Mata juling atau dalam istilah perubatannya “strabismus” adalah keadaan di mana kedua-dua belah mata tidak selari atau sejajar dan melihat ke arah yang berlainan.
Contohnya, sebelah mata memandang ke hadapan manakala sebelah mata lagi memandang sama ada keluar, ke bawah atau ke atas.
Mata juling boleh juga dikaitkan dengan keturunan. Keadaan ini lebih lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak, tetapi ia juga boleh berlaku di kemudian hari.
Jenis-jenis Juling
Terdapat dua jenis juling yang paling biasa berlaku iaitu:
- Esotropia akomodatif: Ini selalunya berlaku dalam kes rabun jauh yang tidak diperbetulkan dan kecenderungan genetik (keturunan) untuk mata juling ke dalam.
- Eksotropia berselang-seli: Bagi juling jenis ini, sebelah mata akan tertumpu pada sasaran manakala sebelah mata lagi menghala ke luar.

Punca yang Menyebabkan Mata Juling
Kebanyakan mata juling yang berlaku adalah akibat daripada keabnormalan pada kawalan otot saraf yang mengawal pergerakan mata.
Mata juling selalunya diwarisi, kira-kira 30% kanak-kanak yang menghidap masalah ini mempunyai ahli keluarga yang turut mengalami masalah yang sama.
Selain itu, terdapat beberapa faktor lain yang boleh menjadi punca atau penyebab kepada masalah mata juling iaitu:
- Rabun dekat (hiperopia) boleh menyebabkan mata bergerak ke dalam.
- Individu yang mengalami masalah otak seperti palsi serebral, sindrom Down, hidrosefalus dan barah otak.
- Kecederaan fizikal seperti kecederaan mata.
Tanda-tanda dan Gejala
Menjelang usia 3 hingga 4 bulan, mata bayi sepatutnya boleh memberikan tumpuan (fokus) pada objek kecil dan mata harus lurus dan sejajar. Bayi berusia 6 bulan sepatutnya dapat memberi tumpuan kepada objek dekat dan jauh.
Mata juling biasanya muncul pada bayi dan kanak-kanak kecil, paling kerap pada masa kanak-kanak berumur 3 tahun.
Tanda-tanda dan gejala yang boleh diperhatikan adalah:
- Kedudukan mata tidak selari atau sejajar.
- Penglihatan berganda
- Penurunan terhadap persepsi kedalaman (depth perception)
- Keletihan mata atau sakit kepala
Bayi normal yang baru lahir biasanya juling disebabkan penglihatan yang belum matang. Masalah ini hilang setelah bayi semakin membesar.
Walau bagaimanapun, mata yang benar-benar juling tidak akan berubah dengan perkembangan tumbesaran.
Kesan Mata Juling
Mata yang juling boleh menyebabkan kanak-kanak tidak dapat melihat dengan sempurna disebabkan mata malas (ambliopia).
Jika tidak dirawat sebelum kanak-kanak berumur 10 tahun, keadaan ini boleh mengakibatkan pandangan kabur yang berkekalan.
Mata malas boleh dipulihkan sekiranya dirawat lebih awal.
Kanak-kanak yang juling berisiko untuk mengalami gangguan terhadap penglihatan teropong atau penglihatan 3 dimensi yang diperlukan untuk menganggarkan kedalaman atau ketebalan sesuatu objek.
Rawatan Mata Juling
Mata juling memerlukan pemeriksaan awal oleh doktor mata. beberapa pilihan rawatan adalah:
- Cermin mata atau kanta lekap: Digunakan untuk penyakit rabun mata seperti rabun dekat.
- Kanta prisma: Kanta khas yang boleh membengkokkan cahaya yang memasuki mata dan mengurangkan jumlah pergerakan mata yang mesti dilakukan untuk melihat objek.
- Ortoptik (senaman mata): Boleh membantu merawat juling terutamanya eksotropia iaitu juling yang menghala ke telinga.
- Menampal/menutup mata: Boleh membantu merawat mata malas. Bagaimanapun, rawatan ini tidak akan berjaya jika ia lewat dimulakan. Rawatan perlu dimulakan pada umur yang awal.
- Suntikan Botox: Suntikan Botox kepada otot-otot mata mungkin boleh membantu dalam sesetengah kes, tetapi hanya untuk sementara waktu.
- Pembedahan mata: Pembedahan ini melibatkan penyusunan semula otot-otot mata. Selepas pembedahan, kanak-kanak biasanya boleh meneruskan aktiviti biasa selepas beberapa hari.
Rujukan
- Cleveland Clinic medical professional. (2019). Strabismus (Crossed Eyes). Cleveland Clinic
- Seltman, W. (2020). What Is Strabismus? WebMD