Sesetengah makanan walaupun pada hakikatnya mempunyai banyak khasiat perlu dielakkan oleh penghidap IBS. Artikel ini menyenaraikan 13 jenis makanan yang tidak baik untuk IBS atau makanan pantang bagi pesakit IBS.
Apa itu IBS? IBS ialah ringkasan daripada Irritable Bowel Syndrome atau di dalam bahasa Melayunya adalah Sindrom Usus Iritabel. Sindrom ini menyebabkan gangguan pada usus besar yang menyebabkan gejala atau simptom-simptom seperti:
- Sakit perut
- Kembung perut
- Kekejangan perut
- Cirit-birit
- Sembelit
IBS ialah masalah yang kronik iaitu ia berlaku secara berpanjangan. Oleh itu, adalah penting untuk mereka yang mengalami IBS ini untuk mengawal gejala-gejala yang berlaku dengan menguruskan pemakanan, gaya hidup dan tekanan (stres).
Dari segi pemakanan, terdapat beberapa jenis makanan yang tidak baik dan perlu dielakkan oleh penghidap IBS kerana boleh mencetuskan gejala-gejala IBS.
Antara makanan-makanan tersebut adalah:
1. Serat Tak Larut
Kebanyakan makanan yang berasal dari tumbuhan biasanya mengandungi serat diet yang terdiri daripada serat larut dan serat tak larut.
Bagi orang normal, kedua-dua jenis serat ini baik untuk kesihatan sistem penghadaman mereka. Namun, bagi segelintir penghidap IBS, pengambilan serat tak larut tinggi mungkin boleh memburukkan lagi simptom-simptom IBS. [1]
Walau bagaimanapun, terdapat juga penghidap IBS tidak mempunyai masalah dengan serat tak larut. Ini menunjukkan, kesan serat tak larut ini bergantung kepada individu tertentu.
Antara makanan yang tinggi dengan serat tak larut adalah:
- Roti bijirin penuh
- Kekacang
- Kacang hijau
- Ubi kentang
- Ubi badak
- Kubis bunga
- Ubi keledek
2. Makanan Pedas
Penghidap IBS juga perlu mengehadkan pengambilan makanan yang pedas.
Terdapat banyak laporan daripada pesakit IBS yang melaporkan bahawa pemakanan makanan pedas boleh mencetuskan simptom-simptom seperti sakit perut dan refluks gastroesofagus. [1]
3. Susu
Susu atau sebarang produk tenusu yang mengandungi laktosa boleh menyebabkan kembung perut bagi penghidap IBS.
Selain itu, kandungan lemak yang tinggi dalam kebanyakan produk tenusu boleh menyebabkan cirit-birit (diarea). Beralih kepada produk tenusu yang rendah lemak mungkin boleh mengurangkan gejala-gejala yang berlaku.
Walaupun produk tenusu adalah punca yang menyebabkan ketidakselesaan bagi penghidap IBS, yogurt boleh dikecualikan. Hal ini demikian kerana kandungan kultur hidup dalam yogurt boleh membantu menguraikan laktosa dan mungkin tidak menyebabkan kembung perut.
Penghidap IBS boleh memilih produk alternatif kepada tenusu seperti susu badam, susu soya atau keju berasaskan soya.
4. Makanan Tinggi dengan Fruktosa
Makanan yang tinggi dengan fruktosa juga boleh mencetuskan gejala-gejala IBS seperti cirit-birit dan kembung perut. Ia berlaku akibat daripada gangguan penyerapan dalam usus. [2]
Sirap jagung berfruktosa tinggi adalah bahan utama yang digunakan untuk menghasilkan makanan diproses seperti gula-gula, snek, jus, minuman ringan dan sos.
Di samping itu,makanan sihat seperti buah epal, pir dan buah-buahan kering juga tinggi dengan fruktosa secara semula jadi. Makanan-makanan ini boleh mencetuskan kesan sampingan yang sama seperti laktosa yang tidak dihadam.
Penghidap IBS boleh beralih kepada buah yang rendah fruktosa seperti oren, limau, beri atau pisang.
5. Minuman Berkarbonat (Minuman Bergas)
Kandungan gas di dalam minuman berkarbonat boleh menyebabkan kesan berbuih (bergas) yang sama di dalam saluran usus. Keadaan ini akan mencetuskan ketidakselesaan di dalam perut atau kembung perut bagi penghidap IBS.
6. Makanan Bergluten
Makanan bergluten adalah makanan yang mengandungi tepung gandum, rai atau barli. Makanan jenis ini juga tidak baik untuk penghidap IBS.
