Usus luka atau luka pada pelapik perut dikenali sebagai penyakit ulser peptik. Makanan bukanlah penyebab kepada luka tersebut. Namun, terdapat makanan yang baik untuk usus luka yang boleh membantu dalam pemulihan penyakit ini.
Terdapat dua punca utama yang boleh menyebabkan luka pada pelapik perut dan bahagian pertama usus kecil iaitu:
- Jangkitan bakteria Helicobacter pylori (H.pylori)
- Ubat melegakan kesakitan atau ubat antiradang bukan steroid (NSAID)
Bakteria H.pylori adalah bakteria yang sering menjangkiti perut. Kira-kira 50% populasi di dunia dijangkiti oleh bakteria ini tanpa sebarang simptom atau gejala.

Bakteria ini akan melekat pada lapisan mukosa dalam saluran pencernaan dan menyebabkan keradangan. Kesannya, lapisan pelapik tersebut akan terjejas.
Lapisan mukosa atau pelapik ini sebenarnya bertujuan untuk melindungi tisu-tisu perut daripada asid perut yang kuat yang digunakan untuk mencernakan makanan. Tanpa lapisan mukosa ini, asid perut akan merosakkan tisu-tisu perut.
Walau bagaimanapun, dianggarkan kira-kira 10-15% sahaja mereka yang dijangkiti bakteria H.pylori ini membentuk ulser peptik atau usus.
Selain itu, ubat pelega kesakitan atau ubat tahan sakit juga antara penyebab utama kepada usus luka atau ulser peptik. Ubat-ubat antiradang bukan steroid (NSAID) ini boleh menjejaskan lapisan mukosa di dalam saluran pencernaan.
Antara ubat pelegakan kesakitan tersebut adalah:
- Aspirin
- Ibuprofen
- Naproxen
- Paracetamol
- NSAID yang dipreskripsi
Golongan yang sering mengambil ubat pelega kesakitan dan dijangkiti bakteria H.pylori adalah golongan paling berisiko untuk mengalami usus luka dan luka yang dialami mungkin teruk.
Makanan yang Baik dan Boleh Dimakan
Penjagaan makanan bagi mereka yang mengalami usus luka boleh membantu mempercepatkan penyembuhan.
Selain mengambil ubat antibiotik dan ubat penghalang asid, makanan-makanan berikut adalah baik untuk usus luka kerana boleh membantu mempercepatkan penyembuhan.
Antaranya adalah:
1. Sayur-sayuran
Utamakan sayur-sayuran berikut:
- Lobak putih
- Lobak merah
- Brokoli
- Kailan
- Bayam
- Cekur manis
- Tomato
- Kesum
- Keledek
Sayur-sayuran ini kaya dengan serat dan pelbagai vitamin yang boleh membantu mempercepatkan penyembuhan.
Sebagai contoh, satu kajian melaporkan bahawa rawatan menggunakan ubat penghalang asid dan vitamin A boleh mengecilkan saiz luka (ulser) perut. [1]
Sayur brokoli juga mengandungi sebatian yang dipanggil sulforaphane. Sulforaphane ini didapati boleh merencatkan pertumbuhan bakteria H.pylori. [2]
Tambahan itu juga, kandungan serat yang tinggi dalam sayur-sayuran ini boleh mengurangkan asid dalam perut dan mengurangkan kembung perut. Selain itu, serat juga boleh membantu mengurangkan kesan sampingan ubat antibiotik.
2. Buah-buahan
Buah-buahan terutamanya yang tinggi dengan serat dan vitamin C juga boleh membantu dalam penyembuhan usus luka. Antaranya adalah:
- Epal
- Pir
- Strawberi
- Beri biru
- Beri hitam
- Raspberi
- Kranberi
- Jambu batu
Vitamin C juga memainkan peranan penting dalam penyembuhan luka. Terdapat laporan kajian yang menyatakan bahawa kekurangan vitamin C boleh meningkatkan risiko kepada perdarahan usus luka atau ulser peptik. [3]
Terdapat juga kajian yang mendedahkan bahawa buah beri seperti strawberi, kranberi, beri biru dan raspberi boleh merencatkan pertumbuhan bakteria H.pylori. [4]
3. Probiotik
Makanan yang mengandungi probiotik seperti yogurt, kimci, kombucha, tempe, atau tempoyak juga adalah baik untuk usus luka.
Makanan ini mengandungi bakteria baik yang dipanggil probiotik. Probiotik ini boleh membantu melawan bakteria jahat seperti bakteria H.pylori yang menyebabkan usus luka atau ulser peptik.
Terdapat kajian-kajian klinikal yang mendapati probiotik boleh membasmi bakteria H.pylori dan meningkatkan kadar kesembuhan. [5]
4. Madu
Memakan madu boleh mengurangkan risiko kepada jangkitan bakteria H.pylori. [6]
Kebaikan ini mungkin disumbang oleh ciri-ciri antibakteria madu tersebut.
