Minuman tenaga ialah minuman yang bertujuan untuk meningkatkan tenaga, kepekaan dan tumpuan peminumnya. Minuman ini banyak diminum oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Ramai yang minum minuman ini atas pelbagai tujuan tetapi kebanyakkannya adalah untuk membolehkan mereka terus bertenaga tatkala mereka sudah keletihan atau tidak bermaya.
Boleh dikatakan minuman tenaga ini popular dalam kalangan pemandu yang sering kali membuat perjalanan yang jauh.
Mungkin terdapat persoalan yang berlegar-legar diminda sesetengah daripada kita akan kesan minuman ini terhadap kesihatan. Adakah minuman ini baik atau tidak baik untuk kesihatan kita?
Artikel ini akan membincangkan dengan lebih lanjut mengenai kesan baik atau buruk minuman jenis ini terhadap kesihatan umum.
Apa itu Minuman Tenaga?
Minuman tenaga adalah minuman yang dipasarkan sebagai produk yang boleh meningkatkan tenaga, ketahanan fizikal dan prestasi otak.
Minuman ini rata-ratanya mengandungi “kafeina” sebagai bahan utama disamping bahan-bahan lain. Kafeina (caffeine) ini adalah bahan yang boleh merangsang otak dan meningkatkan kepekaan dan tumpuan seseorang.
Kebanyakan minuman tenaga yang terdapat dipasaran akan dilabelkan dengan “minuman tenaga atau energy drink” atau diiklankan sebagai minuman tenaga.
Selain kandungan kafeina, terdapat beberapa bahan lain terkandung dalam minuman ini dan kandungan ini bergantung kepada pengeluar minuman tersebut. Antara bahan-bahan yang lazimnya boleh ditemui adalah:
- Gula: Gula biasanya adalah sumber utama kalori bagi minuman tenaga. Terdapat juga pengeluar yang menggunakan jenis-jenis karbohidrat atau gula yang lain sebagai sumber kalori.
- Asid amino: Taurina (taurine) adalah asid amino yang popular digunakan dalam minuman jenis ini. Asid amino ini dihasilkan secara semula jadi oleh badan dan mempunyai fungsi terhadap jantung dan otak.
- Vitamin B: Vitamin B memainkan peranan penting untuk menukarkan makanan kepada tenaga. Vitamin ini juga membantu mengekalkan fungsi fizikal yang normal.
- Ekstrak herba: Sesetengah minuman jenis ini mengandungi ekstrak herba seperti ginseng dan tongkat ali.
Minuman ini juga dipasarkan dalam pelbagai variasi seperti berkarbonat, bebas-gula dan mempunyai pelbagai perisa.
Kebaikan: Boleh Membantu Otak Berfungsi
Kelesuan mental adalah salah satu punca yang menyebabkan seseorang itu mengambil minuman tenaga.
Kelesuan mental menyebabkan seseorang itu sukar untuk memberikan tumpuan, berasa mengantuk atau berasa seperti otak mereka tidak berfungsi dengan baik.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa minuman tenaga sememangnya boleh meningkatkan fungsi otak seperti meningkatkan tumpuan, memori dan juga masa tindak balas. [1, 2]
Terdapat juga kajian yang mendapati minuman yang mengabungkan glukosa (gula) dengan kafeina boleh mengurangkan kemerosotan prestasi otak atau mengurangkan kelesuan mental. [3]
Kebaikan: Boleh Membantu Mereka yang Letih Untuk Terus Berfungsi
Pemandu treler, lori atau mereka yang bekerja syif malam adalah antara kumpulan yang sinonim mengambil minuman tenaga untuk mengatasi rasa mengantuk atau letih yang dialami.
Sememangnya perjalanan yang jauh dan pada waktu malam menuntut kepekaan yang tinggi bagi mengelakkan sebarang kecelakaan jalan raya.
Terdapat kajian yang mengkaji kesan minuman tenaga terhadap rasa mengantuk dan kualiti pemanduan bagi pemanduan jarak jauh.
