Mesotelioma ialah sejenis kanser yang berlaku di dalam lapisan tisu yang nipis yang menutup majoriti organ dalaman (mesotelium).
Mesotelioma dibahagikan kepada beberapa jenis bergantung kepada bahagian mesotelium yang dijangkiti. Kanser jenis ini biasanya sering menjejaskan tisu yang mengelilingi paru-paru (pleura). Kanser jenis ini dipanggil mesotelioma pleural.
Terdapat beberapa jenis mesotelioma yang lain yang menjejaskan tisu di bahagian perut (abdomen), di sekeliling jantung dan di sekeliling testikel.
Kira-kira 90% kanser ini berlaku di dada iaitu jenis mesotelioma pleural. 3% berlaku di bahagian abdomen (mesotelioma peritoneal) dan 1% berlaku di bahagian lapisan pelapik jantung yang sangat jarang-jarang berlaku. Selebihnya, 8% kanser ini tidak berlaku ditempat yang khusus atau bertindah lebih daripada satu bahagian.
Simptom-simptom Mesotelioma
Simptom-simptom mesotelioma ini berbeza-beza bergantung kepada di mana kanser ini berlaku.
Bagi mesotelioma pleural, simptom-simptom yang mungkin berlaku adalah seperti berikut:
- Batuk dan kegarauan
- Sakit dada
- Sesak nafas
- Sukar untuk menelan
- Sakit belakang
- Muka dan tangan bengkak
- Terdapat gumpalan tisu dibawah kulit di dada
- Kehilangan berat badan yang tidak dirancang
Bagi mesotelioma peritoneal pula, simptom-simptom yang mungkin berlaku adalah:
- Kembung di bahagian abdomen
- Sakit di bahagian abdomen (perut)
- Loya atau mual
- Kehilangan berat badan yang tidak dirancang
Punca
Bagi 8 daripada 10 orang yang menghidap mesotelioma pleural, asbestos adalah punca atau penyebab kepada kanser ini.
Serat yang halus daripada asbestos ini mudah untuk memasuki paru-paru dan apabila serat itu tersangkut, serat tersebut akan merosakkan paru-paru dalam jangka masa panjang.
Biasanya, kanser ini mengambil masa untuk terbentuk. Biasanya ia memakan masa lebih daripada 20 tahun selepas terdedah kepada asbestos.
Terdapat kes yang terpencil, radiasi yang tinggi seperti rawatan kanser menyebabkan mesotelioma pleural.
Diagnosis
Sekiranya doktor mengesyaki mesotelioma, anda mungkin akan dirujuk kepada pakar untuk beberapa ujian.
Antara ujian atau pemeriksaan yang mungkin dilakukan adalah:
- Sinaran-X pada dada atau perut
- Imbasan CT
- Penyaliran cecair – jika terdapat pengumpulan cecair di sekitar paru-paru atau di dalam perut, sampel boleh dikeluarkan menggunakan jarum yang dimasukkan melalui kulit supaya cecair boleh dianalisis.
- Torakoskopi dan laparoskopi
Rawatan
Rawatan untuk mesotelioma bergantung kepada beberapa faktor seperti sejauh mana kanser tersebut telah merebak dan kesihatan pesakit secara keseluruhannya.
Oleh sebab kanser jenis ini biasanya didiagnosis pada tahap akhir, rawatan biasanya menumpukan kepada pengawalan simptom-simptom dan memanjangkan hayat selama yang mungkin.
Antara rawatan yang mungkin boleh dijalankan adalah:
- Pembedahan
- Kemoterapi
- Radioterapi
- Imunoterapi
- Terapi bersasar
Komplikasi
Sekiranya mesotelioma pleural merebak di dada, ia akan menyebabkan tekanan pada kawasan tersebut. Keadaan ini boleh menyebabkan komplikasi seperti:
- Sakit dada
- Kesukaran bernafas
- Kesukaran untuk menelan
- Sakit akibat tekanan di saraf dan saraf tunjang
- Pengumpulan cecair di dada
Rujukan
- Mott F. E. (2012). Mesothelioma: a review. The Ochsner journal.
- Kim, J. et al. (2017). Malignant peritoneal mesothelioma: a review. Annals of translational medicine.
- Mayo Clinic Staff. (2020). Mesothelioma. MayoClinic