Keracunan makanan berlaku apabila anda makan makanan yang telah tercemar dengan bakteria, virus, parasit atau toksin yang berbahaya. Terdapat sesetengah makanan yang lebih mudah untuk menyebabkan keracunan makanan berbanding makanan lain.
Artikel ini menyenaraikan 9 makanan yang lebih berpotensi menyebabkan keracunan makanan.
Keracunan makanan boleh menyebabkan seseorang itu mengalami simptom-simptom seperti cirit-birit, loya, muntah dan lain-lain.

Sesetengah orang mungkin mengalami simptom-simptom ringan manakala golongan seperti kanak-kanak, wanita hamil, orang tua dan penghidap penyakit kronik lebih berisiko mengalami komplikasi yang lebih serius.
Makanan tertentu lebih cenderung menyebabkan keracunan makanan berbanding yang lain, terutamanya jika ia disimpan, disediakan atau dimasak dengan tidak betul.
Antara makanan-makanan tersebut adalah:
1. Telur
Telur terutamanya sekiranya dimakan mentah atau separa masak boleh menjadi makanan yang menyebabkan keracunan makanan.
Ini kerana telur boleh membawa bakteria Salmonella, yang boleh mencemari bahagian kulit dan bahagian dalam telur. [1]
Untuk mengurangkan risiko, jangan makan telur dengan kulit yang retak atau kotor. Jika boleh, pilih telur dipasteur dalam resipi yang memerlukan telur mentah atau separa masak.
2. Poultri
Poultri seperti ayam, itik, ayam belanda atau angsa yang mentah dan kurang masak juga boleh menyebabkan keracunan makanan.
Hal ini demikian kerana terdapat dua jenis bakteria iaitu Salmonella dan Campylobacter yang selalunya dijumpai dalam usus dan bulu haiwan-haiwan tersebut. [2, 3]
Bakteria-bakteria ini sering mencemari daging poultri segar semasa proses penyembelihan dan bakteria ini boleh bertahan sehingga daging tersebut di masak.
Oleh itu, bagi mengurangkan risiko keracunan makanan, pastikan daging poultri masak sepenuhnya.
3. Ikan atau Kerang-kerangan
Ikan atau kerang-kerangan juga adalah sumber keracunan makanan yang lazim berlaku.
Ikan yang tidak disimpan pada suhu yang betul berisiko tinggi untuk tercemar dengan histamin, toksin yang dihasilkan oleh bakteria dalam ikan.
Histamin tidak musnah dengan suhu memasak biasa dan mengakibatkan sejenis keracunan makanan yang dikenali sebagai keracunan scombroid. [4]
Ia menyebabkan pelbagai simptom seperti loya, berdehit dan bengkak pada muka dan lidah.
Kerang-kerangan seperti kerang, kepah, kupang, tiram dan scallop juga membawa risiko keracunan makanan.
Alga yang dimakan oleh haiwan laut ini menghasilkan banyak toksin dan ia boleh terkumpul di dalam daging kerang-kerangan ini dan mendatangkan bahaya kepada manusia apabila mereka memakan makanan laut tersebut.
Untuk mengurangkan, pastikan anda menyimpan ikan dan kerang-kerangan di tempat sejuk sebelum dimasak. Pastikan ikan dimasak sempurna.
Masak kerang-kerangan seperti kerang, kupang dan tiram sehingga kulitnya terbuka. Buang cengkerang yang tidak terbuka.
4. Sayur-sayuran atau Ulam
Sayur-sayuran atau ulam-ulaman boleh menjadi makanan yang menyebabkan keracunan makanan sekiranya ia tidak dibasuh dengan bersih dan dimakan mentah.
Sayur-sayuran dan ulam-ulaman boleh tercemar dengan bakteria berbahaya seperti E. coli, Salmonella dan Listeria.
Pencemaran ini boleh berlaku dalam pelbagai peringkat rantaian bekalan. Contohnya seperti air yang tidak bersih dan air larian yang kotor yang boleh meresap ke dalam tanah di mana tempat sayur-sayuran ditanam.
Untuk meminimumkan risiko anda, sentiasa basuh daun salad, ulam atau sayur-sayuran dengan bersih sebelum makan.
5. Tenusu yang Tidak Dipasteurkan
Pempasteuran adalah proses memanaskan cecair atau makanan pepejal untuk membunuh mikroorganisma yang berbahaya.
Produk tenusu seperti susu dan keju yang dipasteurkan adalah selamat diminum atau dimakan.
Susu atau produk susu yang tidak dipasteurkan adalah antara makanan yang banyak menyumbang kepada keracunan makanan.
