Pandemik COVID-19 masih belum berakhir walaupun rata-rata rakyat Malaysia sudah mengambil vaksinasi. Masih ada jangkitan baru dan kaedah kuarantin dirumah diperkenalkan kepada pesakit COVID yang bergejala ringan. Satu aspek yang mungkin tidak ditekankan dengan serius adalah pemilihan makanan untuk pesakit COVID ini.
Pemilihan makanan juga penting untuk pesakit COVID bagi membolehkan badan mereka terus kuat untuk melawan jangkitan virus corona ini. Makanan berkhasiat boleh membantu menguatkan sistem imun badan untuk melawan virus berbahaya ini.
Setiap orang mungkin mengalami simptom-simptom yang berbeza-beza apabila dijangkiti dengan virus COVID-19, sama ada ringan atau teruk. Menurut CDC, pesakit COVID-19 mungkin menunjukkan simptom-simptom berikut:
- Demam
- Batuk
- Sesak nafas atau sukar bernafas
- Kelesuan
- Sakit-sakit badan atau otot
- Hilang deria bau dan rasa
- Sakit tekak
- Hidung tersumbat atau hidung berair
- Loya atau muntah
- Cirit-birit
- Sakit kepala

Matlamat panduan pemakanan ini adalah untuk membantu menguatkan sistem imun badan pesakit COVID atau sesiapa sahaja yang mengamalkannya dalam melawan jangkitan virus corona ini.
Terdapat juga pengkaji yang mencadangkan agar pengambilan makanan tambahan seperti vitamin (vitamin A, B, C dan D), mineral (zink, zat besi dan selenium) dan asid lemak Omega-3 sebagai pilihan rawatan dan terapi pencegahan terhadap jangkitan paru-paru. [1]
1. Minum Air yang Mencukupi
Air adalah penting untuk kehidupan manusia. Air dapat membantu membawa nutrien dan sebatian dalam darah, mengawal selia suhu badan, membantu menyingkirkan najis dan menjadi pelincir kepada sendi-sendi.
Meminum air yang mencukupi (8-10 gelas sehari) semasa kuarantin juga penting terutamanya ketika anda menghidap demam, cirit-birit atau muntah-muntah.
Elakkan daripada meminum arak atau alkohol semasa diserang COVID-19 kerana alkohol boleh melemahkan sistem imun. [2]
2. Makan Buah-buahan dan Sayur-sayuran
Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah makanan yang baik untuk mendapatkan vitamin dan mineral yang boleh menguatkan sistem imun atau sistem pertahanan badan bagi pesakit COVID.
Antara vitamin dan mineral yang boleh menguatkan sistem imun badan adalah vitamin C, vitamin E, vitamin A, vitamin D, vitamin B kompleks, zat besi, selenium dan zink.
Pesakit COVID-19 boleh memilih buah-buahan berikut untuk membantu menguatkan sistem pertahanan badan mereka:
- Jambu batu
- Oren
- Limau bali (Pomelo)
- Betik
- Strawberi
- Longan
- Durian belanda
- Mangga
- Buah naga
- Buah abiu
- Rock melon
- Tembikai
- Pisang
Selain itu, sayur-sayuran berikut turut kaya dengan vitamin dan mineral yang boleh menguatkan sistem pertahanan badan:
Tambahan daripada itu juga, buah-buahan dan sayur-sayuran adalah sumber yang baik untuk mendapatkan air, antioksidan dan serat. Komponen-komponen ini memainkan peranan penting dalam mengawal hipertensi, diabetes dan kenaikan berat badan yang merupakan faktor risiko kepada komplikasi COVID-19.
3. Makan Lemak yang Sihat
Tidak semua lemak adalah jahat atau tidak baik untuk kesihatan. Terdapat juga lemak yang baik untuk kesihatan seperti lemak monotaktepu dan politaktepu. Lemak sihat ini juga harus menjadi sebahagian daripada makanan untuk pesakit COVID.