Kajian oleh Utrecht University, Belanda mendapati minuman tenaga seperti Red Bull boleh meningkatkan prestasi pemanduan dan mengurangkan rasa mengantuk pemandu ketika menempoh perjalanan jarak jauh. [4]
Terdapat juga kajian lain yang turut mendapati minuman tenaga boleh mengurangkan rasa mengantuk dan mengantuk semasa memandu pada waktu tengah hari yang diakibatkan oleh kekurangan tidur pada sebelah malam. [5]
Selain itu, terdapat juga kajian yang dijalankan terhadap mereka yang melakukan senaman sawat injak (treadmill). Kajian ini mendapati minuman tenaga boleh melambatkan rasa penat dan meningkatkan tumpuan, tenaga dan kelesuan yang dialami oleh peserta kajian tersebut. [6]
Keburukan: Boleh Menyebabkan Masalah Jantung Bagi Sesetengah Orang
Walaupun minuman tenaga ini didapati mempunyai kebaikan terutamanya berkaitan fungsi otak dan tubuh badan tetapi terdapat kebimbangan akan kesan negatif minuman ini terhadap peminumnya.
Satu kajian semula yang dijalankan oleh McGill University Health Center, Kanada melaporkan bahawa terdapat beberapa kes yang didapati mempunyai perkaitan antara pengambilan minuman tenaga dengan masalah jantung. [7]
Terdapat juga laporan kes yang melaporkan bahawa terdapat dua kes remaja yang mengalami masalah jantung (kadar deyutan jantung yang tidak teratur) akibat daripada pengambilan minuman tenaga yang banyak. [8]
Selain itu, terdapat juga kajian yang mendapati pengambilan minuman tenaga boleh menyebabkan peningkatan terhadap kadar denyutan jantung dan tekanan darah. [9]
Masalah jantung yang berkaitan dengan minuman ini dipercayai disebabkan pengambilan minuman ini secara berlebihan dan juga akibat mencampurkan minuman ini dengan alkohol.
Mereka yang menghidap penyakit jantung atau mempunyai masalah jantung harus berhati-hati dalam pengambilan minuman jenis ini.
Keburukan: Tinggi dengan Gula
Minuman tenaga juga lazimnya tinggi dengan kandungan gula.
Kandungan gula ini kebiasaanya dalam bentuk sukrosa, glukosa atau sirap jagung. Pengambilan minuman yang tinggi dengan kandungan gula boleh menyebabkan lonjakan gula dalam darah yang seterusnya boleh membawa kepada penyakit kencing manis dan obesiti.
Kesan buruk daripada gula ini akan lebih ketara bagi mereka yang tersedia mempunyai penyakit kencing manis atau diabetes.
Keburukan: Radang Hati
Terdapat juga laporan kes mengenai pesakit yang mengalami keradangan hati akut yang berpunca daripada pengambilan minuman tenaga yang berlebihan.
Pesakit yang dirujuk dihospital ini mengalami jaundis, sakit di bahagian perut dan tinggi dengan penanda kerosakan hati. [10]
Terdapat juga laporan kes yang melibatkan seorang lelaki yang mengalami kegagalan hati akibat minum minuman tenaga sebanyak 3 tin sehari selama setahun yang turut disertai dengan minuman keras (alkohol). [11]
Terdapat juga laporan kes mengenai seorang lelaki berumur 50-an yang mengalami keradangan hati akibat daripada pengambilan 4-5 minuman tenaga setiap hari selama 3 minggu. [12]
Minuman Tenaga Tidak Boleh Dicampurkan dengan Alkohol
Mencampurkan minuman tenaga dengan alkohol akan mendatangkan komplikasi atau masalah kesihatan yang serius.
Kajian yang dijalankan terhadap 403 orang dewasa menunjukkan bahawa pengambilan campuran dua minuman ini menyebabkan peningkatan rasa berdebar-debar akibat peningkatan kadar deyutan jantung berbanding mereka yang hanya minum minuman beralkohol sahaja. [13]
Terdapat juga laporan kes yang melaporkan kejadian serangan sawan dan strok bagi individu yang mengambil minuman tenaga terlalu banyak dan minum minuman ini bersama-sama alkohol. [14]
Siapa yang Tidak Digalakkan Minum Minuman Ini?
