Bagi mereka yang menghidap glaukoma mata, penjagaan makanan juga sebenarnya boleh membantu mengurangkan risiko dan mengawal penyakit ini. Terdapat sesetengah makanan yang baik untuk glukoma mata dan terdapat juga makanan yang perlu dihadkan.
Artikel ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai makanan yang baik dan tidak baik untuk glaukoma mata sebagai panduan umum kepada anda.
Apa itu Glaukoma Mata?
Glaukoma adalah sekumpulan penyakit mata yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan dan buta akibat kerosakkan saraf di bahagian belakang mata anda yang dipanggil saraf optik.
Glaukoma boleh berlaku kepada sesiapa sahaja walaupun ia lebih banyak berlaku kepada golongan tua. Pada mulanya, glaukoma biasanya tidak mempunyai sebarang gejala. Disebabkan itu, kira-kira separuh daripada penghidap glaukoma tidak tahu bahawa mereka menghidapnya.
Lama-kelamaan, pesakit akan perlahan-lahan kehilangan penglihatan, biasanya bermula dengan penglihatan sisi terutamanya bahagian penglihatan yang paling hampir dengan hidung.
Apabila penyakit ini menjadi lebih teruk, pesakit mungkin mula menyedari bahawa mereka tidak dapat melihat perkara di sebelah lagi. Tanpa rawatan, glaukoma akhirnya boleh menyebabkan buta.
Para saintis tidak pasti apa yang menyebabkan jenis glaukoma yang paling biasa berlaku, tetapi ramai penghidap glaukoma mempunyai tekanan mata yang tinggi dan rawatan yang menurunkan tekanan mata membantu melambatkan penyakit ini.
Bagaimana Makanan Boleh Membantu Glaukoma Mata?
Menurunkan tekanan mata adalah fokus utama dalam menguruskan glaukoma. Terdapat makanan-makanan tertentu atau aktiviti yang boleh menyebabkan tekanan mata.
Terdapat juga makanan-makanan tertentu yang boleh mengurangkan risiko kepada glaukoma dan membekalkan nutrien-nutrien yang baik untuk mata.
Oleh itu, sebagai tambahan daripada rawatan perubatan glaukoma, penjagaan makanan juga boleh membantu mengurangkan risiko dan mengawal penyakit ini daripada bertambah teruk.
Makanan yang Baik untuk Glaukoma Mata
Makanan-makanan yang disenaraikan ini adalah kumpulan makanan yang baik untuk glaukoma mata.
Anda boleh menyertakan makanan-makanan ini dalam diet harian anda.
1. Sayur-sayuran Berdaun Hijau
Sayur-sayuran berdaun hijau adalah sumber makanan yang baik untuk mendapatkan vitamin C, vitamin E dan vitamin A seperti lutein dan zeaxantin.
Lutein dan zeaxantin adalah nutrien yang penting kepada kesihatan mata. Malah terdapat kajian yang menunjukkan bahawa pengambilan lutein dan zeaxantin yang tinggi boleh mengurangkan risiko kepada penyakit glaukoma. [1]
Antara sayur-sayuran berdaun hijau yang baik untuk glaukoma adalah:
- Kailan
- Bayam
- Brokoli
- Salad Romaine (Romaine lettuce)
- Pasli (parsley)
Selain sayur-sayuran berdaun hijau, terdapat juga sayur-sayuran lain yang turut mengandungi lutein dan zeaxantin yang tinggi.
Antaranya adalah:
- Lobak merah
- Lada benggala hijau
- Lada hijau
- Lada merah
- Asparagus
- Daun bawang kucai (lik)
- Daun selasih
2. Buah-buahan
Seterusnya, buah-buahan juga adalah makanan yang baik untuk penghidap glaukoma mata. Buah-buahan ini kaya dengan pelbagai vitamin yang boleh mengurangkan risiko kepada glaukoma. Contohnya melalui pengurangan tekanan oksidatif dan melindungi saraf optik.