Bagi mengurangkan risiko, pastikan anda hanya membeli susu atau produk tenusu yang telah dipasteurkan.
6. Daging Deli
Daging deli seperti sosej, salami dan lain-lain juga merupakan makanan yang boleh menyebabkan keracunan makanan.
Daging deli boleh tercemar dengan bakteria berbahaya seperti Listeria dan Staphylococcus aureus semasa pemprosesan dan pembuatan.
Pencemaran boleh berlaku secara langsung melalui sentuhan dengan daging mentah yang tercemar atau secara tidak langsung seperti:
- Penjagaan kebersihan yang buruk oleh kakitangan deli
- Amalan kebersihan yang buruk
- Pencemaran silang daripada peralatan yang tidak bersih seperti bilah penghiris
Bagi mengurangkan risiko keracunan, masak daging deli atau apa-apa daging dengan sempurna dan simpan di tempat yang sesuai.
7. Buah-buahan
Terdapat juga sesetengah buah-buahan yang berisiko untuk menjadi punca kepada keracunan makanan.
Buah yang tumbuh di atas tanah seperti tembikai, rockmelon atau tembikai susu berisiko tinggi untuk menyebabkan keracunan makanan akibat pencemaran bakteria Listeria. [5]
Bakteria ini boleh tumbuh di bahagian kulit buah-buah tersebut dan kemudiaanya merebak ke bahagian isi.
Buah beri segar dan beku seperti raspberi, beri hitam, strawberi dan beri biru juga merupakan sumber biasa keracunan makanan akibat virus dan bakteria berbahaya, terutamanya virus hepatitis A.
Mencuci buah sebelum memakannya boleh mengurangkan risiko, seperti memasaknya. Jika anda makan tembikai atau rockmelon, pastikan kulitnya dicuci. Makan buah sebaik sahaja ia dipotong atau letakkan di dalam peti sejuk.
8. Nasi
Nasi juga boleh menjadi makanan yang menyebabkan keracunan makanan.
Beras atau nasi yang tidak dimasak boleh tercemar dengan spora Bacillus cereus iaitu bakteria yang menghasilkan toksin yang menyebabkan keracunan makanan. [6]
Sekiranya nasi yang dimasak dibiarkan pada suhu bilik, spora bakteria ini akan membesar menjdi bakteria yang terus menerus berkembang biak.
Untuk mengurangkan risiko, makan nasi yang baru dimasak dan simpan lebihan nasi di dalam peti sejuk. Elakkan makan nasi yang telah basi.
9. Tauge
Tauge atau kecambah juga dikelaskan sebagai makanan yang berisiko tinggi untuk menyebabkan keracunan makanan.
Ia mungkin disebabkan oleh kehadiran bakteria E.coli, Salmonella dan Listeria.
Biji benih memerlukan keadaan yang hangat, lembap dan kaya dengan nutrien untuk pucuk tumbuh. Keadaan ini sesuai untuk pertumbuhan pesat bakteria.
Bagi mengurangkan risiko, elakkan makan tauge yang mentah. Memasak tauge boleh membunuh bakteria yang berbahaya dan mengurangkan risiko kepada keracunan makanan.
Rumusan
Keracunan makanan adalah penyakit yang disebabkan oleh memakan makanan yang tercemar dengan bakteria, virus atau toksin.
Terdapat beberapa jenis makanan yang berisiko tinggi untuk tercemar dengan bakteria, virus atau toksin seperti telur, poultri, ikan atau kerang-kerangan, sayur-sayuran dan lain-lain lagi.
Bagi mengurangkan risiko keracunan makanan, basuh makanan dengan bersih, masak dengan sempurna dan simpan di tempat yang sesuai seperti di dalam peti sejuk.
Rujukan
- Whiley, H., & Ross, K. (2015). Salmonella and eggs: from production to plate. International journal of environmental research and public health.
- Berndtson, E. et al. (1992). Distribution and numbers of Campylobacter in newly slaughtered broiler chickens and hens. International journal of food microbiology.
- Nidaullah, H. et al. (2017). Prevalence of Salmonella in poultry processing environments in wet markets in Penang and Perlis, Malaysia. Veterinary world.
- Stratta, P., & Badino, G. (2012). Scombroid poisoning. CMAJ.
- Locatelli, A. et al. (2013). Biotic and abiotic soil properties influence survival of Listeria monocytogenes in soil. PloS one.
- Ankolekar, C. et al. (2009). Detection of toxigenic Bacillus cereus and Bacillus thuringiensis spores in U.S. rice. International journal of food microbiology.