Gastrik atau gastritis ialah penyakit radang perut yang menyebabkan bahagian dalam perut menjadi merah, bengkak dan sakit. Makanan memainkan peranan penting kepada pesakit gastrik. Terdapat makanan untuk pesakit gastrik yang boleh dimakan dan ada juga yang harus dielakkan.
Penyakit gastrik ini boleh berlaku secara akut atau kronik. Gastrik akut berlaku secara tiba-tiba dan teruk. Manakala gastrik kronik pula berlaku secara berpanjangan.
Pesakit gastrik lazimnya akan mengalami simptom-simptom yang berbeza-beza mengikut jenis gastrik yang dialami. Simptom-simptom yang boleh berlaku adalah:
- ketidakhadaman
- sakit perut
- loya
- muntah-muntah
- rasa kenyang
Bagi kebanyakan orang, gastrik ini hanya berlaku secara ringan dan akan hilang selepas rawatan. Tetapi, ada juga yang mengalami gastrik yang boleh membawa kepada risiko kanser.
Justeru itu, pengambilan makanan yang betul memainkan peranan penting bagi pesakit gastrik bagi mencegah atau mengurangkan simptom-simptom gastrik.
Makanan untuk Pesakit Gastrik yang Boleh Dimakan
Sesetengah makanan boleh membantu pesakit gastrik untuk mengawal atau mengurangkan simptom-simptom gastrik.
Penyebab utama yang biasanya menyebabkan penyakit gastrik di seluruh dunia adalah bakteria Helicobacter pylori (H. pylori). [1]
Walau bagaimanapun, terdapat juga punca-punca lain yang boleh menyebabkan penyakit ini. Contohnya seperti autoimun dan refluks asid.
Makanan-makanan berikut boleh membantu mengurangkan simptom atau mencegah penyakit gastrik.
1. Makanan tinggi serat
Makanan yang tinggi dengan serat mempunyai pelbagai kebaikan untuk badan termasuklah untuk sistem penghadaman.
Malah, mereka yang sentiasa mengamalkan pemakanan yang tinggi dengan serat boleh mengurangkan risiko kanser usus
Berikut adalah beberapa contoh makanan yang tinggi serat:
- Beras perang
- Roti mil penuh
- Oat
- Buah pir
- Buah epal
- Buah avokado
- Buah jambu batu
- Buah pisang
- Biji labu
- Biji chia
- Kacang badam
- Kacang tanah
- Brokoli
- Kurma
2. Makanan rendah lemak
Makanan yang tinggi dengan lemak boleh memburukkan lagi keradangan pada lapisan perut. Oleh itu, penghidap gastrik harus memilih makanan yang rendah lemak.
Contoh-contoh makanan rendah lemak adalah:
- Ikan laut
- Ikan sungai
- Daging merah pejal (tanpa lemak)
- Daging ayam (bahagian dada tanpa kulit)
- Sayur kubis
- Sayur bayam
- Sayur kangkung
- Sayur sawi
3. Makanan rendah asid
Makanan yang rendah asid atau bersifat alkali adalah pilihan makanan yang baik untuk pesakit gastrik bagi mengelakkan berlakunya refluks asid.
Contoh-contoh makanan rendah asid atau bersifat alkali adalah:
- Ubi kentang
- Kubis
- Brokoli
- Saderi
- Bunga kubis
- Timun batang
- Terung
- Epal
- Aprikot
- Rock melon
- Kelapa
- Kurma
- Tembikai
4. Makanan bersifat antiradang
Oleh kerana penyakit gastrik melibatkan keradangan, makan makanan yang bersifat antiradang boleh membantu mencegah penyakit ini.
Antara makanan yang mempunyai ciri-ciri antiradang adalah:
- Kunyit
- Halia
- Ginseng
- Lengkuas
- Halba
- Lada hitam
- Air kelapa
- Buah belimbing
- Durian belanda
5. Makanan yang mengandungi probiotik
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa probiotik boleh melindungi perut daripada bakteria H. pylori yang boleh menyebabkan penyakit gastrik ini. [2]
Beberapa makanan yang mengandungi probiotik adalah seperti berikut:
- Yogurt
- Tempeh
- Tempoyak
- Tapai
- Kimchi
- Teh kombucha
Makanan yang Perlu Dielakkan Oleh Pesakit Gastrik
Terdapat juga sesetengah makanan yang perlu dielakkan oleh pesakit gastrik bagi mengelakkan simptom-simptom yang berlaku menjadi semakin parah.
Antara makanan yang boleh menganggu perut dan menyebabkan penyakit gastrik ini menjadi lebih teruk adalah:
- Alkohol (arak)
- Makanan berasid
- Kopi
- Jus buah-buahan
- Makanan berlemak atau tinggi lemak
- Makanan bergoreng
- Minuman berkarbonat
- Makanan pedas
Sekiranya anda turut menyedari terdapat makanan tertentu yang menyebabkan simptom atau gejala semakin teruk, berhenti mengambil makanan ini boleh membantu.
Perubahan Gaya Hidup
Beberapa perubahan gaya hidup juga boleh membantu pesakit gastrik dalam mencegah dan menguruskan gastritis.
Amalkan langkah-langkah berikut:
- Makan sedikit tetapi kerap. Makan 5 atau 6 hidangan kecil dalam sehari lebih baik daripada 3 hidangan besar. Langkah ini boleh mengurangkan penghasilan asid perut.
- Kurangkan berat. Obesiti boleh meningkatkan risiko penyakit gastrik atau gastritis.
- Ambil suplemen. Suplemen seperti minyak ikan (Omega-3) dan probiotik boleh mengurangkan kesan negatif gastritis. Dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang suplemen.
Rumusan
Sebenarnya terdapat banyak pilihan makanan untuk pesakit gastrik yang boleh membantu mengurangkan masalah atau simptom-simptom penyakit ini.
Amalan pemakanan makanan yang tinggi serat, rendah lemak, rendah asid, mengandungi probiotik dan bersifat antiradang boleh membantu pesakit gastrik mencegah dan mengurangkan simptom yang berlaku.
Di samping itu juga, pesakit gastrik juga harus menjauhi makanan yang tinggi dengan lemak, bergoreng atau pedas. Bagi peminum arak, meninggalkan tabiat ini boleh membantu masalah gastrik yang dialami.
Rujukan
- Azer SA, Akhondi H. Gastritis. [Updated 2021 Apr 7]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK544250/
- Khoder, G. et al. (2016). Potential role of probiotics in the management of gastric ulcer. Experimental and therapeutic medicine.