Minyak ikan atau Omega-3 adalah sejenis asid lemak politaktepu yang boleh menyokong sistem imun badan manusia dengan mengaktifkan sel-sel imun. [3]
Asid lemak Omega-3 ini boleh didapati dalam makanan seperti:
- Makanan laut
- Ikan tenggiri
- Ikan tuna
- Ikan kembung
- Ikan sardin
- Ikan salmon
- Minyak alga
- Flaxseed
- Kacang walnut
Manakala, asid lemak Omega-9 yang merupakan asid lemak monotaktepu mempunyai ciri-ciri seperti antioksidan, antimikrob dan antivirus. [4]
Asid lemak Omega-9 ini boleh diperolehi daripada makanan seperti:
- Minyak zaitun
- Minyak bunga matahari
- Minyak kesumba (safflower)
- Minyak kacang gajus
- Minyak badam
Dos yang pengambilan Omega-3 yang disarankan kepada lelaki dan wanita dewasa adalah sebanyak 250 mg/hari.
Nilai ini bersamaan dengan pengambilan sebanyak dua bahagian (90 gram setiap bahagian) ikan berlemak dalam seminggu.
4. Suplemen atau Makanan Tambahan
Sesetengah orang mungkin tidak dapat memenuhi keperluan nutrisi mereka melalui pemakanan makanan yang segar. Oleh itu, makanan tambahan atau suplemen menjadi pilihan terakhir bagi memastikan keperluan terhadap nutrien tertentu boleh dipenuhi.
Vitamin D adalah antara vitamin yang tidak diperolehi secukupnya oleh majoriti daripada masyarakat kini. Vitamin D memainkan peranan penting dalam membantu menguatkan sistem imun manusia. Kekurangan vitamin ini boleh mendedahkan seseorang itu kepada jangkitan dan penyakit autoimun. [5]
Vitamin D boleh diperolehi secara semulajadi melalui pendedahan kulit badan kepada sinaran UV (sinaran matahari). Seseorang itu disyorkan untuk mendapatkan pendedahan cahaya matahari selama 15-30 minit sehari untuk menggalakkan penghasilan vitamin D.
Walau bagaimanapun, budaya kerja masa kini yang banyak di kawasan tertutup menjadi ramai daripada kita yang tidak mendapatkan vitamin D secukupnya.
Oleh itu, peningkatan pengambilan makanan yang kaya dengan vitamin D harus dilakukan termasuklah suplemen vitamin D.
Di samping itu, vitamin D juga boleh diperolehi daripada makanan berikut:
- Makanan diperkaya
- Ikan salmon
- Ikan sardin
- Kuning telur
- Cendawan
Makanan yang Perlu Dielakkan Oleh Pesakit COVID
Terdapat juga beberapa jenis makanan yang harus dielakkan atau dikurangkan oleh pesakit COVID bagi mengurangkan risiko kepada komplikasi COVID-19.
1. Elak atau Kurangkan Makanan yang Diproses
Pesakit COVID dinasihatkan untuk menggelak atau mengurangkan pengambilan makanan yang diproses seperti makanan segera, makanan sedia untuk dimakan, snek dan lain-lain lagi.
Makanan-makanan seperti selalunya tinggi dengan kandungan garam, gula dan lemak.
2. Kurangkan Garam dan Gula
Pesakit COVID juga disarankan untuk mengurangkan pengambilan garam dan gula sama ada dalam makanan atau minuman.
Rempah-ratus dan herba boleh digunakan untuk menambah rasa makanan yang dimasak.
Rumusan
Adalah penting untuk setiap daripada kita sentiasa menjaga kesihatan diri dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi membolehkan badan kita terus sihat dan kuat untuk melawan sebarang jangkitan.
Makanan yang segar yang terdiri daripada buah-buahan, sayur-sayuran, protein dan lemak sihat boleh membekalkan vitamin dan mineral tertentu yang boleh membantu menguatkan sistem imun badan. Sistem imun yang kuat boleh melawan sebarang jangkitan virus dan bakteria.
Rujukan
- Zhang, L., & Liu, Y. (2020). Potential interventions for novel coronavirus in China: A systematic review. Journal of medical virology.
- Sarkar, D. et al. (2015). Alcohol and the Immune System. Alcohol Research : Current Reviews.
- GutiƩrrez, S. et al. (2019). Effects of Omega-3 Fatty Acids on Immune Cells. International journal of molecular sciences.
- Gorzynik-Debicka, M. et al. (2018). Potential Health Benefits of Olive Oil and Plant Polyphenols. International journal of molecular sciences.
- Aranow C. (2011). Vitamin D and the immune system. Journal of investigative medicine.