Sesetengah makanan tidak baik untuk pesakit asma atas sebab-sebab tertentu. Walaupun tiada diet yang khusus untuk penyakit asma, tetapi makanan tertentu boleh mencetus atau meningkatkan risiko kepada serangan asma.
Terdapat juga sesetengah makanan yang baik untuk pesakit asma. Makanan-makanan tersebut mengandungi antioksidan, vitamin dan mineral yang boleh membantu meneutralkan radikal bebas dalam badan. Melalui cara ini, makanan tersebut boleh mengurangkan keradangan dan menguatkan sistem imun.
Artikel ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai makanan-makanan yang tidak baik untuk asma serta makanan-makanan yang baik untuk asma. Sekiranya anda atau anak anda menghidap asma, artikel ini boleh dijadikan panduan untuk anda memilih makanan yang sesuai.
Makanan yang Tidak Baik untuk Penghidap Asma
Sesetengah orang mungkin tertanya-tanya apakah kaitan makanan dengan asma? Terdapat kajian yang melaporkan bahawa diet yang berasaskan tumbuhan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan boleh menambah baik simptom-simptom asma dan melindungi daripada terjadinya asma. [1]
Selain itu, terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa bagi individu yang obes dan menghidap asma, mengehadkan kalori dalam diet harian boleh membantu meningkatkan fungsi paru-paru dan kualiti hidup mereka. [2]
Terdapat sesetengah makanan yang boleh mencetuskan serangan asma. Ia mungkin menyebabkan tindak balas berbeza bagi individu yang berbeza. Antara makanan-makanan tersebut adalah:
1. Sulfit
Sulfit adalah sejenis pengawet yang selalunya digunakan untuk mengawet makanan. Sulfit mungkin boleh memburukkan lagi simptom-simptom asma.
Sulfit boleh dijumpai dalam makanan-makanan berikut:
- Jeruk
- Buah-buahan kering
- Udang halus
- Wain
- Jus limau atau lemon di dalam botol
- Ceri yang diawet
2. Alergen
Individu yang mempunyai alahan makanan mungkin juga turut menghidap asma. Alergen ialah bahan atau makanan yang boleh menyebabkan tindak balas alahan bagi mereka yang mempunyai alahan terhadap makanan tersebut.
Antara alergen yang selalunya menyebabkan tindak balas alahan adalah:
- Makanan laut
- Kekacang
- Kacang tanah
- Gandum
- Susu atau produk tenusu
- Telur
- Bijan
- Kacang soya
3. Makanan yang Menyebabkan Angin atau Gas
Sesetengah makanan boleh menyebabkan angin atau gas yang boleh memberikan tekanan terhadap diafragma. Keadaan ini akan bertambah buruk sekiranya anda turut mengalami refluks asid. Akibatnya ia boleh menyebabkan sesak dada dan mencetuskan serangan asma.
Makanan-makanan tersebut adalah:
- Sayur kubis
- Bawang
- Bawang putih
- Minuman berkarbonat
- Kacang
- Makanan bergoreng
4. Salisilat
Sesetengah penghidap asma turut sensitif terhadap salisilat. Salisilat adalah sebatian kimia yang terbentuk secara semula jadi di dalam sesetengah makanan.
Sesetengah orang mungkin sensitif dengan salisilat yang dijumpai dalam:
- Kopi
- Teh
- Herba
- Rempah
- Aspirin yang mengandungi salisilat
5. Bahan-bahan Tiruan
Pengawet kimia, pewarna tiruan dan perasa tiruan lazimnya banyak dijumpai dalam makanan yang diproses atau makanan segera.
Sesetengah penghidap asma mungkin sensitif atau alergik terhadap bahan-bahan tersebut.
Terdapat kajian yang mendapati kanak-kanak dan remaja yang memakan makanan segera 3 kali atau lebih dalam seminggu berisiko tinggi untuk mendapat asma yang teruk. [3]
Makanan yang Baik untuk Penghidap Asma
Selain makanan-makanan yang tidak baik untuk asma, terdapat juga makanan-makanan yang baik serta boleh menyokong fungsi paru-paru.
1. Vitamin D dalam Makanan
Mendapatkan vitamin D yang mencukupi boleh membantu mengurangkan serangan asma dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa vitamin D mungkin boleh mengurangkan risiko keterukan asma. [4]
Vitamin D boleh didapati secara semula jadi dalam sesetengah makanan atau diperkaya dalam makanan-makanan tertentu.
Antara makanan yang mengandungi vitamin D adalah:
- Ikan berlemak seperti tuna, salmon atau ikan kembung
- Kuning telur
- Cendawan
- Susu diperkaya
2. Vitamin A dalam Makanan
Makanan yang kaya dengan vitamin A juga turut mempunyai manfaat kepada penghidap asma.
