Apnea tidur ada dikaitkan dengan individu yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Menjadi satu persoalan, adakah dengan menurunkan berat badan boleh membantu penghidap apnea tidur?
Bagi menjawab persoalan ini, artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai kaitan antara berat badan dan apnea tidur serta bukti-bukti yang menunjukkan kesan penurunan berat badan terhadap apnea tidur.
Apnea tidur adalah keadaan pernafasan yang terhenti untuk sementara waktu semasa tidur. Apnea tidur obstruktif adalah jenis apnea tidur yang paling banyak berlaku.
Apnea tidur obstruktif berlaku apabila terdapat sesuatu yang menghalang saluran udara. Umumnya, kira-kira 41% kes melibatkan apnea tidur obstruktif mempunyai perkaitan dengan berat badan berlebihan atau obesiti. [1]
Keadaan ini mungkin disebabkan oleh individu yang mempunyai berat badan berlebihan mempunyai terlalu banyak tisu lembut seperti lemak lidah yang boleh menghalang laluan udara.
Bagaimana Berat Badan Menjejaskan Apnea Tidur?
Apnea tidur obstruktif melibatkan keruntuhan sebahagian atau keseluruhan saluran pernafasan, seterusnya mengurangkan tahap oksigen dan mengganggu tidur. [2]
Ia berlaku disebabkan oleh dua faktor yang mempengaruhi saluran udara iaitu ruang yang tidak mencukupi untuk aliran udara dan tonus otot yang rendah.
Penghidap obesiti boleh mengalami salah satu atau kedua-dua faktor ini.
Mereka boleh mempunyai pengumpulan lemak di saluran pernafasan atas, menyempitkan saluran udara dan menjadikannya lebih sukar untuk bernafas.
Mempunyai terlalu sedikit aktiviti otot juga boleh mengurangkan tonus otot.
Kajian kohort selama 11 tahun mendapati terdapat perkaitan terus antara berat dan apnea tidur. Penurunan berat badan boleh mengurangan gangguan pernafasan tidur seperti apnea. [3]
Penurunan Berat Badan dan Apnea Tidur: Apa Kata Penyelidikan?
Terdapat banyak kajian yang menunjukkan perkaitan antara berat badan dan apnea tidur.
Satu kajian pada 2020 menyiasat mekanisme yang berkaitan dengan bagaimana berat badan mengurangkan apnea tidur. [4]
Kajian ini mendapati penurunan berat badan membawa kepada pengurangan lemak di bahagian abdomen dan lidah. Ia turut mengurangkan saiz tisu lembut di saluran udara atas.
Penyelidik bagi kajian ini menegaskan bahawa pengurangan lemak lidah adalah penyumbang utama kepada pengurangan simptom-simptom apnea tidur.
Satu kajian yang lebih terkini yang melibatkan pesakit diabetes yang turut menghidap apnea tidur obstruktif melaporkan bahawa penurunan berat badan berjaya mengurangkan keterukan simptom-simptom apnea tidur obstruktif. [5]
Terdapat banyak lagi kajian yang lebih lama yang turut menyokong bahawa penurunan berat badan boleh mengurangkan keterukan apnea tidur.
Oleh itu, penyelidikan sangat mengesyorkan penurunan berat badan untuk semua orang yang mengalami apnea tidur, tanpa mengira tahap keterukan atau pematuhan kepada rawatan lain.
Nasihat dan Pertimbangan
Walaupun doktor menasihati penghidap apnea tidur untuk mengekalkan berat badan yang sederhana, adalah penting untuk melakukannya dengan berhati-hati dan selamat.
Menurunkan berat badan boleh menjadi sukar, dan ia adalah proses jangka panjang yang melibatkan perubahan gaya hidup yang kecil dan mampan.
Beberapa langkah yang boleh diambil sebelum anda memulakan proses menurunkan berat badan adalah:
- Dapatkan nasihat pakar berkenaan dengan diet: Penghidap penyakit kronik perlu mendapatkan nasihat doktor atau pakar sebelum memulakan diet baru.
- Elakkan diet yang terlampau ketat: Elakkan diet yang terlalu ketat, sebaiknya mulakan dengan diet yang sederhana dengan matlamat penurunan berat badan sebanyak 0.5-1.0 kg seminggu.
- Pilih diet yang berkhasiat: Pilih diet yang seimbang yang mengutamakan makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, protein dan bijian penuh.
Rujukan
- Patel S. R. (2015). The complex relationship between weight and sleep apnoea. Thorax.
- Slowik JM, Sankari A, Collen JF. Obstructive Sleep Apnea. [Updated 2022 Dec 11]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023 Jan-. Available from: NCBI
- Peppard, P. E. et al. (2000). Longitudinal study of moderate weight change and sleep-disordered breathing. JAMA.
- Wang, S. H. et al. (2020). Effect of Weight Loss on Upper Airway Anatomy and the Apnea-Hypopnea Index. The Importance of Tongue Fat. American journal of respiratory and critical care medicine.
- Kuna, S. T. et al. (2021). Effects of Weight Loss on Obstructive Sleep Apnea Severity. Ten-Year Results of the Sleep AHEAD Study. American journal of respiratory and critical care medicine.