Sesetengah orang boleh boleh mengawal simptom-simptom vertigo dengan mengubah pemakanan (diet) mereka. Terdapat makanan tertentu yang baik untuk vertigo yang boleh diamalkan untuk mengurangkan simptom-simptom vertigo. Terdapat juga sesetengah makanan yang boleh mencetuskan simptom-simptom vertigo.
Namun, harus diingat juga tidak semua orang terkesan dengan benda yang sama. Ada orang boleh tahan dan ada orang tidak boleh.
Bagi anda yang tidak mengetahui apa itu vertigo, vertigo adalah sensasi bahawa persekitaran di sekeliling anda berputar dalam bulatan. Ia boleh membuat anda berasa pening dan tidak seimbang.

Walaupun pening dan vertigo dianggap sebagai masalah keseimbangan, tetapi kedua-duanya mempunyai simptom yang berbeza. Pening adalah perasaan keseluruhan yang tidak seimbang. Manakala vertigo, anda mempunyai sensasi bahawa anda sedang bergerak atau persekitaran anda berputar.
Vertigo boleh menyebabkan simptom-simptom seperti loya, muntah, masalah keseimbangan, tinitus, sakit kepala, berasa penuh di dalam telinga, mabuk gerak dan gerakan bola mata yang cepat dan tidak terkawal secara mengufuk atau menegak (nistagmus).
Punca yang Menyebabkan Vertigo
Terdapat beberapa sindrom atau keadaan boleh menyebabkan vertigo. Ia termasuklah:
- Benign paroxysmal positional vertigo (BPPV): BPPV adalah penyebab vertigo yang paling biasa.
- Penyakit Meniere: Keadaan ini menyebabkan cecair terkumpul di dalam telinga, menyebabkan serangan vertigo.
- Labirintitis: Labirintitis ialah keadaan di mana labirin dalam telinga dijangkiti atau keradangan.
- Vestibular neuritis: Keradangan pada saraf vestibular yang boleh menyebabkan vertigo.
- Kolesteatoma: Jangkitan di telinga yang berulang-ulang boleh menyebabkan pertumbuhan kulit bukan kanser berkembang di tengah telinga.
Selain itu, terdapat juga faktor lain yang turut boleh menyebabkan vertigo.
- Migrain
- Strok
- Ubat-ubat tertentu
- Aritmia
- Diabetes
- Kecederaan kepala
- Kayap berdekatan dengan telinga
- Pembedahan telinga
- Tekanan darah rendah
- Kelemahan otot
- Sifilis
- Penyakit otak
- Rehat atas katil yang berpanjangan
Makanan yang Baik Untuk Vertigo
Makanan yang baik untuk vertigo adalah makanan yang rendah dengan kolesterol, lemak, gula dan garam.
Satu kajian yang melibatkan 487 individu berumur melaporkan bahawa adalah penting untuk mengurangkan pengambilan lemak dan karbohidrat serta meningkatkan pengambilan serat bagi menstabilkan trigliserida (lemak dalam darah). Maka, dengan itu ia meminimumkan kesan berbahaya di telinga dalam. [1]
Terdapat juga kajian semula yang melaporkan bahawa terdapat perkaitan antara paras lemak yang tinggi dalam darah (hiperlipidemia) dengan vertigo. [2]
Berikut adalah senarai pilihan makanan yang baik untuk vertigo:
Sayur-sayuran dan Buah-buahan
- Semua jenis sayur-sayuran
- Semua jenis buah-buahan segar
Telur, Ikan dan Daging
- Putih telur
- Ikan
- Daging ayam tanpa kulit
- Kerang-kerangan
- Daging merah pejal
Elakkan sumber protein yang tinggi dengan kandungan lemak dan daging diproses kerana tinggi dengan kandungan garam nitrat.
Kawal pengambilan daging merah, ikan bilis, udang karang, udang halus atau organ haiwan (seperti hati, jantung atau lidah) bagi mengelakkan peningkatan paras asid urik dalam badan.
Kajian mendapati peningkatan paras asid urik dalam badan mempunyai kaitan dengan peningkatan risiko benign paroxysmal positional vertigo (BPPV) yang menyebabkan vertigo. [3]
Ikan berlemak yang tinggi dengan kandungan asid lemak Omega-3 juga didapati berpotensi untuk merawat penyakit Meniere iaitu penyakit yang boleh mencetuskan vertigo. [4]
Makanan Rendah Garam
Hadkan pengambilan garam kepada kurang daripada 2,000 miligram sehari.
