Penjagaan makanan boleh membantu mempercepatkan penyembuhan luka bersunat atau berkhatan. Sebagai rujukan ibu bapa atau penjaga, kami senaraikan beberapa makanan yang boleh dimakan ketika bersunat.
Teknologi perubatan pada masa kini membolehkan kanak-kanak yang bersunat sembuh dengan lebih cepat.
Penjagaan makanan yang betul boleh membantu penyembuhan menjadi lebih lancar dan mengurangkan risiko jangkitan dan komplikasi.
Terdapat banyak pilihan makanan termasuklah buah-buahan, sayur-sayuran dan pelbagai sumber makanan yang lain yang boleh mengurangkan keradangan, menguatkan sistem imun dan membantu penyembuhan.
Pada fasa ini, kurangkan memberi anak-anak anda makanan segera, makanan yang diproses ultra atau makanan remeh.
Berikut adalah 12 makanan yang boleh dimakan atau disarankan untuk kanak-kanak ketika bersunat bagi mempercepatkan penyembuhan:
1. Ikan Haruan
Ikan haruan popular pada masa dahulu bagi orang yang berpantang kerana ia dipercayai boleh membantu mempercepatkan penyembuhan luka.
Khasiat ikan haruan dalam penyembuhan luka sebenarnya telah terbukti secara saintifik berdasarkan kajian oleh penyelidik tempatan.
Kajian oleh penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati pengambilan ekstrak ikan haruan boleh mengurangkan kesan parut luka. [1]
Kajian oleh penyelidik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula mendapati ekstrak ikan haruan dalam bentuk semburan boleh membantu mengurangkan kesakitan akibat luka pembedahan. [2]
2. Daging Merah dan Ayam
Daging merah seperti daging lembu atau daging kambing serta daging ayam adalah sumber yang baik untuk mendapatkan protein.
Protein yang terdiri daripada asid amino penting untuk penyembuhan luka.
Daging lembu dan daging ayam adalah dua sumber yang baik untuk mendapatkan asid amino seperti arginina dan glutamina.
Arginina dan glutamina adalah asid amino yang boleh membantu penyembuhan dan pemulihan.
Arginina membantu dalam penghasilan kolagen dan penyembuhan luka manakala glutamina membantu mengurangkan komplikasi jangkitan dan melindungi daripada keradangan. [3, 4]
3. Jambu Batu
Jambu batu adalah buah-buahan tempatan yang kaya dengan vitamin C. Malah, kandungan vitamin C dalam buah jambu batu lebih tinggi daripada buah oren.
Vitamin C adalah vitamin yang penting untuk penghasilan kolagen, menguatkan sistem imun dan turut bertindak sebagai antioksidan.
4. Makanan Laut
Sekiranya anak anda tidak mempunyai alahan terhadap makanan laut, makanan laut juga boleh dimakan oleh anak anda yang bersunat.
Makanan laut seperti kerang, tiram atau kepah adalah sumber makanan yang tinggi dengan mineral zink.
Mineral zink adalah penting untuk fungsi sistem imun. Selain itu, mineral ini juga boleh membantu mempercepatkan pemulihan dan menggalakkan penyembuhan luka. [5]
5. Kunyit
Kunyit adalah tumbuhan herba yang mempunyai pelbagai kebaikan terutamanya ciri-ciri antiradang dan antioksidannya.
Kunyit mengandungi sebatian aktif yang dipanggil kurkumin. Kurkumin ini didapati boleh memainkan peranan dalam proses penyembuhan luka termasuklah mempercepatkan penyembuhan. [6]
Anda boleh mendapatkan manfaat kunyit ini dengan menghasilkan teh kunyit atau menggunakan kunyit dalam masakan.
6. Kacang Badam dan Kacang Gajus
Kacang badam, kacang gajus atau kacang pekan adalah dua sumber yang baik untuk mendapatkan pelbagai nutrien seperti protein, lemak sihat, vitamin dan mineral.
Kacang-kacang ini kaya dengan mineral zink, mangan, magnesium dan vitamin E. Vitamin E bertindak sebagai antioksidan yang melindungi sel-sel badan daripada kerosakan.
Vitamin E juga boleh membantu melidungi luka daripada jangkitan bakteria. [7]
7. Sayur-sayuran Berdaun Hijau
Sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam, kailan, kangkung atau sawi adalah makanan yang padat dengan pelbagai nutrien.
Sayur-sayuran jenis ini kaya dengan vitamin C, vitamin B, vitamin A dan mineral seperti zat besi yang mempunyai pelbagai peranan dalam penyembuhan dan kesihatan badan secara keseluruhannya.
