Kulit udang sering kali diabaikan dan dibuang sebagai sisa makanan, tetapi tahukah anda bahawa kulit udang sebenarnya mempunyai pelbagai manfaat yang luar biasa?
Kajian saintifik telah menunjukkan bahawa kulit udang mengandungi sejumlah nutrien penting dan sebatian bioaktif yang memberikan pelbagai manfaat kesihatan.
Dalam artikel ini, kita akan mengeksplorasi manfaat yang menarik mengenai penggunaan dan pemanfaatan kulit udang dalam pemakanan dan kesihatan manusia. Mungkin selepas ini anda boleh mempertimbangkan untuk makan kulit udang ini.
Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa tidak semua kulit udang boleh dimakan kerana sesetengahnya adalah keras.
Berikut adalah beberapa manfaat kulit udang kepada kesihatan anda:
1. Meningkatkan Kesihatan Kulit
Kulit udang kaya dengan kolagen iaitu protein yang penting untuk keanjalan dan kehalusan kulit manusia.
Peningkatan usia menyebabkan badan manusia semakin kurang menghasilkan kolagen. Akibatnya kulit akan lebih nipis dan mudah untuk berkedut.
Penggunaan produk yang mengandungi kolagen dari kulit udang dapat membantu meningkatkan kesihatan kulit seperti mengurangkan kedutan, dan meningkatkan kelembapan kulit.
2. Baik untuk Kesihatan Jantung
Kulit udang juga bermanfaat untuk kesihatan jantung dan sistem kardiovaskular manusia.
Ia disumbang oleh kandungan kimia yang dipanggil “chitosan” yang diperolehi daripada chitin iaitu sebatian polisakarida yang tinggi dalam kulit udang.
Kajian mendapati chitosan berguna untuk melawan paras kolesterol tinggi dan obesiti. Berdasarkan kajian terhadap haiwan, chitosan ini didapati boleh mengurangkan peningkatan berat badan dan menurunkan paras kolesterol dalam darah. [1]
Tambahan itu juga, chitosan ini didapati meningkatkan nisbah paras kolesterol baik berbanding kolesterol jahat.
Paras kolesterol jahat yang tinggi boleh meningkatkan risiko penyakit jantung akibat penyumbatan arteri.
3. Mengandungi Antioksidan
Kulit udang juga kaya dengan antioksidan seperti astaxanthin iaitu karotenoid yang memberikan warna merah jambu pada udang.
Astaxanthin adalah antioksidan yang kuat yang boleh melindungi sel-sel tubuh daripada kerosakan akibat radikal bebas, mengurangkan risiko penyakit kronik, dan meningkatkan kesihatan secara umumnya.
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa astaxanthin boleh meningkatkan aliran darah dan mengurangkan tekanan oksidatif dalam kalangan perokok dan orang yang mempunyai berat badan berlebihan. [2]
4. Mempunyai Ciri-ciri Antikanser dan Antiradang
Chitin dan chitosan yang diperolehi daripada kulit udang telah dikaji untuk sifat antiradangnya.
Ia boleh membantu mengurangkan keradangan dalam badan dan meredakan gejala-gejala yang berkaitan dengan keradangan.
Kajian-kajian tabung uji menunjukkan bahawa chitosan boleh mengurangkan keradangan dengan menindas proses keradangan. [3]
Kajian terhadap haiwan pula mendapati pengambilan chitosan melalui oral (makan) boleh mengurangkan kecederaan pada usus besar. [3]
Kajian terhadap haiwan juga mendapati pengambilan chitin dan chitosan melalui oral juga mempunyai kesan antikanser terhadap kanser usus besar. Chitin dan chitosan boleh membantu mengurangkan isipadu tumor. [3]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian ini kebanyakan masih diperingkat awal dan memerlukan kajian lanjutan.
5. Boleh Membantu Mengurangkan Berat Badan
Chitosan telah dikaji untuk kesannya dalam pengurusan berat badan. Ia boleh membantu mempromosikan rasa kenyang, mungkin mengurangkan selera makan dan pengambilan kalori.
Satu kajian semula yang melibatkan 14 kajian mendapati chitosan boleh menyebabkan pengurangan berat badan sekitar 1.7 kg berbanding plasebo.
Walau bagaimanapun, perincian terhadap kajian yang berkualiti tinggi menunjukkan bahawa kesan chitosan terhadap pengurangan berat badan adalah rendah (minima). [4]
6. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah
Kandungan chitosan dalam kulit udang juga turut bermanfaat dalam membantu menurunkan tekanan darah.
Sekiranya diambil dalam bentuk makanan tambahan (suplemen), chitosan boleh menyebabkan penurunan tekanan darah sistolik dan diastolik yang ketara terutamanya dalam kalangan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan dan obes. [5]
Rumusan
Secara keseluruhan, kulit udang bukan sahaja merupakan sisa makanan yang bernilai, tetapi juga sumber berpotensi bagi nutrien dan sebatian bioaktif yang memberikan manfaat kesihatan yang signifikan.
Penggunaan kulit udang dalam pemakanan dan produk kesihatan semakin mendapat perhatian. Contohnya seperti makanan tambahan (suplemen) chitin dan chitosan.
Meskipun begitu, harus diingat bahawa pengambilan melalui hidangan makanan mungkin boleh menyokong keperluan nutrien harian tetapi tidak mampu untuk memberikan impak yang besar dengan sendirinya kerana kuantiti yang sedikit.
Rujukan
- Blackwell Publishing. (2007). Consuming Shrimp Shell Could Lower Cholesterol Levels. ScienceDaily.
- Kidd P. (2011). Astaxanthin, cell membrane nutrient with diverse clinical benefits and anti-aging potential. Alternative medicine review.
- Azuma, K. et al. (2015). Anticancer and anti-inflammatory properties of chitin and chitosan oligosaccharides. Journal of functional biomaterials.
- Mhurchu, C. N. et al. (2005). Effect of chitosan on weight loss in overweight and obese individuals: a systematic review of randomized controlled trials. Obesity reviews.
- Moraru, C. et al. (2018). A Meta-Analysis on Randomised Controlled Clinical Trials Evaluating the Effect of the Dietary Supplement Chitosan on Weight Loss, Lipid Parameters and Blood Pressure. Medicina.