Satu kajian oleh pengkaji dari Cangzhou Central Hospital mendapati kanak-kanak yang menghidap asma biasanya mempunyai paras vitamin A yang rendah di dalam darah mereka berbading kanak-kanak yang tidak menghidap asma. Dalam kalangan kanak-kanak yang menghidap asma juga, vitamin A yang tinggi turut menunjukkan fungsi paru-paru yang baik. [5]
Antara makanan yang tinggi dengan vitamin A adalah:
- Telur
- Buah mangga
- Buah betik
- Buah tembikai
- Lobak merah
- Tomato
- Ubi keledek
3. Pisang
Kajian oleh pengkaji dari Imperial College London mendapati terdapat bukti yang menunjukkan bahawa pengambilan buah pisang yang tinggi boleh melindungi kanak-kanak yang menghidap asma daripada berdehit (wheezing). [6]
Tambahan daripada itu juga, kandungan kalium (potassium) dalam buah pisang juga boleh membantu meningkatkan fungsi paru-paru. [7]
4. Buah-buahan dan Sayur-sayuran Segar
Pemakanan yang mengandungi buah-buahan dan sayur-sayuran segar boleh mengurangkan risiko berlakunya asma dalam kalangan kanak-kanak atau orang dewasa.
Satu analisis yang melibatkan 58 kajian melaporkan bahawa majoriti kajian (30 kajian) melaporkan bahawa terdapat manfaat pengambilan buah dan sayur dalam mengurangkan risiko asma atau meningkatkan fungsi pernafasan. [8]
5. Magnesium dalam Makanan dan Suplemen
Mineral magnesium juga turut memainkan peranan terhadap fungsi paru-paru terutamanya kepada kanak-kanak. Kesan pengambilan magnesium yang rendah ini dilihat lebih besar terhadap kanak-kanak yang menghidap asma. [7]
Antara makanan yang tinggi dengan mineral magnesium adalah:
- Roti bijirin penuh
- Sayur bayam
- Brokoli
- Ikan tuna
- Biji labu
- Coklat pahit
Menyedut magnesium (melalui nebulizer) adalah satu lagi cara yang baik untuk merawat serangan asma. [9]
Panduan untuk Menghindari Makanan yang Boleh Mencetuskan Asma
Beberapa langkah yang boleh diambil bagi menghindari makanan yang tidak baik untuk asma adalah seperti:
- Membaca label produk dengan cermat: Sila pastikan anda membaca bahan-bahan yang digunakan dalam produk yang anda ingin beli. Tindakan ini boleh mencegah anda daripada tersilap membeli produk yang mengandungi alergen seperti gandum, susu, telur atau kacang.
- Elakkan makanan yang tersedia dimasak: Elakkan daripada membeli makanan yang telah dimasak kerana dikhuatiri mengandungi bahan-bahan yang boleh mencetuskan serangan asma.
- Tanya bahan-bahan yang digunakan semasa makan diluar: Sekiranya anda makan di restauran atau kedai makan, sila bertanya kepada pelayan tentang bahan-bahan yang digunakan dalam menu yang dipesan bagi mengelakkan bahan yang boleh menyebabkan tindak balas alahan atau memburukkan lagi simptom-simptom asma.
Rujukan
- Alwarith, J. et al. (2020). The role of nutrition in asthma prevention and treatment. Nutrition reviews.
- Forte, G. C. et al. (2018). Diet effects in the asthma treatment: A systematic review. Critical reviews in food science and nutrition.
- Ellwood, P. et al. (2013). Do fast foods cause asthma, rhinoconjunctivitis and eczema? Global findings from the International Study of Asthma and Allergies in Childhood (ISAAC) phase three. Thorax.
- Martineau, A. R. et al. (2016). Vitamin D for the management of asthma. The Cochrane database of systematic reviews.
- Bai, Y. J., & Dai, R. J. (2018). Serum levels of vitamin A and 25-hydroxyvitamin D3 (25OHD3) as reflectors of pulmonary function and quality of life (QOL) in children with stable asthma: A case-control study. Medicine.
- Okoko, B. J. et al. (2007). Childhood asthma and fruit consumption. The European respiratory journal.
- Gilliland, F. D. et al. (2002). Dietary magnesium, potassium, sodium, and children’s lung function. American journal of epidemiology.
- Hosseini, B. et al. (2017). Effects of Fruit and Vegetable Consumption on Risk of Asthma, Wheezing and Immune Responses: A Systematic Review and Meta-Analysis. Nutrients.
- Schuh, S. et al. (2016). Magnesium nebulization utilization in management of pediatric asthma (MagNUM PA) trial: study protocol for a randomized controlled trial. Trials.