Pemakanan dan aktiviti fizikal adalah perkara yang penting sekiranya anda menghidap penyakit kencing manis atau diabetes. Memilih makanan yang baik untuk pesakit kencing manis boleh membantu anda mengawal paras gula darah atau paras glukosa darah supaya berada pada julat yang dikehendaki.
Selain pemakanan yang betul, aktiviti fizikal dan ubat kencing manis juga adalah komponen yang penting bagi memastikan anda dapat mengawal paras gula dalam darah.
Apa yang anda pilih untuk makan, berapa banyak yang anda makan dan masa anda makan semuanya penting dalam mengekalkan tahap gula darah dalam julat yang disyorkan oleh doktor anda.

Anda mungkin bimbang bahawa menghidap penyakit kencing manis bermakna anda tidak dapat makan makanan yang anda nikmati. Berita baiknya ialah anda masih boleh makan makanan kegemaran anda, tetapi anda mungkin perlu mengurangkan kuantiti atau mengurangkan kekerapan anda menikmati makanan tersebut.
Makanan yang seimbang dan sihat adalah kunci utama bagi diet diebetes. Berikut adalah makanan-makanan yang baik dan tidak baik untuk pesakit kencing manis:
Makanan yang Baik untuk Pesakit Kencing Manis
1. Sayur-sayuran Berdaun Hijau
Sayur-sayuran berdaun hijau adalah makanan yang kaya dengan vitamin dan mineral serta rendah dengan kalori.
Sayur-sayuran jenis ini juga mempunyai kesan yang minima terhadap gula darah kerana kandungan karbohidrat yang rendah.
Terdapat kajian yang menunjukkan peningkatan pengambilan sayur-sayuran berdaun hijau boleh mengurangkan risiko kepada penyakit kencing manis atau diabetes jenis 2 sebanyak 14%. [1]
Antara contoh sayur-sayuran berdaun hijau adalah:
- Bayam
- Kailan
- Kubis
- Bok choy
- Brokoli
2. Ikan Berlemak
Ikan berlemak adalah jenis ikan yang tinggi dengan kandungan asid lemak Omega-3 atau turut dikenali sebagai minyak ikan.
Asid lemak Omega-3 yang terdiri daripada EPA dan DHA ini mempunyai manfaat kepada kesihatan jantung kerana boleh mengurangkan keradangan, melindungi saluran darah dan menambah baik fungsi arteri.
Bagi pesakit kencing manis pula, memakan ikan berlemak yang mengandungi Omega-3 boleh membantu mengurangkan keradangan dan menambah baik profil lipid (lemak dan kolesterol). [2]
Antara contoh ikan berlemak adalah:
- Ikan kembung
- Ikan aya/tongkol
- Ikan bawal
- Ikan siakap
- Ikan sardin
- Ikan salmon
3. Bijian Penuh
Bijian penuh mengandungi kandungan serat yang lebih tinggi dan rendah dengan indeks glisemik berbanding bijian bertapis.
Ciri-ciri ini mendatangkan manfaat kepada pesakit kencing manis kerana kandungan serat yang tinggi boleh melambatkan proses penghadaman. Penyerapan nutrien yang perlahan membantu menstabilkan paras gula darah.
Indeks glisemik yang rendah pula menunjukkan makanan-makanan tersebut mempunyai impak yang minima terhadap gula darah.
Antara bijian penuh yang bagus untuk pesakit kencing manis adalah:
- Beras perang
- Roti bijian penuh atau mil penuh (wholemeal)
- Quinoa
- Rai
- Gandum kuda
4. Telur
Telur juga adalah makanan yang baik untuk pesakit kencing manis.
Ini dapat dibuktikan dalam kajian yang menunjukkan sarapan yang rendah karbohidrat, tinggi lemak seperti dengan telur boleh membantu penghidap kencing manis mengawal paras gula darah sepanjang hari tersebut. [3]
5. Legum dan Kacang
Legum dan kacang adalah makanan yang tinggi dengan vitamin dan mineral penting. Legum juga adalah makanan yang rendah dengan indeks glisemik.
Terdapat kajian yang melibatkan lebih 3300 peserta mendapati pengambilan legum dan lentil yang tinggi boleh mengurangkan risiko terhadap penyakit kencing manis atau diabetes jenis 2. [4]
Antara contoh legum atau kekacang adalah:
- Kacang kuda
- Kacang tanah
- Kacang hijau
- Kacang ginjal
- kacang hitam
- Kacang pea
6. Greek Yogurt
Greek yogurt juga adalah makanan yang baik untuk pesakit kencing manis.
Analisis yang dijalankan terhadap 14 kajian kohort yang melibatkan lebih 450,000 peserta melaporkan bahawa peningkatan pengambilan yogurt boleh mengurangkan risiko terhadap penyakit kencing manis (diabetes jenis 2). [5]
Selain itu, greek yogurt juga boleh menggalakkan pengurangan berat badan melalui pengurangan selera makan kerana sifatnya yang mengenyangkan.
