Kehamilan ialah satu fasa yang sensitif dan penting dalam kehidupan seorang wanita. Terdapat makanan yang perlu dielakkan semasa hamil bagi mengelakkan berlakunya keracunan atau ketoksikan.
Maka penjagaan rapi amat penting bagi memastikan kesihatan ibu serta anak dalam kandungan sentiasa terpelihara. Pemakanan adalah satu aspek yang mempunyai impak yang besar kepada kesihatan dan harus diberi perhatian yang serius.
Sesetengah makanan mungkin harus diambil pada kadar sedikit, berkala, jarang-jarang dan mungkin juga yang harus dielakkan terus.
Berikut ialah makanan dan minuman yang perlu dielakkan atau dikurangkan semasa hamil:
1. Makanan Laut Yang Tinggi Kandungan Merkuri
Merkuri atau raksa adalah bahan yang sangat toksik. Bahan kimia ini kebiasaannya dijumpai dalam air tercemar.
Pada kuantiti yang tinggi, merkuri ini akan menjadi toksik kepada sistem imun, sistem saraf, dan buah pinggang. ia juga boleh menyebabkan masalah perkembangan yang serius dalam kalangan kanak-kanak. [1]
Ibu hamil disarankan untuk menghadkan pengambilan makanan laut seperti ikan dan haiwan bercengkerang yang tinggi kandungan merkuri kepada tidak lebih daripada 1-2 hidangan sebulan . [2, 3]
Antara makanan laut yang berpotensi mengandungi merkuri yang tinggi:
- Ikan Yu
- Ikan Todak
- Ikan Tenggiri Papan (King Mackerel)
- Ikan Tuna
- Kerang-kerangan (kepah, kerang, dll.)
Walau bagaimanapun, harus diingat tidak semua makanan laut tinggi kandungan merkuri. Hanya sesetengahnya sahaja.
Kajian-kajian yang dijalankan menunjukkan ikan di perairan Malaysia masih selamat dimakan. [4]
Namun, pada April 2019, pakar mendapati Pantai Barat Semenanjung Malaysia tercemar dengan logam berat seperti plumbum, arsenik dan merkuri.
Maka makanan laut terutamanya haiwan bercengkerang di kawasan ini berisiko mengandungi kandungan merkuri yang tinggi. [5]
2. Makanan Laut Mentah atau Kurang Masak
Ikan mentah dan kerang-kerangan mentah boleh menyebabkan jangkitan. Jangkitan ini boleh disebabkan oleh bakteria, virus dan parasit seperti norovirus, Vibrio, Salmonella dan Listeria. [6, 7]
Ibu hamil terdedah kepada jangkitan bakteria Listeria. Bakteria ini boleh dijumpai dalam tanah, air tercemar atau tumbuhan. Bakteria ini turut boleh ditemui dalam perut ikan, udang dan ketam.
Ikan mentah juga boleh dijangkiti semasa pemprosesan termasuklah proses salai atau pengeringan.
Bakteria ini boleh menjangkiti janin atau kandungan melalui plasenta. Jangkitan ini boleh menyebabkan keguguran, kelahiran pramatang dan lahir mati (kelahiran janin yang tidak bernyawa).
Oleh itu, ibu hamil disarankan untuk mengelak dari mengambil makanan dari ikan mentah atau kerang-kerangan seperti sushi.
3. Telur Mentah
Ibu hamil juga tidak digalakkan memakan telur yang mentah atau kurang masak kecuali yang telah dipasteur.
Telur mentah berpotensi untuk dicemari oleh bakteria Salmonella.
Tanda-tanda jangkitan Salmonella yang biasa dialami oleh ibu ialah demam, muntah, loya, cirit-birit, dan kejang perut.
Antara makanan buatan sendiri yang mengandungi telur mentah ialah:
- Mayonis
- Kustard
- Icing kek
- Aiskrim
4. Daging Mentah dan Kurang Masak
Daging mentah atau kurang masak juga berpotensi untuk dijangkiti bakteria dan parasit seperti E.Coli, Listeria, Toxoplasma dan Salmonella.
Parasit seperti Toxoplasma boleh menjadi satu ancaman kepada bayi dalam kandungan. Parasit ini boleh menyebabkan lahir mati atau penyakit berkaitan otak. [8]
5. Organ Haiwan
Organ haiwan seperti hati ayam dan lembu adalah sumber nutrien yang baik.
Contohnya, seperti zat besi, vitamin A, vitamin B12 dan tembaga.
Namun, pengambilan vitamin A yang terlalu banyak adalah tidak digalakkan bagi ibu hamil. Begitu juga dengan tembaga (copper).
Vitamin A dan tembaga yang terlalu tinggi boleh menyebabkan ketoksikan seterusnya membawa kepada kecacatan kepada bayi dan ketoksikan hati. [9, 10]
6. Buah-buahan dan Sayur-sayuran yang Tidak Dibasuh
Buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak dibasuh atau dibasuh tidak sempurna berpotensi dicemari oleh bakteria dan parasit.
Contohnya seperti Toxoplasma, E.Coli, Salmonella dan Listeria.
Pencemaran boleh berlaku semasa penghasilan, penuaian, pemprosesan, simpanan, pengangkutan atau runcit.
Parasit yang sangat bahaya dikenali sebagai Toxoplasma. Kebanyakan mereka yang terkena parasit ini tidak menunjukkan sebarang tanda atau tanda yang sangat ringan seperti demam.
Bayi yang dijangkiti semasa dalam kandungan juga tidak menunjukkan tanda semasa dilahirkan. Namun, tanda seperti buta atau ketidakbolehan intelek akan terbentuk apabila mereka membesar. [11]
Oleh itu, pastikan buah-buahan dan sayur-sayuran dibasuh dengan bersih, dibuang kulit atau dimasak sebelum dimakan.
