Hormon testosteron memainkan peranan penting kepada tenaga batin lelaki. Terdapat banyak faktor yang boleh menjejaskan paras hormon ini dan salah satunya adalah makanan. Terdapat makanan dan minuman tertentu yang boleh melemahkan tenaga batin lelaki.
Testosteron adalah hormon seks yang mempunyai peranan yang besar kepada kesihatan lelaki. Perubahan hormon ini boleh memberi impak terhadap terhadap jisim otot, kekuatan, fungsi seksual atau tenaga batin lelaki.
Selain itu, perubahan terhadap paras testosteron turut dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan seperti obesiti, penyakit kencing manis (diabetes), masalah jantung dan sindrom metabolik. [1]
Bagi mengelakkan lemah tenaga batin, penjagaan makanan juga adalah penting. Antara makanan atau minuman yang boleh menjejaskan paras hormon testosteron adalah:
1. Minyak Sayuran
Minyak sayuran seperti minyak canola, minyak kacang soya, minyak jagung atau minyak biji kapas tinggi dengan kandungan lemak politaktepu.
Walaupun, lemak politaktepu ini seacra asasnya dikelaskan sebagai sumber lemak yang sihat, namun ia juga boleh menurunkan paras hormon testosteron.
Kajian terhadap 12 orang lelaki yang ingin melihat kesan pemakanan terhadap paras testosteron selepas senaman mendapati pengambilan lemak politaktepu dikaitkan dengan paras testosteron yang rendah. [2]
Kajian yang lebih terkini yang melibatkan 69 orang lelaki pula menunjukkan pengambilan lemak politaktepu yang kerap dikaitkan dengan paras testosteron yang rendah. [3]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian yang lebih besar masih diperlukan untuk melihat kesan minyak sayuran terhadap paras hormon testosteron bagi populasi umum.
2. Minuman Bergula
Minuman bergula juga boleh melemahkan tenaga batin bagi kaum lelaki.
Pengambilan minuman bergula dikaitkan dengan paras testosteron yang rendah bagi lelaki yang berumur 20 hingga 39 tahun di Amerika Syarikat. [4]
Terdapat juga kajian lain yang mendapati pengambilan gula (glukosa) mencetuskan pengurangan yang ketara terhadap paras testosteron total dan testosteron bebas bagi lelaki. [5]
Kesan yang sama turut dilaporkan dalam satu kajian lain yang melibatkan remaja obes dan berat badan berlebihan. Pengambilan minuman campuran gula dan protein menyebabkan penurunan akut terhadap paras testosteron. [6]
3. Pudina
Pudina seperti peppermint dan spearmint boleh memberikan kesan langsung kepada hormon testosteron.
Kajian terhadap haiwan mendapati haiwan yang diberikan minyak spearmint selama 20 hari mengalami pengurangan paras testosteron. [7]
Kajian lain juga turut mendapati haiwan yang diberikan teh peppermint mengalami perubahan paras hormon yang menjurus kepada pengurangan testosteron. [8]
Meskipun begitu, kajian terhadap lelaki untuk melihat kesan pudina terhadap paras testosteron lelaki masih terhad.
4. Makanan Diproses
Makanan yang diproses juga merupakan makanan yang perlu dihadkan kerana makanan ini boleh melemahkan tenaga batin lelaki.
Makanan diproses selalunya tinggi dengan garam, kalori dan gula tambahan. Selain itu, makanan diproses juga adalah sumber utama kepada lemak trans.
Lemak trans adalah lemak tidak sihat yang boleh meningkatkan risiko kepada pelbagai penyakit kronik. Tambahan itu, terdapat kajian yang menunjukkan pengambilan lemak trans secara kerap boleh menurunkan paras testosteron.
Kajian terhadap 209 lelaki mendedahkan bahawa mereka yang memakan lemak trans yang paling banyak mempunyai paras hormon testosteron 15% lebih rendah daripada mereka yang memakan lemak trans paling sedikit. [9]
Kajian tersebut turut mendapati mereka yang memakan lemak trans yang tinggi turut mempunyai jumlah sperma yang 37% lebih rendah dan fungsi testis yang menurun.
5. Alkohol
Meminum arak atau alkohol juga boleh menyebabkan lemah tenaga batin bagi orang lelaki.
Kajian terhadap 19 orang lelaki mendapati pengambilan 30 hingga 40 ml alkohol sehari boleh menyebabkan pengurangan paras testosteron sebanyak 6.8% selepas 3 minggu. [10]
Kajian lain melaporkan bahawa mabuk alkohol akut dikaitkan dengan peningkatan testosteron pada wanita tetapi penurunan testoseron bagi lelaki. [11]
6. Flaxseed
Flaxseed adalah bijian yang mempunyai banyak kebaikan terutamanya kerana kandungan serat diet yang tinggi.