Sebagai contoh, terdapat analisis yang menunjukkan bahawa tekanan oksidatif memainkan peranan terhadap pembentukan penyakit glaukoma. [2]
Buah-buahan kaya dengan antioksidan seperti vitamin C, vitamin A dan vitamin E yang boleh mengurangkan tekanan oksidatif.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa mereka yang memakan buah-buahan dan sayur-sayuran yang banyak boleh mengurangkan risiko terhadap penyakit glaukoma. [3]
Antara buah-buahan yang baik untuk glaukoma adalah:
- Buah oren
- Buah avokado
- Buah jagung
- Buah tembikai susu
- Buah anggur
- Buah kiwi
- Buah tomato
- Buah labu kuning
3. Telur
Telur terutamanya kuning telur adalah makanan yang kaya dengan lutein dan zeaxantin. Tambahan itu juga, kandungan lemak dalam kuning telur boleh membantu meningkatkan penyerapan nutrien-nutrien ini.
4. Kekacang
Kekacang seperti kacang pea dan kacang pistasio adalah kacang yang tinggi dengan lutein dan zeaxantin. Selain itu, kacang-kacang ini turut mengandungi vitamin C dan vitamin E.
5. Saffron
Saffron adalah herba yang tinggi dengan antioksidan dan mempunyai pelbagai khasiat. Khasiat saffron didapati turut bermanfaat kepada penghidap glaukoma.
Kajian oleh pengkaji dari Iran mendapati pengambilan ekstrak saffron sebanyak 30 mg setiap hari selama sebulan sebagai rawatan sokongan berjaya mengurangkan tekanan mata dalam kalangan pesakit glaukoma sudut terbuka primer. [4]
6. Ikan Berlemak
Ikan berlemak adalah kumpulan ikan yang tinggi dengan kandungan asid lemak Omega-3 (Omega-3).
Pengambilan asid lemak Omega-3 atau turut dikenali sebagai minyak ikan ini dilaporkan boleh mengurangkan risiko terhadap glaukoma. [5]
Antara ikan yang tinggi dengan kandungan Omega-3 adalah:
- Ikan salmon
- Ikan tuna / ikan tongkol
- Ikan sardin
- Ikan kembung
- Ikan tenggiri
- Ikan bilis
- Ikan mackerel
7. Teh
Teh seperti teh hijau, teh hitam atau teh Oolong adalah antara variasi teh yang kaya dengan pelbagai khasiat. Teh mengandungi sebatian antioksidan utama yang dikenali sebagai flavonoid.
Flavonoid didapati boleh melindungi badan daripada tekanan oksidatif dan menambah baik aliran darah.
Kajian oleh pengkaji dari Universiti Brown, Amerika Syarikat mendapati mereka yang meminum sekurang-kurangnya secawan teh panas sehari adalah kurang berisiko untuk menghidap glaukoma berbanding mereka yang tidak meminum teh. [6]
8. Ginkgo biloba
Ekstrak Ginkgo biloba adalah herba yang banyak digunakan untuk merawat pelbagai masalah kesihatan termasuklah glaukoma.
Ekstrak Ginkgo biloba boleh membantu meningkatkan aliran darah mata, melindungi daripada tekanan oksidatif dan meningkatkan kelangsungan hidup sel-sel retina mata.
Kajian mendapati pengambilan ekstrak Ginkgo biloba boleh meningkatkan aliran darah retina dalam kalangan penghidap glaukoma tekanan normal. [7]
Sila dapatkan nasihat daripada doktor anda sebelum menggunakan herba ini bagi mengelakkan kesan sampingan atau tindak balas terhadap ubat yang anda sedang gunakan.
Elakkan atau Hadkan Makanan Ini
Sesetengah makanan atau minuman boleh memberikan kesan negatif terhadap penyakit glaukoma. Oleh itu, mengehadkan atau mengelakkan makanan berikut boleh membantu mengawal glaukoma yang dialami.
Antaranya adalah:
1. Kafein
Minuman yang tinggi dengan kafein seperti kopi dan minuman tenaga boleh menyebabkan peningkatan tekanan mata selama kira-kira 2 jam. [8]
Kafein dipercayai boleh meningkatkan pengeluaran cecair dalam mata. Peningkatan jangka pendek ini tidak menyebabkan sebarang masalah bagi kebanyakan orang, tetapi mereka yang mempunyai glaukoma teruk harus mempertimbangkan untuk mengurangkan pengambilan kafein.