5. Minyak Zaitun Dara
Pengambilan minyak zaitun dara (virgin olive oil) juga didapati boleh membasmi bakteria H.pylori. Walaupun minyak ini menunjukkan keberkesanan yang sederhana, namun pengambilan bersama-sama rawatan yang lain mungkin boleh membantu. [7]
Makanan yang Tidak Baik dan Perlu Dielakkan
Sesetengah orang yang mengalami usus luka atau ulser peptik turut mengalami refluks asid. Bagi sesetengah orang, makanan tertentu boleh menyebabkan bahagian bawah esofagus mereka mengendur.
Keadaan ini menyebabkan asid dalam perut dengan mudahnya masuk ke dalam esofagus dan menyebabkan pedih ulu hati, ketidakhadaman dan kesakitan.
Terdapat beberapa jenis makanan yang boleh menyebabkan refluks asid semakin teruk seperti:
1. Alkohol
Menghindari atau berhenti meminum arak adalah langkah terbaik untuk mengelakkan luka pada usus atau pelapik perut daripada bertambah teruk.
Satu kajian yang melibatkan 48,000 orang lelaki mendapati pengambilan alkohol boleh meningkatkan risiko kepada perdarahan usus. [8]
2. Makanan Pedas
Bagi sesetengah orang, makanan pedas boleh menyebabkan gejala ulser peptik atau usus luka menjadi semakin teruk. Oleh itu, menghindari makanan pedas adalah langkah terbaik.
3. Susu
Sebelum ini, mungkin ada yang mencadangkan susu untuk merawat usus luka atau ulser peptik. Namun sebenarnya, susu adalah tidak baik untuk mereka yang mengalami usus luka atau ulser peptik.
Hal ini demikian kerana susu boleh menggesa perut anda menghasilkan lebih banyak asid yang seterusnya akan memburukkan lagi sakit yang dialami. [9]
4. Coklat
Walaupun coklat mempunyai manfaat tertentu, namun ia mungkin tidak bermanfaat kepada pesakit usus luka atau ulser peptik.
Coklat boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada sesetengah orang yang menghidap usus luka. Oleh itu, berhenti memakan coklat buat sementara waktu boleh membantu.
5. Buah-buahan Sitrus dan Tomato
Buah-buahan sitrus (limau, oren, lemon) dan tomato adalah buah-buahan yang berasid. Ramai yang beranggapan bahawa buah-buahan ini boleh memburukkan lagi ulser atau luka yang berlaku.
Namun, tiada bukti yang kuat yang menunjukkan kesan buah-buahan ini terhadap ulser peptik.
Meskipun begitu, sekiranya makanan berasid menyebabkan luka anda bertambah teruk, mengelak daripadanya adalah pilihan terbaik.
6. Makanan Berlemak
Makanan berlemak mengambil masa yang lebih lama untuk dihadam. Keadaan ini boleh menyebabkan sakit perut atau kembung perut bagi sesetengah orang. Bagi anda yang menghidap usus luka, ia boleh menambah ketidakselesaan atau sakit yang dialami.
Sekiranya memakan makanan berlemak menyebabkan perut anda berasa sakit, berhenti memakan makanan berlemak buat sementara waktu boleh membantu.
Rumusan
Usus luka atau ulser perut biasanya disebabkan oleh dua punca utama iaitu jangkitan bakteria Helicobacter pylori dan ubat pelega kesakitan (ubat antiradang bukan steroid).
Walaupun pantang larang makanan bukanlah penyembuh kepada penyakit ini, namun ia boleh membantu mempercepatkan penyembuhan. Pesakit usus luka disarankan untuk memakan makanan yang baik untuk usus luka seperti sayur-sayuran, buah-buahan, probiotik dan lain-lain.
Elakkan juga makanan yang boleh memburukkan lagi luka yang dialami seperti alkohol, makanan pedas, susu, coklat dan lain-lain.
Rujukan
- Patty, I. et al. (1983). Cytoprotective effect of vitamin A and its clinical importance in the treatment of patients with chronic gastric ulcer. International journal of tissue reactions.
- Fahey, J. W. et al. (2002). Sulforaphane inhibits extracellular, intracellular, and antibiotic-resistant strains of Helicobacter pylori and prevents benzo[a]pyrene-induced stomach tumors. Proceedings of the National Academy of Sciences of the United States of America.
- Aditi, A., & Graham, D. Y. (2012). Vitamin C, gastritis, and gastric disease: a historical review and update. Digestive diseases and sciences.
- Chatterjee, A. et al. (2004). Inhibition of Helicobacter pylori in vitro by various berry extracts, with enhanced susceptibility to clarithromycin. Molecular and cellular biochemistry.
- Nair, M. R. et al. (2016). Fermented Foods: Are They Tasty Medicines for Helicobacter pylori Associated Peptic Ulcer and Gastric Cancer?. Frontiers in microbiology.
- Boyanova, L. et al. (2015). Honey and green/black tea consumption may reduce the risk of Helicobacter pylori infection. Diagnostic microbiology and infectious disease.
- Castro, M. et al. (2012). Assessment of Helicobacter pylori eradication by virgin olive oil. Helicobacter.
- Strate, L. L. et al. (2016). A Prospective Study of Alcohol Consumption and Smoking and the Risk of Major Gastrointestinal Bleeding in Men. PloS one.
- Ippoliti, A. F. et al. (1976). The effect of various forms of milk on gastric-acid secretion. Studies in patients with duodenal ulcer and normal subjects. Annals of internal medicine.