Kajian selama 6 minggu oleh pengkaji dari Royal Hallamshire Hospital mendapati diet yang bebas gluten boleh mengurangkan simptom atau gejala IBS. [3]
Sebagai alternatif, penghidap IBS boleh memilih produk bebas gluten atau produk yang terdiri daripada:
- Quinoa
- Tepung badam
- Tepung kelapa
- Oat
- Betari (sorghum)
7. Makanan Bergoreng
Makanan bergoreng mungkin boleh menyebabkan masalah bagi sesetengah penghidap IBS.
Sekiranya dimakan terlalu banyak, kandungan lemak yang tinggi di dalam makanan ini mungkin boleh membebankan sistem penghadaman dan mencetuskan simptom-simptom IBS.
8. Kacang atau Legum
Kacang atau legum seperti kacang ginjal, kacang kuda, kacang pea atau kacang hitam adalah makanan berkhasiat yang boleh menyebabkan simptom-simptom IBS. Makanan ini mengandungi sebatian yang dipanggil oligosakarida yang rintang terhadap pencernaan oleh enzim-enzim dalam usus.
Walaupun kacang atau legum ini boleh membantu atau mengurangkan sembelit, tetapi ia juga boleh menyebabkan kembung dan kejang perut.
9. Minuman Berkafein
Minuman berkafein seperti kopi atau minuman bertenaga juga tidak baik untuk penghidap IBS.
Hal ini demikian kerana kafein mempunyai kesan merangsang pada usus yang boleh menyebabkan cirit-birit.
10. Pemanis Bebas Gula
Pemanis bebas gula seperti gula alkohol, stevia atau pemanis tiruan juga adalah kumpulan makanan yang tidak baik untuk IBS.
Kajian menunjukkan gula alkohol seperti sorbitol dan manitol adalah sukar untuk dihadam oleh badan terutamanya mereka yang menghidap IBS, ia boleh menyebabkan: [4]
- Kembung perut
- Ketidakselesaan dalam perut
- Kesan laksatif
11. Coklat
Coklat juga boleh mencetuskan gejala-gejala IBS kerana kandungan lemak dan gula yang tinggi. Lazimnya juga, coklat mengandungi laktosa dan kafein. Sesetengah orang mengalami sembelit selepas memakan coklat.
12. Alkohol
Alkohol atau minuman beralkohol adalah minuman yang boleh menyebabkan atau memburukkan lagi simptom-simptom IBS.
Ini disebabkan cara badan menghadam alkohol. Alkohol juga boleh menyebabkan dehidrasi yang boleh menjejaskan pencernaan.
13. Buah-buahan dan Sayur-sayuran Tinggi FODMAP
Buah-buahan dan sayur-sayuran tinggi FODMAP adalah makanan yang mengandungi karbohidrat yang sukar untuk dihadamkan. Karbohidrat ini dipanggil FODMAP (fermentable oligosaccharides, disaccharides, monosaccharaides, and polyols).
Usus kecil mengalami kesukaran untuk menyerap makanan-makanan yang mengandungi FODMAP. Akibatnya, ia boleh menyebabkan kembung perut dan sakit perut.
Antara buah-buahan yang tinggi FODMAP adalah:
- Epal
- Aprikot
- Pic
- Nektarin
- Plum
- Beri hitam
- Manga
- Pir
- Tembikai
Antara sayur-sayuran yang tinggi FODMAP pula adalah:
- Kubis
- Kubis bunga
- Bawang
- Asparagus
- Bawang putih
- Articok
Ramai doktor yang menyarankan agar mereka yang menghidap IBS mengikut diet rendah FODMAP.
Rumusan
IBS atau sindrom usus iritabel adalah gangguan kronik pada usus yang memerlukan penghidapnya menjaga pemakanan mereka.
Artikel ini menyenaraikan 13 jenis makanan yang tidak baik untuk penghidap IBS kerana boleh mencetuskan simptom-simptom atau gejala. Justeru itu, penghidap IBS harus berhati-hati dengan makanan-makanan tersebut.
Selain itu, harus diingat juga sistem penghadaman setiap individu adalah berbeza-beza dan tidak semua mempunyai tindak balas yang sama terhadap makanan pencetus IBS.
Rujukan
- Cozma-PetruĊ£, A. et al. (2017). Diet in irritable bowel syndrome: What to recommend, not what to forbid to patients!. World journal of gastroenterology.
- DiNicolantonio, J. J., & Lucan, S. C. (2015). Is fructose malabsorption a cause of irritable bowel syndrome?. Medical hypotheses.
- Aziz, I. et al. (2016). Efficacy of a Gluten-Free Diet in Subjects With Irritable Bowel Syndrome-Diarrhea Unaware of Their HLA-DQ2/8 Genotype. Clinical gastroenterology and hepatology.
- Lenhart, A., & Chey, W. D. (2017). A Systematic Review of the Effects of Polyols on Gastrointestinal Health and Irritable Bowel Syndrome. Advances in nutrition.