7. Kekacang
Kekacang adalah makanan yang enak dan berkhasiat yang baik untuk pesakit kencing manis.
Kekacang seperti kacang badam, kacang hazel, kacang walnut dan kacang pistasio didapati boleh mengurangkan risiko penyakit jantung dan kematian dalam kalangan penghidap penyakit kencing manis (diabetes jenis 2). [6]
8. Daun Pegaga
Daun pegaga adalah tumbuhan herba yang boleh dijadikan ulam atau jus. Daun pegaga juga mempunyai khasiat kepada penghidap kencing manis.
Kajian makmal yang diterbitkan pada tahun 2014 mendapati daun pegaga mempunyai ciri-ciri antidiabetes melalui perencatan enzim-enzim berkaitan dengan pencernaan karbohidrat kepada gula ringkas atau glukosa. [7]
Terdapat juga kajian yang mendapati gabungan pemakanan daun pegaga dan penggunaan daun pegaga secara sapuan boleh menambah baik masalah kulit kering bagi pesakit kencing manis. [8]
9. Halba
Seterusnya, halba juga adalah herba yang bermanfaat kepada pesakit kencing manis.
Kajian yang dijalankan terhadap 25 orang pesakit diabetes jenis 2 melaporkan bahawa pengambilan ekstrak halba boleh menurunkan paras gula dalam darah dan pengurangan terhadap rintangan insulin.
Selain itu, halba juga turut membantu meningkatkan paras kolesterol HDL (kolesterol baik) dan menurunkan paras lemak (trigliserida). [9]
10. Peria Katak
Peria katak adalah buah pahit yang turut bermanfaat buat penghidap kencing manis.
Satu kajian semula yang diterbitkan pada tahun 2014 melaporkan bahawa peria katak boleh meningkatkan perembesan insulin daripada kelenjar pankreas, mengurangkan penyerapan glukosa (gula) dalam usus dan meningkatkan penggunaan glukosa oleh tisu-tisu badan. [10]
Ciri-ciri antidiabetes ini sangat bermanfaat kepada pesakit kencing manis.
11. Minyak Zaitun Dara
Makanan yang seimbang masih memerlukan lemak. Pesakit kencing manis boleh mendapatkan lemak sihat daripada minyak zaitun dara (virgin olive oil atau extra-virgin olive oil).
Minyak zaitun dara tinggi dengan lemak monotaktepu yang baik untuk kesihatan jantung dan penyakit kencing manis.
Terdapat kajian yang melaporkan diet Mediterranean yang ditambah dengan minyak zaitun dara (extra-virgin olive oil) dan kacang pistasio boleh mengurangkan insidens diabetes gestasi dalam kalangan wanita. [11]
Diabetes gestasi ialah sejenis penyakit diabetes yang dihidapi oleh wanita semasa mengandung.
12. Buah Beri
Buah beri seperti strawberi, beri biru, beri hitam dan raspberi adalah kumpulan buah beri yang rendah dengan kalori dan kaya dengan pelbagai nutrien serta antioksidan.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa pengambilan polifenol (antioksidan) yang terkandung dalam strawberi dan kranberi boleh meningkatkan kepekaan insulin dalam kalangan orang dewasa yang terlebih berat dan obesiti. [12]
Ini menunjukkan buah ini baik untuk penyakit kencing manis kerana kepekaan insulin yang rendah boleh menyebabkan paras gula darah menjadi tinggi.
13. Cuka Epal
Cuka epal juga bermanfaat untuk kepada pesakit kencing manis.
Satu analisis terhadap 6 kajian melaporkan bahawa pengambilan cuka termasuklah cuka epal boleh membantu menurunkan paras gula darah puasa dan purata gula darah (HbA1c) dalam kalangan pesakit kencing manis (diabetes jenis 2). [13]
Ketahui cara minum cuka epal dengan kuantiti yang betul.
14. Daging Pejal
Pesakit kencing manis masih boleh memakan daging merah atau daging putih seperti daging lembu, daging kambing, daging ayam dan daging itik.
Walau bagaimanapun, anda disarankan untuk memilih daging pejal berbanding daging yang mengandungi lemak. Manakala, bagi daging ayam dan itik, anda disarankan untuk memilih daging tanpa kulit.
Makanan yang Perlu Dielakkan Oleh Pesakit Kencing Manis
Selain itu, terdapat juga makanan-makanan yang harus dihadkan atau dielakkan oleh pesakit kencing manis. Makanan-makanan ini boleh meningkatkan paras gula darah dan memberikan impak negatif terhadap kesihatan.
Berikut adalah makanan yang harus dihadkan atau dielakkan oleh pesakit kencing manis:
1. Makanan Bergoreng
Makanan bergoreng adalah tinggi dengan lemak tepu, lemak trans dan kalori. Makanan seperti ini boleh menyumbang kepada kenaikan berat badan dan risiko kepada penyakit kardiovaskular.
Pilihlah makanan yang dimasak dengan cara yang lebih sihat seperti kukus, gril atau rebus.
2. Makanan Masin
Makanan yang tinggi dengan garam boleh meningkatkan tekanan darah dan risiko kepada penyakit hipertensi (tekanan darah tinggi).
3. Makanan dan Minuman Bergula
Makanan dan minuman yang tinggi dengan gula juga harus dielakkan oleh pesakit kencing manis.
Contohnya seperti:
- Minuman tenaga
- Minuman sukan
- Air berkarbonat
- Jus buah
- Kopi atau teh yang bergula
- Ais krim
- Kek
- Gula-gula
4. Alkohol
Penghidap kencing manis harus mengelakkan atau mengehadkan pengambilan alkohol. Hal ini demikian kerana alkohol boleh meningkatkan risiko paras gula darah terlalu rendah, terutamanya jika diminum ketika perut kosong.
5. Daging diproses
Daging proses seperti sosej, nuget atau daging burger adalah makanan yang tinggi dengan garam dan bahan pengawet. Makanan seperti ini harus dihadkan atau dielakkan oleh pesakit kencing manis.
6. Bijian bertapis
Bijian bertapis seperti nasi putih, roti putih atau pasta adalah makanan yang tinggi dengan karbohidrat dan rendah dengan serat.
Makanan seperti ini boleh menyebabkan peningkatan mendadak paras gula darah dan menyebabkan individu yang memakannya mudah untuk berasa lapar. Akibatnya, seseorang itu terdedah untuk makan secara berlebihan seterusnya membawa kepada obesiti.
Rumusan
Memilih makanan yang baik adalah penting bagi pesakit kencing manis. Secara umumnya, kumpulan makanan yang boleh dimakan bagi pesakit kencing manis adalah kumpulan makanan yang turut mendatangkan manfaat untuk kesihatan badan secara keseluruhannya.
Rujukan
- Carter, P. et al. (2010). Fruit and vegetable intake and incidence of type 2 diabetes mellitus: systematic review and meta-analysis. BMJ.
- Khalili, L. et al. (2021). Effect of n-3 (Omega-3) Polyunsaturated Fatty Acid Supplementation on Metabolic and Inflammatory Biomarkers and Body Weight in Patients with Type 2 Diabetes Mellitus: A Systematic Review and Meta-Analysis of RCTs. Metabolites.
- Chang, C. R. et al. (2019). Restricting carbohydrates at breakfast is sufficient to reduce 24-hour exposure to postprandial hyperglycemia and improve glycemic variability. The American journal of clinical nutrition.
- Becerra-Tomás, N. et al. (2018). Legume consumption is inversely associated with type 2 diabetes incidence in adults: A prospective assessment from the PREDIMED study. Clinical nutrition.
- Chen, M. et al. (2014). Dairy consumption and risk of type 2 diabetes: 3 cohorts of US adults and an updated meta-analysis. BMC medicine.
- Liu, G. et al. (2019). Nut Consumption in Relation to Cardiovascular Disease Incidence and Mortality Among Patients With Diabetes Mellitus. Circulation research.
- Supkamonseni, N. et al. (2014). Hypolipidemic and hypoglycemic effects of Centella asiatica (L.) extract in vitro and in vivo. Indian journal of experimental biology.
- Legiawati, L. et al. (2020). Oral and Topical Centella asiatica in Type 2 Diabetes Mellitus Patients with Dry Skin: A Three-Arm Prospective Randomized Double-Blind Controlled Trial. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Gupta, A. et al. (2001). Effect of Trigonella foenum-graecum (fenugreek) seeds on glycaemic control and insulin resistance in type 2 diabetes mellitus: a double blind placebo controlled study. The Journal of the Association of Physicians of India.
- Habicht, S. D. et al. (2014). Momordica charantia and type 2 diabetes: from in vitro to human studies. Current diabetes reviews.
- Assaf-Balut, C. et al. (2017). A Mediterranean diet with additional extra virgin olive oil and pistachios reduces the incidence of gestational diabetes mellitus (GDM): A randomized controlled trial: The St. Carlos GDM prevention study. PloS one.
- Paquette, M. et al. (2017). Strawberry and cranberry polyphenols improve insulin sensitivity in insulin-resistant, non-diabetic adults: a parallel, double-blind, controlled and randomised clinical trial. The British journal of nutrition.
- Cheng, L. J. et al. (2020). A systematic review and meta-analysis: Vinegar consumption on glycaemic control in adults with type 2 diabetes mellitus. Journal of advanced nursing.