Asma adalah penyakit keradangan kronik pada saluran pernafasan. Asasnya, penyebab asma adalah berbeza-beza bagi setiap orang. Tetapi, bagi sesetengah penghidap asma terdapat beberapa jenis makanan yang boleh mencetuskan asma buat mereka.
Kebiasaannya, makanan bukanlah pencetus asma. Tetapi serangan asma boleh dicetuskan oleh makanan sekiranya individu tersebut mempunyai alahan terhadap makanan tertentu atau terlalu sensitif terhadap makanan tersebut.
Penghidap asma disarankan untuk mengamalkan diet yang sihat dengan makan makanan segar dan berkhasiat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
Terdapat kajian yang mendapati penghidap asma terutamanya remaja dan kanak-kanak yang berubah daripada diet sihat kepada diet yang terdiri daripada makanan proses menyebabkan peningkatan kes-kes asma.
Adalah penting untuk penghidap asma peka akan makanan-makanan yang boleh mencetuskan asma buat diri mereka bagi mengelakkan serangan asma.
Berikut adalah beberapa jenis makanan yang berpotensi menjadi pencetus kepada serangan asma bagi sesetengah individu.
Makanan yang Menyebabkan Alahan
Penghidap asma yang turut mempunyai alahan makanan boleh mengalami serangan asma sekiranya makan makanan yang boleh menyebabkan alahan. Antaranya adalah:
1. Telur
Alahan telur berlaku kerana sistem imun badan terkeliru dengan menganggap protein telur sebagai berbahaya.
Selain telur segar, terdapat juga beberapa produk yang terdapat di pasaran yang turut mengandungi protein telur. Contohnya seperti:
- mayonis
- lesitin E322
- globulin
2. Kekacang
Kumpulan makanan yang terdiri daripada kekacang juga harus diberi perhatian bagi penghidap asma yang mempunyai alahan terhadap kekacang.
Alahan kekacang adalah antara jenis alahan yang paling banyak dihidapi oleh kanak-kanak dan juga orang dewasa.
Contoh kekacang dan produk mengandungi kekacang adalah:
- Kacang tanah
- Kacang badam
- Kacang pekan
- Kacang gajus
- Kacang walnut
- Mentega kacang
- Minyak kacang
- Biskut
- Coklat atau gula-gula
- Bar tenaga (energy bar)
3. Kacang Soya
Bagi mereka yang mempunyai alahan terhadap kacang soya, elakkan makanan yang berasaskan soya.
Antaranya:
- susu soya
- tempe
- tauhu
- bijirin tertentu
- daging proses
- yogurt soya
- kicap
4. Susu Lembu
Alahan susu lembu lazimnya berlaku terhadap kanak-kanak. Ia juga melibatkan tindak balas abnormal sistem imun terhadap protein dalam susu lembu.
Elakkan produk-produk tenusu berikut:
- Susu lembu
- Susu skim
- Susu rendah lemak
- Yogurt
- Mentega
- Aiskrim
- Keju
5. Makanan Laut
Alahan terhadap makanan laut juga adalah antara alahan yang paling lazim berlaku kepada kanak-kanak dan orang dewasa.
Alahan terhadap makanan laut juga boleh mencetuskan serangan asma atau simptom-simptom yang hampir sama dengan asma.
6. Gandum
Sesetengah orang mempunyai alahan terhadap gandum atau produk yang mengandungi gandum.
Mereka yang mempunyai alahan terhadap gandum akan mengalami tindak balas alahan terhadap produk-produk yang mengandungi protein gandum seperti albumin, globulin, gliadin dan gluten.
7. Bijan
Bijan jugak boleh menyebabkan alahan bagi sesetengah orang walaupun tidak popular seperti alahan kekacang. Biji bijan dan minyak bijan boleh mendatangkan tindak balas alahan yang serius.
Makanan yang Mengandungi:
8. Sulfit
Sulfit adalah bahan pengawet makanan yang boleh memburukkan lagi asma. Sulfit ini biasanya terkandung dalam makanan seperti:
- Buah-buahan kering
- Alkohol
- Jeruk
- Jus buah
- Ikan dalam tin
- Jus buah
- Udang halus
Nama lain bagi pengawet yang mengandungi sulfit ini adalah sodium bisulfite, potassium bisulfite, sodium metabisulfite, potassium metabisulfite dan sodium sulfite.
9. MSG
MSG atau monosodium glutame adalah bahan tambahan yang digunakan untuk mempertingkatkan rasa makanan terutamanya makanan-makanan ringan. MSG boleh mencetuskan asma bagi mereka yang sensitif kepada bahan tambahan ini.
Selain itu, MSG turut terkandung dalam produk makanan seperti:
- kiub pati
- kicap
- sup dalam paket
- snek
- kerepek
- penyedap rasa
- ajinomoto
10. Salisilat
Salisilat ialah bahan kimia yang boleh dijumpai secara semulajadi dalam sesetengah makanan atau dihasilkan secara sintetik. Antara makanan atau produk yang mengandungi salisilat adalah:
- kopi
- kicap
- pes tomato
- sos cili
- bir/wain
- madu
- prun
- aspirin
- ubat pencuci mulut
- minyak wangi
Kira-kira 5% hingga 10% penghidap asma sensitif kepada salisilat (salicylates).
11. Pewarna Makanan
Walaupun ia jarang-jarang berlaku, terdapat juga penghidap asma yang sesitif terhadap pewarna makanan. Pewarna makanan seperti tartrazina (tartrazine) adalah pewarna yang sering digunakan dalam makanan.
Rumusan
Pada asasnya, makanan bukanlah pencetus asma. Meskipun begitu, bagi mereka yang mempunyai alahan makanan, tak tolerans atau sensitif terhadap makanan tertentu, makanan tersebut boleh menjadi pencetus kepada asma.
Bagi penghidap asma atau penjaga kanak-kanak yang menghidap asma, amalan membaca label bahan atau ramuan sesuatu produk adalah satu amalan yang harus dipraktikkan bagi mengelakkan berlakunya serangan asma.
Rujukan
- Ambardekar, N. (2019). Foods That Can Trigger Asthma Attacks. WebMD.
- McDermott, A. (2019). Asthma and Your Diet: What to Eat and What to Avoid. Healthline.