Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meminta pihak syarikat yang mengimport produk mentega kacang jenama Jif untuk menarik balik produk yang terlibat di pasaran melalui satu kenyataan akhbar hari ini.
Ini berikutan notifikasi yang diterima daripada International Food Safety Authorities Networks (INFOSAN) mengenai isu penarikan balik produk mentega kacang tersebut dari pasaran Amerika Syarikat kerana dikhuatiri tercemar dengan bakteria Salmonella.
Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan, Amerika Syarikat (USFDA) telah mengarahkan produk mentega kacang berjenama Jif dengan nombor batch antara 1274425 hingga 2140425 iaitu hanya melibatkan tiga digit terakhir 425 ditarik balik.
Menurut pihak KKM lagi, melalui semakan ke atas data Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM),pihaknya mengesahkan bahawa produk mentega kacang berjenama Jif tersebut telah diimport ke negara ini.
Justeru itu, penjual hendaklah menghentikan penjualan produk terlibat dengan nombor batch antara 1274425 hingga 2140425 dengan tiga digit terakhir 425 dengan serta-merta, manakala pengguna yang telah membeli produk tersebut dengan nombor batch terlibat diminta untuk tidak memakan produk tersebut.
Salmonella merupakan sejenis bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan sekiranya terdapat dalam makanan seperti daging, ayam, telur, buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan yang telah diproses sekiranya aspek kebersihan diabaikan atau makanan tidak diproses dengan sempurna.
Sekiranya pengguna mempunyai sebarang persoalan atau kemusykilan berhubungan dengan perkara ini, pengguna boleh menghubungi:
- Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat
- Laman web https://moh.spab.gov.my/eApps/system/index.do
- Laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) https://www.facebook.com/bkkmhq.