Hadkan juga pengambilan garam tambahan sekiranya anda telah memakan makanan yang tinggi kandungan natrium (sodium) seperti sos, jeruk atau MSG (monosodium glutamate).
Ginkgo Biloba
Ginkgo biloba telah dikaji akan kesannya terhadap vertigo dan didapati berkesan sebagai ubat preskripsi terkemuka untuk merawat vertigo.
Satu kajian klinikal yang melibatkan 160 orang pesakit mendapati ekstrak Ginkgo biloba berkesan untuk merawat vertigo.[5]
Air Kosong
Minum air yang banyak iaitu sebanyak 35 ml bagi setiap kilogram berat badan dalam sehari.
Vitamin D dan Kalsium
Pengambilan suplemen (makanan tambahan) vitamin D dan kalsium bagi mereka yang mempunyai paras vitamin D dalam darah yang rendah dan sering mengalami serangan BPPV boleh membantu.
Makanan Bebas Gluten
Gluten ialah protein yang boleh dijumpai dalam bijian seperti gandum, barli atau rai. Antara makanan yang bebas gluten adalah:
- Buah-buahan dan sayur-sayuran
- Tepung beras, tepung jagung, atau tepung ubi kentang
- Quinoa
- Ubi kayu
- Nasi (beras)
Kajian mendapati alahan gandum adalah alahan yang paling kerap dialami oleh penghidap penyakit Meniere. Pesakit yang menggunakan imunoterapi dan mengamalkan diet bebas gluten didapati berjaya mengurangkan serangan vertigo serta simptom-simptom seperti pening dan telinga berdengung (tinitus).[6]
Makanan yang Perlu Dielakkan untuk Vertigo
Terdapat juga beberapa jenis makanan atau minuman yang boleh mencetuskan vertigo. Antaranya adalah:
- Makanan yang tinggi dengan kandungan garam atau makanan masin seperti ikan masin, ikan kering atau MSG
- Minuman berkafein seperti kopi, teh dan minuman berkarbonat
- Coklat
- Alkohol (arak)
- Makanan yang diproses ultra
Rumusan
Secara ringkasnya, mereka yang menghidap vertigo atau penyakit-penyakit yang berkaitan dengan vertigo perlu mengamalkan pemakanan yang rendah dengan kolesterol, lemak, garam dan gula.
Kajian-kajian menyokong bahawa pemakanan yang rendah garam, tinggi pengambilan air kosong, bebas gluten, tinggi serat dan Ginkgo biloba boleh membantu mengurangkan serangan vertigo.
Terdapat juga beberapa jenis makanan dan minuman yang harus dielakkan oleh pesakit vertigo kerana makanan ini boleh mencetuskan serangan vertigo.
Rujukan
- Schultz, A. R. et al. (2015). Is There a Possible Association between Dietary Habits and Benign Paroxysmal Positional Vertigo in the Elderly? The Importance of Diet and Counseling. International archives of otorhinolaryngology.
- Rybak L. P. (1995). Metabolic disorders of the vestibular system. Otolaryngology–head and neck surgery.
- Yang, X. et al. (2019). Association Between Serum Uric Acid Levels and Benign Paroxysmal Positional Vertigo: A Systematic Review and Meta-Analysis of Observational Studies. Frontiers in neurology.
- Borghi, C., & Pirodda, A. (2012). Omega-3 fatty acids: a promising possible treatment for Meniere’s disease and other inner ear disorders of unknown origin?. Medical hypotheses.
- Sokolova, L. et al. (2014). Treatment of Vertigo: A Randomized, Double-Blind Trial Comparing Efficacy and Safety of Ginkgo biloba Extract EGb 761 and Betahistine. International journal of otolaryngology.
- Oğuz, E. et al. (2021). The relationship between nutrition and Ménière’s disease. Auris, nasus, larynx.
- De Luca, P. et al. (2020). Dietary Restriction for The Treatment of Meniere’s Disease. Translational medicine.
- Jeong, S. H. et al. (2020). Prevention of benign paroxysmal positional vertigo with vitamin D supplementation: A randomized trial. Neurology.
- Stanton M, Freeman AM. [Updated 2021 Apr 28]. Vertigo.In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing.