GERD atau nama panjangnya gastroesophageal reflux disease adalah penyakit yang melibatkan asid dalam perut secara kerap mengalir kembali ke dalam saluran yang menghubungkan mulut dan perut iaitu esofagus.
Pengaliran kembali asid (refluks asid) ini boleh merengsakan lapisan pada saluran esofagus.
GERD ini disebabkan oleh refluks asid yang kerap. Mereka yang mengalami refluks asid yang kerap iaitu melebihi 2 kali seminggu mungkin akan didiagnosa sebagai menghidap GERD.
Terdapat beberapa faktor yang boleh memburukkan lagi refluks asid ini. Contohnya seperti:
- Merokok
- Makan satu hidangan besar
- Makan lewat pada waktu malam
- Makan makanan tertentu yang boleh mencetuskan refluks asid ini
- Minum minuman beralkohol atau kopi
- Mengambil ubat tertentu seperti aspirin
Makanan adalah salah satu penyumbang kepada penyakit ini. Oleh itu, pemilihan makanan yang betul untuk pesakit GERD dalam diet harian mereka adalah penting agar tidak mencetuskan refluks asid ini.
Makanan yang Boleh Membantu Mengurangkan Simptom GERD
Simptom-simptom GERD boleh terhasil kesan daripada asid perut yang menyentuh saluran esofagus yang menyebabkan kesakitan dan iritasi. Terdapat makanan tertentu yang boleh membantu pesakit GERD menguruskan simptom-simptom refluks asid ini.
Walaupun tidak dapat menyembuhkan, tetapi makanan-makanan ini adalah baik untuk pesakit GERD bagi mengurangkan atau meredakan simptom-simptom yang berkaitan dengan refluks asid ini.
1. Halia
Halia sememangnya terkenal dalam kalangan masyarakat dalam melegakan masalah berkaitan perut dan usus. Sifat antiradangnya boleh dimanfaatkan untuk melegakan pedih hulu hati atau refluks asid.
Air halia atau teh halia boleh membantu meredakan simptom-simptom GERD ini.
2. Sayur-sayuran
Sayur-sayuran boleh membantu mengurangkan asid perut. Sayur-sayuran seperti brokoli, asparagus, kubis bunga, bayam atau timun batang adalah bagus untuk melegakan simptom-simptom GERD.
3. Teh Chamomile
Chamomile adalah tumbuhan herba yang seakan-akan bunga daisy. Tumbuhan herba ini mempunyai banyak khasiatnya dalam perubatan dan salah satu daripadanya adalah merawat masalah berkaitan gastrousus.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa penyediaan herba yang mengandungi ekstrak bunga chamomile berserta beberapa herba lain boleh membantu mengurangkan keasidan dalam perut.
Teh chamomile ini boleh didapati di kebanyakan pasar raya.
4. Akar manis
Aakr manis juga turut digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat keradangan dalam perut.
Terdapat kajian yang dijalankan terhadap 50 individu yang mengalami masalah penghadaman (dispepsia) mendapati pengambilan ekstrak akar manis boleh mengurangkan simptom-simptom berkaitan masalah penghadaman ini.
Refluks asid boleh menyebabkan masalah penghadaman. Oleh itu, pengambilan akar manis mungkin boleh membantu mengurangkan simptom-simptom berkaitan refluks asid ini.
Dapatkan nasihat doktor sebelum anda mengambil suplemen mengandungi akar manis bagi mengelakkan kesan sampingan atau tindak balas dengan ubat-ubatan lain.
5. Daging pejal dan makanan laut
Daging pejal daripada ayam, itik atau ayam belanda serta makanan laut boleh mengurangkan simptom-simptom GERD kerana rendah dengan kandungan lemak.
6. Lemak sihat
Pesakit GERD juga boleh beralih kepada lemak sihat seperti minyak zaitun, minyak bijan atau avokado dalam memenuhi keperluan lemak.
Hadkan pengambilan makanan yang mengandungi lemak tepu dan lemak trans bagi mencegah dan mengurangkan simptom-simptom berkaitan refluks asid.
Makanan yang Boleh Mencegah Refluks Asid
Terdapat beberapa kategori makanan yang boleh membantu mencegah daripada berlakunya refluks asid.
Sebagai pesakit GERD, anda harus membiasakan diri dengan makanan ini atau memastikan makanan-makanan ini sentiasa tersenarai dalam senarai beli-belah anda.
1. Makanan Tinggi Serat
Makanan yang berserat atau tinggi serat boleh membuatkan anda mudah kenyang dan boleh mencegah anda daripada terlebih makan. Terlebih makan atau makan terlalu banyak pada satu-satu masa boleh membawa kepada refluks asid.
Terdapat banyak pilihan makanan yang tinggi dengan serat. Contohnya seperti:
- Oatmil
- Beras perang
- Quinoa
- Roti mil penuh
- Barli
- Ubi keledek
- Lobak merah
- Ubi bit
- Asparagus
- Brokoli
- Bayam
- Kubis
- Sawi
- Kangkung
- Kacang kuda
- Kacang buncis
- Kacang ginjal
- Biji labu
- Biji bunga matahari
2. Makanan Bersifat Alkali
Makanan yang mempunyai nilai pH yang tinggi adalah bersifat alkali. Makanan seperti ini boleh membantu mengurangkan kekuatan asid dalam perut.
Antara makanan yang bersifat alkali adalah:
- Tembikai
- Pisang
- Kubis bunga
- Tauhu
- Kacang soya
- Saderi
- Buah kiwi
- Terung
- Nanas
- Kacang hazel
- Buah ceri
- Strawberi
- Epal
3. Makanan Berair
Makanan berair adalah makanan yang tinggi dengan kandungan air. Makanan jenis ini boleh membantu melemahkan asid dalam perut.
Antara makanan yang tinggi dengan kandungan air adalah:
- Tembikai
- Timun batang
- Saderi
- Buah pir
- Buah nanas
- Tembikai susu
- Buah rock melon
- Timun jepun
- Strawberi
- Buah pic
- Sup atau air rebusan
Makanan yang Boleh Mencetuskan Refluks Asid
Makanan juga boleh menjadi pencetus kepada refluks asid. Makanan jenis ini menyebabkan sfinkter esofagus mengendur dan melambatkan proses penghadaman. Keadaan ini menyebabkan makanan berada dalam perut lebih lama.
Antara makanan yang boleh mencetuskan refluks asid ini adalah:
- Makanan segera
- Makanan bergoreng
- Piza
- Snek seperti kerepek kentang
- Serbuk cili, lada hitam, lada putih atau cayenne
- Daging berlemak
- Keju
- Mentega
- Kentang goreng
- Aiskrim
- Sos tomato
- Coklat
- Buah-buahan sitrus seperti oren, limau dan lemon
- Pudina termasuklah gula-gula getah berpudina
Minuman berkarbonat, berkafein atau alkohol juga harus dielakkan kerana boleh mencetuskan simptom-simptom GERD.
Rumusan
GERD adalah penyakit refluks asid yang kronik dan teruk. Bagi membantu menguruskan simptom-simptom berkaitan GERD, pesakit GERD harus memastikan mereka memilih makanan yang betul dalam diet harian mereka.
Makanan berlemak, bergoreng, masin dan berempah adalah makanan-makanan yang boleh mencetuskan refluks asid dan harus dielakkan oleh pesakit GERD.
Makanan yang tinggi dengan serat, makanan yang beralkali dan makanan yang tinggi dengan kandungan air adalah makanan yang sesuai untuk pesakit GERD. Justeru itu, pesakit GERD harus beralih kepada makanan-makanan jenis ini.
Rujukan
- Ekta Gupta. (n.d). GERD Diet: Foods That Help with Acid Reflux. John Hopkins Medicine.
- Robin Madell. (2020). 7 Foods to Help Your Acid Reflux. Healthline.