2. Air (Terlalu Banyak)
Pada asasnya, meminum air (air kosong) adalah bagus dan menghidratkan. Walau bagaimanapun, bagi pesakit glaukoma, meminum air terlalu banyak pada jangka masa yang singkat adalah tidak digalakkan kerana ia boleh meningkatkan tekanan mata.
Sebaliknya, anda disarankan untuk meminum air pada isipadu yang lebih kecil tetapi secara kerap dalam suatu jangka masa yang panjang.
3. Garam
Pengambilan garam dalam makanan harian juga perlu dihadkan terutamanya kepada mereka yang telah menghidap penyakit tekanan darah tinggi atau hipertensi.
Kajian yang melibatkan 1076 peserta mendapati pengambilan garam yang kerap boleh meningkatkan risiko kepada penyakit glaukoma sudut terbuka. [9]
Gaya Hidup
Perubahan gaya hidup juga boleh membantu menambah baik penyakit glaukoma yang dialami. Terdapat beberapa aktiviti yang harus dielakkan bagi mengelakkan tekanan mata.
Antaranya adalah:
- Yoga: Posisi yoga yang meletakkan kepala dibawah boleh meningkatkan tekanan mata. Justeru itu,elakkan posisi tersebut.
- Gogal renang: Gogal yang digunakan untuk berenang boleh menyebabkan tekanan pada mata. Elakkan menggunakan gogal kecil yang boleh menekan masuk ke dalam soket mata.
- Alat muzik: Alat muzik seperti trompet, trombon atau begpaip boleh meningkatkan tekanan sekitar muka dan saluran udara. Ini boleh menyebabkan peningkatan tekanan mata.
- Tali leher: Memakai tali leher yang terlalu ketat juga boleh menyebabkan peningkatan tekanan di urat leher dan kepala. Keadaan ini juga boleh menyebabkan peningkatan tekanan mata.
Rumusan
Glaukoma adalah penyakit mata yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan dan buta akibat kerosakkan saraf optik.
Penyakit ini perlu dirawat bagi mengelakkan ia bertambah teruk. Selain daripada itu juga, terdapat sesetengah makanan yang baik untuk glaukoma mata.
Makanan-makanan ini pada asasnya mengandungi nutrien-nutrien yang boleh membantu mengurangkan risiko kepada penyakit ini dan membantu mengurangkan tekanan mata.
Anda boleh menjadikan makanan-makanan ini sebahagian daripada diet harian anda.
Rujukan
- Lem, D. W. et al. (2021). Carotenoids in the Management of Glaucoma: A Systematic Review of the Evidence. Nutrients.
- Benoist d’Azy, C. et al. (2016). Oxidative and Anti-Oxidative Stress Markers in Chronic Glaucoma: A Systematic Review and Meta-Analysis. PloS one.
- Coleman, A. L. et al. (2008). Glaucoma risk and the consumption of fruits and vegetables among older women in the study of osteoporotic fractures. American journal of ophthalmology.
- Jabbarpoor Bonyadi, M. H. et al. (2014). The ocular hypotensive effect of saffron extract in primary open angle glaucoma: a pilot study. BMC complementary and alternative medicine.
- Wang, Y. E. et al. (2018). Association of Dietary Fatty Acid Intake With Glaucoma in the United States. JAMA ophthalmology.
- Wu, C. M. et al. (2018). Frequency of a diagnosis of glaucoma in individuals who consume coffee, tea and/or soft drinks. The British journal of ophthalmology.
- Park, J. W. et al. (2011). Short-term effects of Ginkgo biloba extract on peripapillary retinal blood flow in normal tension glaucoma. Korean journal of ophthalmology.
- Avisar, R. et al. (2002). Effect of coffee consumption on intraocular pressure. The Annals of pharmacotherapy.
- Tseng, V. L. et al. (2022). Association Between Dietary Salt Intake and Open Angle Glaucoma in the Thessaloniki Eye Study. Journal of glaucoma.