7. Susu, Keju dan Jus Buah Yang Tidak Diposteurkan
Susu dan keju yang tidak diposteurkan boleh mengandungi bakteria berbahaya seperti E.Coli, Salmonella, dan Campylobacter.
Posteur ialah proses memanaskan cecair atau makanan pepejal untuk memusnahkan mikroorganisma yang berbahaya untuk untuk mengehadkan kadar penapaian bahan yang berkenaan.
Jus buah juga berpotensi untuk turut tercemar dengan bakteria sekiranya tidak diposteurkan.
Jangkitan bakteria-bakteria ini sangat berbahaya sehingga boleh meragut nyawa bayi dalam kandungan. [12]
8. Arak
Minuman seperti arak juga perlu dielakkan semasa kehamilan.
Arak boleh meningkatkan risiko keguguran, kelahiran pramatang dan lahir mati (stillbirth). Arak ini juga boleh merencatkan perkembangan otak bayi.
Selain itu, arak yang diambil oleh ibu hamil juga boleh menyebabkan merencatkan perkembangan kanak-kanak, kerencatan mental, gangguan tingkah laku dan keabnormalan bawaan. [13]
Ini adalah salah satu hikmah pengharaman arak dalam Islam.
9. Kafein
Kafein boleh dijumpai dalam minuman seperti kopi, teh, minuman ringan dan juga coklat (koko).
Ibu hamil dinasihati untuk menghadkan pengambilan minuman atau makanan berkafein di bawah 200mg sehari. [14]
Kafein tidak baik untuk ibu hamil kerana senang diserap dan disalurkan ke dalam plasenta dan janin.
Janin atau bayi dalam kandungan tidak mempunyai enzim yang boleh menguraikan kafein. Ini akan menyebabkan peningkatan paras bahan ini.
Pengambilan kafein yang tinggi semasa kehamilan akan menyebabkan kebantutan perkembangan janin dan meningkatkan risiko kelahiran kurang berat. [15, 16]
10. Makanan Ringan
Makanan ringan juga tidak baik untuk ibu hamil.
Ibu hamil memerlukan pemakanan yang sihat dan bernutrisi bagi memenuhi keperluan diri dan anaknya.
Makanan ringan kebanyakannya tidak bernutrisi, tinggi kalori, tinggi gula dan garam serta lemak.
Pemakanan seperti ini boleh mengakibatkan penyakit kencing manis (diabetes), sakit jantung dan darah tinggi.
Bagi ibu hamil, makanan seperti ini boleh meningkatkan risiko diabetes semasa mengandung dan komplikasi semasa mengandung atau semasa bersalin. Golongan ini juga berisiko tinggi mempunyai kelahiran bayi yang mempunyai berat badan berlebihan. [17]
Rumusan
Senarai makanan dan minuman ini perlu dielakkan atau dikurangkan semasa hamil. Penjagaan makanan dan minuman yang baik dapat menjamin kesihatan ibu serta anak yang dikandung.
Rujukan
- Mahaffey K. R. (2005). Mercury exposure: medical and public health issues. Transactions of the American Clinical and Climatological Association.
- Sagiv, S. K. et al. (2012). Prenatal exposure to mercury and fish consumption during pregnancy and attention-deficit/hyperactivity disorder-related behavior in children. Archives of pediatrics & adolescent medicine.
- Hood E. (2005). Moms and Mercury: Fine-Tuning Fish Consumption During Pregnancy. Environmental Health Perspectives.
- Bashir, F. A. et al. (2012). Evaluation of trace metal levels in tissues of two commercial fish species in Kapar and Mersing coastal waters, Peninsular Malaysia. Journal of environmental and public health.
- AstroAwani. Makanan laut bercengkerang di Selat Melaka dicemari logam berat – Pakar
- Butt, A. A. et al. (2004). Infections related to the ingestion of seafood. Part II: parasitic infections and food safety. The Lancet. Infectious diseases.
- Butt, A. A. et al. (2004). Infections related to the ingestion of seafood Part I: Viral and bacterial infections. The Lancet. Infectious diseases.
- Lopez, A. et al. (2000). Preventing congenital toxoplasmosis. MMWR. Recommendations and reports.
- Maden M. (2001). Vitamin A and the developing embryo. Postgraduate medical journal.
- Walker, L. R. et al. (2011). A case of isolated elevated copper levels during pregnancy. Journal of pregnancy.
- Lykins, J. et al. (2016). Understanding Toxoplasmosis in the United States Through “Large Data” Analyses. Clinical infectious diseases.
- Committee on Infectious Diseases, Committee on Nutrition, & American Academy of Pediatrics (2014). Consumption of raw or unpasteurized milk and milk products by pregnant women and children. Pediatrics.
- van Wieringen, H. et al. (2010). [Diagnosis of fetal alcohol spectrum disorders]. Nederlands tijdschrift voor geneeskunde.
- Partosch, F. et al. (2015). Caffeine intake in pregnancy: Relationship between internal intake and effect on birth weight. Food and chemical toxicology.
- Chen, L. W. et al. (2014). Maternal caffeine intake during pregnancy is associated with risk of low birth weight: a systematic review and dose-response meta-analysis. BMC medicine.
- Partosch, F. et al. (2015). Caffeine intake in pregnancy: Relationship between internal intake and effect on birth weight. Food and chemical toxicology.
- Wen, L. M. et al. (2013). Maternal “junk food” diet during pregnancy as a predictor of high birthweight: findings from the healthy beginnings trial. Birth.