Apa itu Melasma?
Melasma adalah gangguan kulit yang menyebabkan tompok-tompok berwarna coklat, coklat tua atau kelabu kebiruan pada kulit. Ia boleh kelihatan seperti tompok rata atau tompok seperti jeragat.
Melasma adalah gangguan kulit yang lazim berlaku terutamanya kepada wanita mengandung dan mereka yang mempunyai kulit jenis coklat cerah. Wanita adalah 9 kali ganda lebih terjejas berbanding lelaki. Melasma juga lebih kerap berlaku semasa usia 20 hingga 50 tahun.
Dimanakah Tempat Melasma Paling Kerap Terjadi?
Melasma paling kerap terjadi di bahagian pipi, dagu, hidung, dahi atau bibir atas.
Tetapi, ia boleh juga berlaku di bahagian lengan, leher, belakang atau mana-mana bahagian kulit yang banyak terdedah kepada cahaya matahari.
Jenis-jenis Melasma
Terdapat tiga (3) jenis melasma dan ia berkaitan dengan kedalaman pigmen.
- Epidermis (lapisan kulit paling luar): Melasma epidermis mempunyai warna coklat gelap dan sempadan yang jelas. Kadang-kadang bertindak balas dengan baik terhadap rawatan.
- Dermis (lapisan kulit di bawah epidermis): Melasma dermis mempunyai warna coklat cerah atau kebiru-biruan. Tidak bertindak balas dengan baik terhadap rawatan.
- Melasma bercampur: Melasma bercampur adalah jenis yang paling lazim berlaku. Ia mempunyai tompok warna kebiru-biruan dan coklat. Sesetengahnya bertindak balas dengan rawatan.
Simptom-simptom Melasma
Melasma menyebabkan simptom-simptom seperti tompok berwarna coklat gelap, kebiru-biruan atau tompok seperti jeragat. Kadang-kadang tompok-tompok ini menjadi merah atau keradangan.
Melasma boleh wujud di 6 lokasi atau gabungan antara lokasi-lokasi ini:
- Muncul di bahu dan lengan atas.
- Muncul di dahi, pipi, hidung dan bibir atas.
- Muncul di kedua-dua belah pipi.
- Muncul di pipi dan hidung
- Muncul di bahagian rahang.
- Muncul di leher (bagi orang yang berumur 50 tahun ke atas)
Punca
Terdapat dua punca utama yang menyebabkan melasma iaitu cahaya matahari (termasuk UV dan inframerah) dan hormon.
Antara faktor atau punca lain yang boleh menyebabkan melasma adalah:
- Ubat antisawan
- Ubat perancang (pil perancang)
- Hormon estrogen sintetik
- Genetik
- Hipotiroidisme
- Skrin LED
- Mengandung
- Hormon progesteron
- Kosmetik
- Produk penjagaan kulit
- Sabun
- Ubat antiradang bukan steroid, diuretik, ubat antipsikotik atau ubat hipoglisemia.
Rawatan Melasma
Bagi sesetengah wanita, melasma boleh hilang dengan sendirinya. Ini biasanya berlaku apabila ia disebabkan oleh kehamilan atau pil perancang.
Rawatan terbaik adalah gabungan antara krim hidrokuinon dan mengelak daripada sinaran matahari dengan menggunakan krim pelindung cahaya matahari.
Krim-krim yang paling kerap digunakan mengandungi 2% hidrokuinon dan yang memerlukan preskripsi doktor iaitu 4% hidrokuinon. Krim pelindung cahaya matahari perlu disapu diatas krim hidrokuinon setiap pagi.
Terdapat krim yang memerlukan preskripsi dalam bentuk kombinasi hidrokuinon 4%, tretinoin 0.05% dan fluocinolone acetonide 0.01%. Ia boleh digunakan untuk merawat melasma dan lain-lain pigmentasi kulit.
Hasil rawatan boleh dilihat selepas 6 hingga 8 minggu. Krim ini tidak boleh digunakan melebihi 8 minggu tanpa nasihat doktor.
Krim-krim formulasi khas atau gabungan agen-agen berikut juga boleh dibeli dengan preskripsi doktor:
- Hidrokuinon
- Asid azelaik
- Hidrokortison
- Asid retinoik
- Asid kojik
Kebanyakan krim rawatan ini perlu dihentikan jika mengandung atau menyusukan anak kerana terdapat risiko terhadap kandungan.
Terdapat juga agen-agen lain yang turut boleh mengurangkan melasma seperti:
- Vitamin C
- Glutation
- Resveratrol
- Ekstrak akar manis
- Zink sulfat
- Arbutin
Rawatan Menggunakan Laser
Laser juga boleh digunakan untuk merawat melasma tetapi bukan rawatan pilihan yang utama. Hasil rawatan juga mungkin kurang memuaskan. Laser boleh menyebabkan melasma dari jenis-jenis yang tertentu menjadi lebih teruk.
Langkah Pencegahan
Langkah pencegahan yang boleh dilakukan adalah mengelakkan cahaya matahari dengan memakai krim pelindung cahaya matahari atau memakai pakaian yang tertutup seperti baju berlengan panjang.
Rujukan
- Cleveland Clinic medical professional. (2020). Melasma. Cleveland Clinic https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/21454-melasma
- Basit H, Godse KV, Al Aboud AM. Melasma. [Updated 2021 Nov 5]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: NCBI