Melioidosis atau turut dikenali sebagai penyakit Whitmore adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Burkholderia pseudomallei.
Penyakit ini dominan di negara yang berilklim tropika dan tersebar luas di negara Asia Tenggara, utara Australia dan hampir semua benua telah melaporkan kes-kes Melioidosis.
Bakteria Burkholderia ini boleh dijumpai dalam air dan tanah yang tercemar. Ia boleh menjangkiti manusia dan haiwan melalui sentuhan terus dengan sumber yang telah tercemar tersebut.
Gejala atau Simptom-simptom
Melioidosis mempunyai pelbagai gejala atau simptom-simptom. Malah, gejala atau simptom-simptom ini boleh disalah tafsir dengan penyakit lain seperti tuberkulosis atau pneumonia.
Terdapat beberapa jenis jangkitan Melioidosis dan mempunyai gejala atau simptom-simptom sendiri.
Jangkitan tempatan:
- Demam
- Sakit atau bengkak setempat
- Demam
- Ulser
- Abses (bernanah)
Jangkitan paru-paru:
- Batuk
- Sakit dada
- Demam panas
- Sakit kepala
- Anoreksia
Jangkitan darah:
- Demam
- Sakit kepala
- Ketidakselasaan perut
- Sakit sendi
- Sukar bernafas
- Disorientasi
Jangkitan disebarkan:
- Demam
- Susut berat badan
- Sakit perut
- Sakit dada
- Sakit otot atau sendi
- Sakit kepala
- Jangkitan sistem saraf pusat atau otak
- Sawan
Tempoh pengeraman (masa antara pendedahan kepada bakteria dan kemunculan gejala-gejala) bagi Melioidosis tidak ditakrifkan dengan jelas. Selalunya gejala muncul selepas 2 hingga 4 minggu pendedahan
Punca atau Penyebab
Penyakit ini berpunca daripada jangkitan oleh bakteria Burkholderia pseudomallei.
Bakteria ini boleh dijumpai di sumber air dan tanah yang tercemar seperti sawah padi, air bertakung dan tasik. Penyakit ini boleh disebarkan kepada manusia, haiwan ataupun tumbuhan.
Jangkitan kepada manusia berlaku melalui sentuhan langsung (direct contact) dengan tanah dan air yang tercemar melalui luka, menyedut debu atau titisan air.
Golongan Berisiko
Walaupun orang yang sihat mungkin mendapat Melioidosis, masalah kesihatan boleh meningkatkan risiko kepada penyakit ini. Faktor-faktor risiko tersebut adalah:
- Diabetes
- Penyakit hati
- Penyakit ginjal atau buah pinggang
- Talasemia
- Kanser
- Penyakit paru-paru kronik
- Mempunyai sistem imun yang rendah
- Peminum arak tegar
Rawatan
Apabila jangkitan Melioidosis didiagnosis, penyakit ini boleh dirawat dengan menggunakan ubat yang sesuai.
Rawatan biasanya bermula dengan terapi antimikrob intravena (dalam urat) selama sekurang-kurangnya 2 minggu (sehingga 8 minggu bergantung pada tahap jangkitan), diikuti dengan terapi antimikrob oral selama 3-6 bulan.
Terapi intravena terdiri daripada:
- Ceftazidime yang diberikan setiap 6-8 jam
- Meropenem yang diberikan setiap 8 jam
Terapi antimikrob oral pula terdiri daripada:
- Trimethoprim-sulfamethoxazole yang diambil setiap 12 jam
- Amoxicillin/clavulanic acid (co-amoxiclav) yang diambil setiap 8 jam
Rujukan
- Centers for Diseases Controls and Prevention.(2021).Melioidosis. https://www.cdc.gov/melioidosis/index.html
- Bush, L.M. & Vazquez-Pertejo, M.T. (2020). Melioidosis (Whitemore Disease). MSD Manual