Kanak-kanak dan remaja adalah dua golongan yang tidak digalakkan untuk minum minuman tenaga. Ini kerana pengambilan kafeina yang berlebihan akan menganggu keseimbangan antara pengambilan karbohidrat, protein dan lemak yang diperlukan untuk kesihatan dan pertumbuhan kanak-kanak.
Selain itu, kandungan kafeina dalam minuman ini boleh menyebabkan kanak-kanak dan remaja bergantung atau ketagih kepada bahan ini. Selain itu, kafeina juga mungkin akan mendatangkan kesan negatif seperti terlebih berat dan obesiti bagi golongan ini. [15]
Wanita mengandung atau menyusukan anak juga harus mengelakkan minuman seperti ini.
Rumusan
Umumnya, minuman tenaga selamat dan boleh diminum selagi ia diambil secara sederhana dan tidak berlebihan.
Minum jenis ini amat membantu terutamanya buat mereka yang menjadi pemandu kenderaan berat yang terpaksa melakukan perjalanan yang jauh atau pekerja syif malam. Minuman tenaga ini boleh membantu golongan ini daripada rasa mengantuk, keletihan dan meningkatkan fungsi otak.
Walau bagaimanapun, minuman ini seharusnya dikawal atau tidak diminum bagi golongan seperti kanak-kanak, remaja, wanita mengandung dan ibu yang menyusukan anak.
Kesan sampingan yang dilaporkan rata-ratanya melibatkan pengambilan minuman ini secara berlebihan dan melibatkan campuran dengan minuman keras (alkohol).
Rujukan
- Alford, C. et al. (2001). The effects of red bull energy drink on human performance and mood. Amino acids.
- Scholey, A. B., & Kennedy, D. O. (2004). Cognitive and physiological effects of an “energy drink”: an evaluation of the whole drink and of glucose, caffeine and herbal flavouring fractions. Psychopharmacology.
- Kennedy, D. O., & Scholey, A. B. (2004). A glucose-caffeine ‘energy drink’ ameliorates subjective and performance deficits during prolonged cognitive demand. Appetite.
- Mets, M. A. et al. C. (2011). Positive effects of Red Bull® Energy Drink on driving performance during prolonged driving. Psychopharmacology.
- Reyner, L. A., & Horne, J. A. (2002). Efficacy of a ‘functional energy drink’ in counteracting driver sleepiness. Physiology & behavior.
- Walsh, A. L. et al. (2010). Improved time to exhaustion following ingestion of the energy drink Amino Impact. Journal of the International Society of Sports Nutrition.
- Goldfarb, M. et al. (2014). Review of published cases of adverse cardiovascular events after ingestion of energy drinks. The American journal of cardiology.
- Di Rocco, J. R. et al. (2011). Atrial fibrillation in healthy adolescents after highly caffeinated beverage consumption: two case reports. Journal of medical case reports.
- Steinke, L. et al. (2009). Effect of “energy drink” consumption on hemodynamic and electrocardiographic parameters in healthy young adults. The Annals of pharmacotherapy.
- Vivekanandarajah, A., Ni, S., & Waked, A. (2011). Acute hepatitis in a woman following excessive ingestion of an energy drink: a case report. Journal of medical case reports.
- Huang, B. et al. (2014). Acute Liver Failure Following One Year of Daily Consumption of a Sugar-Free Energy Drink. ACG case reports journal.
- Harb, J. N. et al. (2016). Rare cause of acute hepatitis: a common energy drink. BMJ case reports.
- Peacock, A. et al.. (2012). The subjective physiological, psychological, and behavioral risk-taking consequences of alcohol and energy drink co-ingestion. Alcoholism, clinical and experimental research.
- Dikici, S. et al. (2013). Do energy drinks cause epileptic seizure and ischemic stroke?. The American journal of emergency medicine.
- Committee on Nutrition and the Council on Sports Medicine and Fitness (2011). Sports drinks and energy drinks for children and adolescents: are they appropriate?. Pediatrics.