Walau bagaimanapun, terdapat kajian yang mendapati flaxseed mungkin boleh menyebabkan penurunan paras testosteron bagi populasi tertentu.
Keadaan ini mungkin disebabkan oleh kandungan lignan yang tinggi di dalam flaxseed. Sebatian lignan ini akan mengikat dengan testosteron dan memaksa ia untuk dikumuhkan daripada badan.
Satu kajian yang melibatkan 25 orang lelaki yang menghidap kanser prostat mendapati pengambilan flaxseed dan mengurangkan pengambilan makanan berlemak mengalami pengurangan paras testosteron. [12]
7. Produk Tenusu
Bagi anda yang ingin meningkatkan tenaga batin atau hormon testosteron, anda mungkin perlu mengelakkan produk tenusu.
Satu kajian yang melibatkan 189 orang pemuda melaporkan bahawa pengambilan makanan tenusu boleh menjejaskan bentuk dan pergerakan sperma. Kesan ini dilihat lebih ketara bagi produk tenusu penuh lemak (full-fat dairy) terutamanya keju. [13]
Kajian yang lebih terkini melaporkan bahawa pengambilan lemak tenusu boleh meningkatkan risiko kepada jumlah sperma yang sedikit dan pergerakan sperma yang rendah. [14]
Rumusan
Mengubah corak pemakanan anda adalah salah satu cara yang berkesan untuk mengekalkan paras hormon testosteron yang sihat seterusnya memberikan impak kepada tenaga batin anda.
Sekiranya anda khuatir akan tenaga batin anda, mengehadkan pengambilan makanan yang boleh melemahkan tenaga batin ini boleh membantu anda untuk kembali bertenaga dan memastikan paras hormon testosteron di paras yang sihat.
Tambahan daripada itu, mengamalkan gaya hidup sihat, bersenam dan mendapatkan tidur yang mencukupi turut boleh membantu meningkatkan testosteron anda.
Rujukan
- Mederos, M. A. et al. (2015). Can Serum Testosterone Be Used as a Marker of Overall Health?. Reviews in urology.
- Volek, J. S. et al. (1997). Testosterone and cortisol in relationship to dietary nutrients and resistance exercise. Journal of applied physiology.
- Nagata, C. et al. (2000). Relationships between types of fat consumed and serum estrogen and androgen concentrations in Japanese men. Nutrition and cancer.
- Chen, L. et al. (2018). Sugar-sweetened beverage intake and serum testosterone levels in adult males 20-39 years old in the United States. Reproductive biology and endocrinology.
- Caronia, L. M. et al. (2013). Abrupt decrease in serum testosterone levels after an oral glucose load in men: implications for screening for hypogonadism. Clinical endocrinology.
- Schwartz, A. et al. (2015). Acute decrease in serum testosterone after a mixed glucose and protein beverage in obese peripubertal boys. Clinical endocrinology.
- Sadeghi Ataabadi, M. et al. (2017). Role of Essential Oil of Mentha Spicata (Spearmint) in Addressing Reverse Hormonal and Folliculogenesis Disturbances in a Polycystic Ovarian Syndrome in a Rat Model. Advanced pharmaceutical bulletin.
- Sampaio F. J. (2004). Effects of peppermint teas on plasma testosterone, follicle-stimulating hormone, and luteinizing hormone levels and testicular tissue in rats. International braz j urol.
- Chavarro, J. E. et al. (2014). Trans fatty acid intake is inversely related to total sperm count in young healthy men. Human reproduction.
- Sierksma, A. et al. (2004). Effect of moderate alcohol consumption on plasma dehydroepiandrosterone sulfate, testosterone, and estradiol levels in middle-aged men and postmenopausal women: a diet-controlled intervention study. Alcoholism, clinical and experimental research.
- Frias, J. et al. (2002). Effects of acute alcohol intoxication on pituitary-gonadal axis hormones, pituitary-adrenal axis hormones, beta-endorphin and prolactin in human adults of both sexes. Alcohol and alcoholism.
- Demark-Wahnefried, W. et al. (2001). Pilot study of dietary fat restriction and flaxseed supplementation in men with prostate cancer before surgery: exploring the effects on hormonal levels, prostate-specific antigen, and histopathologic features. Urology.
- Afeiche, M. et al. (2013). Dairy food intake in relation to semen quality and reproductive hormone levels among physically active young men. Human reproduction.
- Wang, X. B. et al. (2021). Dairy Product Consumption and Oligo-Astheno-Teratozoospermia Risk: A Hospital-Based Case-Control Study in China. Frontiers in nutrition.