Sebagai contoh, kekurangan zat besi boleh melambatkan penyembuhan luka. [8]
8. Nasi atau Keledek
Nasi atau keledek adalah sumber makanan yang tinggi dengan karbohidrat.
Karbohidrat juga turut memainkan peranan penting terhadap penyembuhan luka seperti luka bersunat.
Selain membekalkan tenaga, karbohidrat juga turut merangsang penghasilan insulin yang seterusnya membantu dalam proses penyembuhan luka.
9. Telur
Salah satu mitos yang dipercayai ramai adalah tidak boleh memakan telur ketika bersunat kerana dikhuatiri boleh menyebabkan nanah.
Kepercayaan ini adalah tidak benar dan telur sebenarnya mempunyai banyak khasiat dan turut membantu dalam penyembuhan luka.
Telur adalah sumber yang baik untuk mendapatkan protein, vitamin A, vitamin B12, mineral zink, zat besi dan selenium. Semua nutrien ini mempunyai peranan dalam penyembuhan luka.
Oleh itu, sekiranya anak anda tidak mempunyai alahan telur, telur adalah makanan yang boleh dimakan ketika bersunat.
10. Hati Lembu
Hati lembu adalah makanan yang tinggi dengan kandungan vitamin A.
Vitamin A mempunyai peranan penting dalam penyembuhan luka seperti merangsang penggantian lapisan kulit luar, meningkatkan kadar pemulihan luka dan memulihkan struktur tisu kulit. [9]
11. Pegaga (Jus Pegaga)
Pegaga juga adalah tumbuhan herba yang telah lama digunakan dalam perubatan tradisional untuk penyembuhan luka. Maka, ia juga adalah makanan yang boleh dimakan ketika bersunat.
Pegaga boleh membantu mempercepatkan penyembuhan luka, meningkatkan penghasilan kolagen, menebalkan kulit di bahagian luka dan mencegah keradangan.
Selain dijadikan ulam, anda juga boleh menghasilkan jus pegaga.
12. Nanas
Buah nanas mengandungi sebatian aktif yang dikenali sebagai bromelain.
Bromelain ini didapati boleh membantu dalam penyembuhan luka seperti mengurangkan bengkak, lebam, kesakitan dan memendekkan masa penyembuhan.
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa pengambilan bromelain dalam bentuk suplemen boleh membantu mengurangkan kesakitan dan menambah baik penyembuhan luka. [10]
Bromelain banyak terkandung pada bahagian empulur buah nanas. Oleh itu, pastikan anda tidak membuangnya.
Rumusan
Secara umumnya, terdapat pelbagai makanan yang boleh dimakan ketika bersunat selagi makanan tersebut daripada sumber semula jadi dan kurang diproses.
Secara khususnya, terdapat beberapa makanan yang boleh membantu mempercepatkan penyembuhan luka seperti luka bersunat. Antaranya adalah ikan haruan, daging lembu, daging ayam, makanan laut, telur dan lain-lain.
Selain itu, pastikan anak anda mendapatkan rehat banyak dan air yang mencukupi untuk membantu pemulihan.
Rujukan
- Ab Wahab, S. Z. et al. (2015). The Effect of Channa striatus (Haruan) Extract on Pain and Wound Healing of Post-Lower Segment Caesarean Section Women. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Sahid, N. A. et al. (2018). Snakehead Consumption Enhances Wound Healing? From Tradition to Modern Clinical Practice: A Prospective Randomized Controlled Trial. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Chow, O., & Barbul, A. (2014). Immunonutrition: Role in Wound Healing and Tissue Regeneration. Advances in wound care.
- Newsholme P. (2001). Why is L-glutamine metabolism important to cells of the immune system in health, postinjury, surgery or infection?. The Journal of nutrition.
- Lin, P. H. et al. (2017). Zinc in Wound Healing Modulation. Nutrients.
- Barchitta, M. et al. (2019). Nutrition and Wound Healing: An Overview Focusing on the Beneficial Effects of Curcumin. International journal of molecular sciences.
- Hobson R. (2016). Vitamin E and wound healing: an evidence-based review. International wound journal.
- Wright, J. A. et al. (2014). The role of iron in the skin and cutaneous wound healing. Frontiers in pharmacology.
- Polcz, M. E., & Barbul, A. (2019). The Role of Vitamin A in Wound Healing. Nutrition in clinical practice.
- Soheilifar, S. et al. (2018). Effect of Oral Bromelain on Wound Healing, Pain, and Bleeding at Donor Site Following Free Gingival Grafting: A Clinical Trial. Journal of dentistry.