Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Johor telah merampas 16, 320 kilogram (kg) tin sardin dari China yang mengandungi cacing parasit jenis Anisakis spp. yang cuba dibawa masuk ke negara ini.
Pengarah MAQIS Johor, Edie Putra Md Yusof berkata, penemuan cacing parasit ini bermula selepas pihaknya menyita lori yang membawa muatan 16 tan sardin yang dianggarkan bernilai RM83,879.84 yang diimport dari Singapura.
Menurutnya, produk yang diimport masuk dari Singapura itu ditahan di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini Rabu lalu kerana tidak mempunyai permit import.
“Susulan itu, anggota MAQIS membuat pemeriksaan lanjut secara fizikal terhadap sardin dalam tin dari China tersebut sebelum mendapati kehadiran bendasing dalam tin sardin tersebut.
“Beberapa sampel tin sardin kemudiannya dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut sebelum bendasing itu disahkan sebagai cacing parasit Anisakis spp,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
“Tindakan cuba mengimport sardin mengandungi cacing parasit itu adalah satu kesalahan bawah Seksyen 14 (a) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728],” tambah beliau.
“Tindakan mengimport barangan yang mengandungi penyakit, perosak atau bahan cemar yang berbahaya kepada pengguna boleh dihukum bawah akta yang sama.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 6 tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya lagi.
Perihal Cacing Parasit Anisakis spp.
Cacing parasit Anisakis spp. boleh menyebabkan jangkitan yang dikenali sebagai Anisakiasis.
Jangkitan ini boleh berlaku apabila seseorang itu makan ikan atau sotong yang tidak dimasak atau tidak dimasak dengan sempurna.
Penyakit anisakiasis ini boleh menyebabkan gejala-gejala seperti:
- Sakit perut
- Kembung perut
- Loya dan muntah
- Cirit-birit
- Najis berdarah
- Demam ringan
- Tindak balas alahan seperti ruam dan gatal-gatal
- Anafilaksis (jarang-jarang berlaku)
Rawatan untuk anisakiasis mungkin memerlukan penyingkiran cacing dari badan melalui endoskopi atau pembedahan.