Mungkin bagi masyarakat setempat, memakai stoking semasa tidur adalah sesuatu yang agak janggal. Tetapi, sebenarnya terdapat banyak manfaat tidur pakai stoking yang mungkin turut memberikan impak positif kepada anda.
Tidur adalah satu keperluan bagi setiap manusia. Menurut National Institute of Neurological Disorders and Stroke, tidur adalah satu keperluan untuk otak dan badan berfungsi dengan normal.
Ramai antara kita yang mengalami kesukaran untuk tidur. Lebih-lebih lagi untuk mendapatkan tidur yang berkualiti.
Maka, salah satu trik yang mungkin ramai masih belum cuba adalah memakai stoking semasa tidur.
Suhu teras badan anda dipengaruhi oleh jam biologi, juga dipanggil ritma sirkadian. Ritma sirkadian mengawal masa tidur, membuatkan anda berasa mengantuk pada waktu malam dan terjaga pada waktu pagi.
Suhu badan meningkat secara beransur-ansur pada siang hari, memuncak pada lewat petang. Suhu badan kemudian menurun pada waktu malam, membuatkan anda berasa mengantuk.
Apabila anda mula tertidur, suhu badan anda akan menurun sebanyak 1 hingga 2 darjah. Ini mungkin kerana badan sedang menjimatkan tenaga untuk fungsi lain.
Jika anda tidur dengan stoking, ini boleh membantu dengan kitaran peraturan suhu. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, berikut adalah beberapa manfaat tidur pakai stoking:
1. Membantu Anda Tertidur
Kaki yang sejuk boleh menjadi satu sebab kenapa anda tidak mendapat tidur yang nyenyak. Apabila kaki sejuk, ia menyempitkan saluran darah dan menyebabkan darah kurang beredar.
Memakai stoking semasa tidur boleh memanaskan kaki dan membantu anda tertidur.
Kajian pada tahun 2007 melaporkan bahawa orang dewasa yang memakai stoking biasa atau stoking panas lebih cepat tertidur. [1]
2. Mengurangkan Risiko Serangan Raynaud
Penyakit Raynaud ialah penyakit yang menyebabkan sesetengah bahagian badan seperti ibu jari kaki atau jari tangan berasa kebas dan sejuk akibat daripada suhu yang sejuk dan stres. [2]
Semasa serangan, aliran darah ke tangan dan kaki berkurangan. Akibatnya, jari tangan dan kaki mula terasa sejuk dan kebas. Jari-jemari ini juga boleh bertukar warna kepada putih atau biru.
Memakai stoking pada waktu malam boleh membantu mencegah serangan dengan memanaskan kaki dan membolehkan peredaran darah.
3. Membantu Mencegah Hot Flashes
Ramai wanita yang mengalami menopaus akan mengalami hot flashes.
Memakai stoking semasa tidur pada waktu malam boleh membantu merendahkan suhu teras badan dan turut bermanfaat dalam mencegah hot flashes.
Ini kerana hot flashes dianggap berpunca daripada turun naik hormon yang menjejaskan kawalan suhu badan.
4. Hubungan Intim yang Lebih Baik
Melalui satu kajian yang dilaporkan dalam akhbar BBC pada tahun 2005, pasangan yang memakai stoking semasa hubungan intim lebih mudah untuk mencapai orgasma (klimaks).
Kajian itu dilaporkan menyiasat tindak balas otak semasa hubungan intim dan mendapati bahawa kaki sejuk melemahkan nafsu pasangan.
Walau bagaimanapun, kajian yang dipetik dalam laporan berita itu adalah kecil, hanya melibatkan 13 pasangan.
5. Membantu Menyembuhkan Tumit Merekah
Manfaat tidur pakai stoking yang seterusnya adalah membantu menyembuhkan tumit merekah.
Ini kerana stoking boleh membantu mengekalkan kelembapan tumit selepas anda memakai pelembap dan mengelakkan tumit daripada kering.
Apakah Jenis Stoking yang Sesuai?
Stoking tidur yang diperbuat daripada kapas, bulu biri-biri (wool) atau fabrik kashmir adalah antara pilihan terbaik. Pastikan anda memakai stoking yang longgar dan tidak terlalu ketat.
Elakkan stoking yang ketat dan memampatkan kerana ia mungkin menyekat peredaran darah dan menghalang pemanasan yang betul pada kaki anda.
Sekiranya anda berasa terlalu panas memakai stoking semasa tidur, buka stoking anda atau biarkan kaki anda di luar selimut.
Cara Lain untuk Memanaskan Kaki Sebelum Tidur
Selain memakai stoking semasa tidur, terdapat beberapa cara lain yang turut membantu memanaskan kaki sebelum tidur dan memudahkan untuk anda tertidur.
Antaranya adalah:
- Merendamkan kaki di dalam air panas sebelum tidur.
- Mandi air panas sebelum tidur.
- Tidur dengan selimut yang menutupi kaki.
- Tidur dengan mengepit botol berisi air panas di kaki.
Rumusan
Memanaskan kaki anda sebelum tidur boleh memendekkan masa yang diperlukan untuk berehat dan mengantuk.
Ini seterusnya boleh meningkatkan kualiti tidur anda. Pastikan stoking yang anda pakai lembut, selesa dan tidak terlalu besar. Elakkan stoking yang terlalu ketat dan memampatkan.
Rujukan
- Raymann, R. J. et al. (2007). Skin temperature and sleep-onset latency: changes with age and insomnia. Physiology & behavior.
- Mayo Clinic Staff. (2022). Raynaud’s disease. MayoClinic.