluation of pain perception following topical application of clove oil, betel leaf extract, lignocaine gel, and ice prior to intraoral injection in children aged 6-10 years: a randomized control study. Journal of dental anesthesia and pain medicine.
- Chami, N. et al. (2005). Study of anticandidal activity of carvacrol and eugenol in vitro and in vivo. Oral microbiology and immunology.
- Kanth, M. R. et al. (2016). Efficacy of Specific Plant Products on Microorganisms Causing Dental Caries. Journal of clinical and diagnostic research.
- Chamdit, S & Siripermpool, P. (2012). Antimicrobial Effect of Clove and Lemongrass Oils against Planktonic Cells and Biofilms of Staphylococcus aureus. Mahidol Univ J Pharm Sci.
- Kumar, B. et al. (2016). New insights into acne pathogenesis: Exploring the role of acne-associated microbial populations. Dermatologica Sinica.
- Elwakeel, H. A. et al. (2007). Clove oil cream: a new effective treatment for chronic anal fissure. Colorectal disease.
- Banerjee, K. et al. (2020). Anti-inflammatory and wound healing potential of a clove oil emulsion. Colloids and surfaces. B, Biointerfaces.
- Ibrahim, I. M. et al. (2017). Effectiveness of topical clove oil on symptomatic treatment of chronic pruritus. Journal of cosmetic dermatology.
- Kumar, P. S. et al. (2014). Anticancer potential of Syzygium aromaticum L. in MCF-7 human breast cancer cell lines. Pharmacognosy research.
- Liu, H. et al. (2014). Clove extract inhibits tumor growth and promotes cell cycle arrest and apoptosis. Oncology research.
- Halder, S. et al. (2011). Clove oil reverses learning and memory deficits in scopolamine-treated mice. Planta medica.
- Park, M. J. et al. (2007). Antifungal activities of the essential oils in Syzygium aromaticum (L.) Merr. Et Perry and Leptospermum petersonii Bailey and their constituents against various dermatophytes. Journal of microbiology.
- Wongsawan, K. et al. (2019). Bactericidal Effect of Clove Oil against Multidrug-Resistant Streptococcus suis Isolated from Human Patients and Slaughtered Pigs. Pathogens.
- Intorasoot, A. et al. (2017). Bactericidal activity of herbal volatile oil extracts against multidrug-resistant Acinetobacter baumannii. Journal of intercultural ethnopharmacology.