Jika anda disahkan menghidap tekanan darah rendah, anda mungkin ingin mengatasi masalah tersebut dengan cara selamat dan terbaik. Makanan boleh membantu anda mengatasi masalah darah rendah yang anda alami. Pemilihan makanan tertentu boleh membantu meningkatkan tekanan darah anda.
Tekanan darah rendah atau hipotensi adalah keadaan dimana darah mengalir melalui saluran darah pada tekanan yang lebih rendah daripada normal. Tekanan darah yang normal biasanya antara 90/60 hingga 120/80 mmHg.
Penghidap tekanan darah rendah biasanya mempunyai tekanan darah kurang daripada 90/60 mmHg. Tekanan darah rendah boleh menyebabkan simptom-simptom seperti:
- Pening
- Loya
- Pitam atau pengsan
- Dehidrasi
- Kabur penglihatan
- Keletihan
- Pucat
- Pernafasan cetek atau lemah
- Sukar memberikan tumpuan

Terdapat beberapa jenis makanan yang boleh diberikan tumpuan bagi anda yang menghidap darah rendah. Antaranya adalah:
1. Garam
Garam, tidak kira sama ada garam bukit atau garam laut boleh membantu meningkatkan tekanan darah. Penghidap tekanan darah rendah boleh mendapat manfaat daripada peningkatan pengambilan garam.
Beberapa cara yang boleh dilakukan untuk meningkatkan pengambilan garam adalah:
- Memakan makanan masin seperti ikan bilis, ikan kering atau jeruk.
- Memilih snek kacang yang mengandungi garam berbanding tanpa garam.
- Menambah garam dalam masakan
2. Makanan Tinggi dengan Folat
Pemakanan yang rendah dengan folat boleh menyebabkan anemia (kekurangan sel darah merah) yang boleh membawa kepada tekanan darah rendah.
Anda boleh mendapatkan folat daripada makanan-makanan berikut:
- Beras perang
- Beras basmathi
- Buah betik
- Buah ciku
- Buah kiwi
- Susu soya
- Daun kesom
- Sayur-sayuran berdaun hijau
3. Makanan Tinggi Vitamin B12
Tambahan itu juga, makanan yang tinggi dengan vitamin B12 juga boleh mencegah daripada berlakunya anemia akibat kekurangan vitamin ini.
Anemia akibat kekurangan vitamin B12 juga boleh menyebabkan simptom-simptom seperti tekanan darah rendah, keletihan, pening, pucat dan denyutan jantung tak sekata.
Antara makanan yang tinggi dengan vitamin B12 adalah:
- Kepah
- Hati biri-biri
- Hati lembu
- Tiram
- Hati ayam
- Ikan tenggiri
- Ikan tuna
- Daging lembu
- Udang
- Telur
- Tauhu
4. Kafein
Minuman seperti kopi atau teh boleh meningkatkan tekanan darah dalam tempoh masa yang singkat. Lonjakan tekanan darah ini berlaku hasil rangsangan terhadap sistem kardiovaskular dan kadar denyutan jantung.
Antara makanan lain yang mengandungi kafein adalah coklat, koko atau minuman tenaga.
5. Air
Selain makanan, air juga turut memainkan peranan penting kepada anda yang menghidap tekanan darah rendah. Tekanan darah seseorang itu boleh menurun sekiranya mereka mengalami dehidrasi.
Panduan Mengelakkan Tekanan Darah Rendah
Beberapa perubahan terhadap pemakanan anda juga boleh membantu meningkatkan tekanan darah dan mencegah daripada berlakunya darah rendah.
Antara perubahan yang boleh dilakukan adalah:
- Makan hidangan yang kecil lebih kerap berbanding hidangan besar. Hidangan besar boleh menyebabkan penurunan tekanan darah yang dramatik.
- Minum air yang banyak dan elakkan alkohol (arak).
Perubahan gaya hidup juga boleh menyokong usaha anda untuk meningkatkan tekanan darah. Contohnya seperti:
- Elakkan berbaring terlalu lama
- Elakkan menghabiskan masa yang lama di dalam sauna, tub mandian panas atau bilik stim bagi mengelakkan dehidrasi.
- Pakai stokin mampatan yang boleh membantu darah kembali bergerak ke atas dari kaki anda.
- Ubah posisi badan dengan perlahan seperti bangun dengan perlahan-lahan.
Rujukan
- Richards, L. (2020). What to eat with low blood pressure. MedicalNewsToday.